Single Sakit yang dilancarkan pada 2019 berjaya melonjakkan populariti penyanyi dan komposer muda ini. Karya segar yang dihasilkan selain bait-bait lirik yang dekat dengan kehidupan menjadikan dia inpirasi banyak orang.
Bukan saja untuk lagu nyanyian sendiri, tapi karya ciptaan ZynAkal yang disampaikan penyanyi lain turut mencipta magis tersendiri. Sekali gus meletakkan ZynAkal antara ‘singer-songwriter’ yang kian menjadi rebutan.
Kali Pertama Berduet Bersama Dayang Nurfaizah
Tidak mahu berhenti dalam berkongsi rasa dengan peminat, ZynAkal, 23, atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul SAYANG AKU TANYA APA KHABAR.
Menariknya, lagu terbitan Def Jam Malaysia ciptaan Zyn, Nobita dan Chaan serta lirik oleh Zyn sendiri itu turut menampilkan penyanyi terkenal tanah air, Dayang Nurfaizah sebagai rakan duet ZynAkal.
Bagi ZynAkal atau mesra disapa Zyn, lagu SAYANG AKU TANYA APA KHABAR itu dihasilkan tahun lalu bersesuaian dengan situasi dan keadaan semasa negara di mana kerinduan orang ramai untuk berjumpa orang tersayang dan keluarga tercinta yang berjauhan di mata.
Tidak Sangka Dayang Nurfaizah Bersetuju
Menurut Zyn, dia terkejut dan tidak menjangka jika Dayang Nurfaizah menyatakan persetujuan dan menyukai karyanya itu.
Malah, Zyn berasa beruntung apabila penyanyi yang baharu melancarkan album Belagu itu turut memberikan idea bagi penambahbaikan dari segi susunan lagu.
“Bagi saya ia sesuatu yang bagus kerana dalam berkolaborasi ini perlu ada persefahaman dalam muzik. Saya menganggap idea yang diberikan oleh Dayang menjadikan lagu ini lebih menarik.
“Apabila Dayang cakap bersetuju, saya memang terkejut. Bukan apa, sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan nama besar dalam indusri. Berbanding saya yang masih baharu ini, berasa diri kerdil sangat. Satu penghormatan buat saya secara peribadi dan penghargaan dalam kerjaya. Dayang juga sangat merendah diri dan sudi bekerjasama dengan saya,”
– ZynAkal
Kenapa Zyn Pilih Dayang Nurfaizah?
Zyn berkata, berbesar hati apabila Dayang bersetuju untuk berduet dengannya juga dianggap ‘sempurna’ kerana pemenang Vokal Terbaik tiga kali pada Anugerah Juara Lagu (AJL) itu memiliki ‘tone’ yang cukup kena dengan lagu berkenaan.
“Lagu ini dirakam semula pada Mac lalu. Alhamdulillah, proses rakaman lancar. Tidak ada yang susah walaupun pertama kali bekerjasama dengan Dayang. Lagi pula dia cepat dapat apa yang saya ingin sampaikan dalam lagu ini. Improvisasi yang dibuat Dayang pada lagu ini juga kena dan boleh diterima.
“Kami buat dua kali sesi rakaman. Malah ketika rakaman dibuat juga, kami tidak ambil masa yang lama. Saya puas hati dengan apa yang dipersembahkan. Malah Dayang bagi lebih lagi. Pendek kata, ‘tone’ dan vokal Dayang kena dengan lagu ini,”
– ZynAkal
Lagu Ini Sesuai dengan Situasi Semasa
Berbeza dari kebanyakan tema lagu ciptaannya sebelum ini, Zyn berkata tema cinta dan kasih sayang ini bagi disesuaikan dengan keadaan semasa dilalui ramai orang.
“Dari segi luaran lagu ini kedengaran macam lagu cinta. Tapi, dalamannya mengenai mereka yang berjauhan dengan orang tersayang termasuklah ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, rakan-rakan dan sesiapa saja. Kiranya lebih kepada kasih sayang.
“Lagu ini bukan kisah saya pun. Ketika lagu ini dihasilkan saya membayangkan secara keseluruhan saja dengan cuba kaitkan dengan situasi sekarang di mana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu,”
– ZynAkal
Dayang Nurfaizah Terbuka Untuk Duet
Sementara itu, Dayang Nurfaizah mengakui dia bersetuju merakamkan lagu itu bersama Zyn kerana melodi dan lirik lagu yang menarik. Sekali gus memperlihatkan bagaimana keterbukaan penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu bekerjasama dengan sesiapa saja.
“Saya bersetuju untuk berkolaborasi kerana tertarik dengan lagu ini. Lagu ini segar dari segi melodi yang ringkas, dari segi lirik yang bersahaja yang mana ada kaitan dengan semua. Seperkara lagi, ini lagu duet yang mana menjadi ‘wish list’ saya adalah menghasilkan lebih banyak kolaborasi bersama artis lain.
“Macam dikatakan lirik lagu ini sangat bersahaja macam percakapan seharian. Bagi saya lagu ini sangat ringkas dan ‘straigh forward’ tetapi ‘feel’ lagu ini saya berasakan istimewa. Dalam masa sama kena dengan kehidupan kita sekarang,”
– Dayang Nurfaizah
Dalam masa sama, Dayang menyifatkan Zyn antara penyanyi dan komposer muda yang perlu diberikan perhatian.
“Artis muda baik penyanyi atau komposer apa yang saya ‘admire’ mengenai mereka adalah idea dan kreativiti dalam berkarya. Cara mereka bekerja terutamanya. Saya sendiri berasa banyak perkara saya boleh belajar daripada mereka.
“Jadi, seronok sangat dapat bekerjasama dengan Zyn. Dia antara yang sangat senang dan mudah bekerjasama. Paling penting bagi saya, kalau nak berkolaborasi kunci utamanya adalah senang untuk diajak berbincang,”
– Dayang Nurfaizah
Harapan Dayang Nurfaizah
Dayang juga berharap kolaborasi pertama dengan Zyn menerusi lagu SAYANG AKU TANYA APA KHABAR itu diterima baik seluruh peminat dan pencinta muzik tempatan.
“Saya berharap peminat akan suka dan boleh menerima lagu ini. Sebab bagi saya lirik lagu ini sangat sesuai dengan apa kita lalui sekarang. Ramai antara kita merindui seseorang sebab sudah lama tidak berjumpa.
“Jadi, saya harap apabila mereka mendengar lagu ini dapatlah terubat rasa rindu itu. Dapatlah memberikan senyuman. Kalau mendengar lagu ini juga tidaklah berasa bersendirian sebab semua mengalami perasaan sama ketika ini,”
– Dayang Nurfaizah
Penerbit bagi lagu SAYANG AKU TANYA APA KHABAR ialah Chaan dan Giant dan dibantu oleh Irena.
Sementara bahagian Mix mendapat sentuhan penerbit dan penata muzik terkenal Indonesia iaitu Ari Renaldi juga pemenang 13 kali pada Anugerah Musik Indonesia. Antara anugerah yang pernah dimenanginya adalah Best Sound Production Team, Best of The Best Album (Producer) dan Best Mix Engineer.
Ari banyak menerbitkan lagu-lagu dan album penyanyi terbaik Indonesia seperti Mocca, Tulus, Vidi Aldiano, Raisa, Afgan, Yura Yunita, Sezairi Sezali, Maudy Ayunda, Ungu, Juicy Luicy dan ramai lagi.
Pembikinan Lagu Ini
Tidak ketinggalan pasukan produksi dari segi Master lagu ini turut menggunakan khidmat Idania Valencia yang pernah terbabit dalam penghasilan lagu untuk penyanyi antarabangsa, Sam Smith and Shawn Mendes di Sterling Studio di Amerika Syarikat.
Lagu SAYANG AKU TANYA APA KHABAR terbitan Def Jam Malaysia bakal dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 6 Ogos ini tepat jam 12 tengah malam manakala lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Def Jam Malaysia pada hari yang sama.
Lirik SAYANG AKU TANYA APA KHABAR
Sayang aku tanya apa
khabar
Sumpah diri ini rindu
Sumpah sebenarnya ku tak sabar
Nak bersama macam dulu dulu
Tapi apakan daya
Ini semua takdir
Tapi aku percaya
Ini cepat berakhir
Hanya mampu berdoa
Walau dizaman akhir
Dah terjadi ternyata
Jadi sendiri fikir
Aku terima semua
Ku
tunggu walau apa jua
Ku tunggu walau engkau lama
Sayang aku tanya apa khabar
Sumpah diri ini rindu
Sumpah sebenarnya ku tak sabar
Nak bersama macam dulu dulu
Dari apa ku tahu
Ku tak pernah menipu
Apa yang dah berlaku
Biarkan berlalu
Jangan tinggalkanku
Kau tahu ku tak mampu
Tanpa dirimu aku hilang
Dan aku dah tak sanggup
Tak mengapa kita jauh ada makna
Tuhan cuba uji kekuatan setia
Masa depan jangan teka jangan sangka
Baik buruk dunia harus terima
Sayang aku tanya apa khabar
Sumpah diri ini rindu
Sumpah sebenarnya ku tak sabar
Nak bersama macam dulu dulu