Majlis akad nikah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).
Pasangan mempelai diijabkabulkan berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz. Mereka dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni.
Pada majlis akad nikah, Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran berjumlah RM30,000.
Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Bekas penyampai radio Suria FM itu berharap kehidupan bersama suami waktu mendatang akan dipermudahkan.
“Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga dengan fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.
“Namun sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan juga ditempuhi. Di alam realiti juga, saya sendiri melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati.
“Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi setelah hujan. Hujung tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah,” kata Zulin usai majlis nikah.
Zulin menyifatkan kesungguhan dan keluhuran hati Farhan menjadi penambat hatinya.
“Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya.
“Tiada rahsia antara kami. Dia menerima saya seadanya sewaktu zaman saya berisi dan kini berjaya menurunkan berat badan. Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada bakal anak kami kelak. Insya-Allah,” katanya
Mengenai anak dan bulan madu, Zulin berkata dia dan suami belum dapat memberi kata putus dan terbuka menerima apa saja rezeki mendatang.
“Soal cahaya mata, baik saya dan suami terima saja rezeki yang Tuhan berikan. Saya pun lagi tujuh tahun nak menginjak usia 40 tahun.
“Saya dan suami beruntung kerja dalam bidang sama iaitu perniagaan Sambal Tujuh. Jadi sambil bekerja selitlah mana sempat nak berbulan madu. Rancangnya macam nak ke Turki, tapi situasi semasa pandemik COVID-19 pun membimbangkan. Belum ada kata putus,” katanya.
Sementara itu, Farhan atau nama penuhnya, Mohd Farhan Norzaini melihat Zulin sebagai wanita yang mempunyai hati tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.
“Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun kenal bermula sebagai kawan, seterusnya bercinta dan kini jadi suami dan isteri.
Perasaan bercampur baur sebab ini antara hajat dan doa daripada arwah ibu, rakan dan semua yang mengenali kami.
“Kami masing masing pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan. Dia turut bersama saya di saat mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.
“Di situ saya tahu wanita inilah yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri lengkap semua itu,” kongsi Farhan.
Malam ini, pasangan sama padan sama cantik itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam.
Pereka Ezuwan Ismail dipertanggungjawabkan menyiapkan busana nikah dan majlis malam ini.
Pasangan ini bertunang pada 28 Januari lalu.