in ,

Zul Huzaimy, Eman Manan Dalam Drama Rambong

KONSPIRASI PEMBUNUHAN DALAM RAMBONG DI TV1

Kelainan cuba ditonjolkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi drama yang bakal menemui penonton setia salurannya pada 20 Mac 2010 (Sabtu), jam 3.05 petang menerusi TV1 bertajuk Rambong yang mengetengahkan lakonan aktor-aktor hebat negara termasuklah Zul Huzaimy, Eman Manan, Zulkefli Zain, Soffi Jikan, Noremynadia, Farah Idris dan Jobot Maheran.

Memaparkan kisah konspirasi pembunuhan dalam plot cerita yang berbeza, Rambong cuba lari daripada jalan cerita drama lain yang selalu dikaitkan dengan bidang perniagaan sebaliknya berlatarkan kisah yang disampaikan menerusi perumpamaan hidup ini umpama tarian. Malah drama ini berpegang manusia melenggangkan gerak dengan tertib agama dan budaya agar lenggoknya tidak sumbang dipandang masyarakat.

Mengambil latar kampung yang hanya menggunakan sampan sebagai perhubungan dari tanah besar ke kampung itu, Che Yem seorang pemuda yang segak dan berjiwa halus tinggal bersama adiknya Memei di kampong Tasek, utara semenanjung.

Kisah bermula ketika pesta songkran atau pesta air di kampong itu di mana pada petangnya diadakan persembahan tarian rambong. Sedang asyik pemuda pemudi bergembira menari sambil mencurah-curah air dan menyapu bedak di muka, ketika itulah persembahan menjadi gempar dengan salah seorang gadis kampong iaitu Memei ditemui mati terapung dihanyut arus sungai.

Mayat Memei dibawa kepada penduduk kampung di tengah-tengah pesta songkran. Semua yang ada ketika pesta itu berasa sedih dan takut dengan apa yang berlaku. Che Yem bagaikan orang yang sudah dirasuk ketika melihat mayat adiknya di depan mata, hanya Memei sahaja keluarga yang tinggal setelah kematian ibu bapanya.

Lalu sebagai seorang yang disegani di kampung itu, Alang Din mengambil tanggungjawab menguruskan mayat itu dan berjanji akan mencari siapakah pembunuh Memei.

Che Yem menjadi pendiam dari seorang yang suka bergelak ketawa. Indah yang merasai perubahan diri Che Yem cuba menceriakan Che Yem dengan selalu berdamping dengan Che Yem. Alang Din pada mulanya tidak menyokong tindakan membalas dendam Che Yem. Setiap gerak geri Che Yem diperhatikan oleh Alang Din. Begitu dengan Che Yem yang sentiasa mengekori setiap pergerakan Alang Din kerana Che Yem percaya bahawa Alang Din yang membunuh Memei.

Che Yem memperkemaskan diri untuk menuntuk bela pada kemuncak pesta songkran iaitu hari yang ke 14. Begitu juga dengan Indah yang sentiasa berwaspada dengan memakai cucuk sanggul beracun di kepala pemberian ibunya, Che Rina.

Ketika pesta sedang rancak, Indah sudah diracuni dengan ubat pelali oleh Alang Din dan diculik pulang ke rumah Alang Din. Che Yem sedar akan kehilangan Alang Din dan Indah ditapak pesta lalu segera pergi ke rumah Alang Din.

Che Yem memecah masuk pintu rumah Alang Din. Alang Din ketika itu cuba melakukan perkara yang terkutuk terhadap Indah. Alang Din terperanjat dengan kehadiran Che Yem lalu menyerang Che Yem. Mereka bertempur didalam rumah. Che Yem hampir tewas dengan pukulan Alang Din Ketika bertempur, segala rahsia yang selama ini dirahsiakan oleh Alang Din terbongkar. Che Yem tidak terdaya lagi untuk melawan pukulan Alang Din.

Lalu bagaimanakah kesudahan drama ini? Dapatkah Che Yem membuktikan kebenaran yang cuba diperjuangkannya demi menuntut bela terhadap kematian adiknya? Saksikan Rambong pada 20 Mac 2010 (Sabtu), jam 3.05 petang menerusi TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Mencari Imam Muda Terbaik di Malaysia

Tahanan Reman Pelakon Lelaki Edar Dadah Dilanjutkan