Baru-baru ini, pelakon lelaki tersebut telah berkongsi satu video di laman Instagram di mana dia melalui rawatan menanam rambut. Lebih merisaukan, apabila wajah Zoey bengkak teruk penangan daripada ubat bius yang digunakan sehingga ramai peminat langsung tidak mengenalinya.
“Bengkak itu bermula di dahi kemudian turun ke kening, kelopak mata dan sekarang pada hari keempat bengkak itu kelihatan di bawah mata pula.”
– Zoey Rahman
Pun begitu, ramai juga yang mempersoalkan rawatan tersebut yang dilakukan semasa bulan Ramadan ini. Adakah ia dibolehkan?
“Pihak klinik sudah menerangkan terlebih dahulu tentang hukum menjalani rawatan ini. Ia tidak memudaratkan kesihatan atau membatalkan puasa kerana mereka cuma perlu mengambil darah dan beri ubat bius pada saya.”
Apabila ditanya mengenai hukumnya daripada sisi Islam pula, lelaki itu menegaskan bahawa ia dibenarkan kerana diambil daripadanya rambutnya sendiri. Jika menggunakan rambut orang lain, hukumnya adalah haram.
“Laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga menyatakan rawatan ini dibenarkan jika tujuannya adalah atas menutup aib.”
Ada yang turut bertanya sebab Zoey perlu melalui rawatan tersebut walhal rambutnya kelihatan elok sahaja dan pelakon itu mendedahkan bahawa dia mempunyai masalah garis rambut berbentuk ‘M’.
Sebagai usahawan kosmetik, penampilan adalah perkara utama yang perlu dijaga olehnya lantas dia membuat keputusan besar untuk menjalani rawatan menanam rambut ini.
Dia juga menjelaskan bahawa klinik yang dikunjunginya itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan.
“Klinik tersebut juga mengikut standard operasi yang betul seperti menjaga jarak. Saya juga menjalani ujian saringan jangkitan Covid-19 sebelum meneruskan rawatan.”