Menurut Zizan Razak, keputusan tersebut dibuat kerana berasakan bakat baharu seharusnya diberi peluang untuk bertanding dalam acara berprestij tersebut.
“Seiring usia dalam bidang seni, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada sebarang pencalonan ABPBH34.
“Saya percaya ABP kali ini harus diraikan kepada bakat-bakat baharu yang bertanding. Hal ini telah dimaklumkan kepada pihak penganjur,”
– Zizan Razak
Menerusi hantaran sama, Zizan yang lahir daripada program realiti Raja Lawak itu berpendapat ABP merupakan sebuah acara hebat yang telah mengiktiraf anak seni tanah air sepanjang 34 tahun penganjuran.
“ABP antara majlis anugerah yang banyak memberi pengkitirafan kepada nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia.
“Sejujurnya, ABP ialah sebuah majlis anugerah yang mendekatkan saya dengan para peminat dan di situlah kami berkumpul serta mengenali antara satu sama lain. Semua mencatatkan momen manis!”
– Zizan Razak
Pelakon filem Hantu Bonceng 2.0 itu turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sokongan peminat terhadapnya selama ini.
Malah, dia turut mendoakan kejayaan untuk semua calon yang bertanding pada tahun ini.
“Terima kasih kepada pihak penganjur yang saban tahun mencalonkan saya, terutama para peminat yang sentiasa mengundi sepanjang penganjuran ABPBH.
“Saya akan terus menyokong ABP dari luar gelanggang. Selamat berjaya kepada semua calon!”
– Zizan Razak
Untuk rekod, Zizan pernah memenangi beberapa kategori dalam ABP, antaranya Pelawak Lelaki Paling Popular pada tahun 2010, Hos TV Lelaki Popular (2011), Gandingan Di Layar Serasi Popular dan Artis Berpengaruh di Laman Media Popular (2013).
Untuk tahun ini, dia dicalonkan dalam dua kategori iaitu Artis Versatil Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular.
Sebelum Zizan, dua aktor popular iaitu Remy Ishak dan Zul Ariffin turut mengumumkan pengunduran daripada semua kategori dalam ABPBH34.
Sumber: K! ONLINE & Instagram Zizan