in ,

Zizan Nin Nisha Dirr Zarynn Min Dalam Teratak Mahligai

ZIZAN NIN SELAMI WATAK SEBAGAI NELAYAN DALAM TERATAK MAHLIGAI DI TV2

Yang kurang berkemampuan sedaya upaya untuk berlagak seperti orang berada. Manakala yang kaya pula ada ketikanya teringin untuk merasai pengalaman hidup susah yang kehidupan sehariannya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Watak Nikmat yang dilakonkan oleh pelakon terkenal Zizan Nin sebagai seorang pemuda dari keluarga berada yang cuba menyesuaikan diri sebagai nelayan diyakini mampu mencuit perasaan penonton. Dalam keadaan yang agak canggung dan kekok, anda boleh lihat bagaimana usaha Nikmat untuk menyesuaikan diri dan mengambil hati orang kampung dengan visi dan misinya yang jauh ke depan terutama untuk memajukan industri penangkapan ikan.

TERATAK MAHLIGAI

Begitu kisah melatari drama terbaharu mengisi slot Galeri Famili bertajuk Teratak Mahligai yang bakal bersiaran mulai 21 Mac 2011, setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.30 petang menerusi TV2.

Selain menampilkan Zizan Nin sebagai watak utama, drama rantaian 24 episod ini turut bintangi oleh Zed Zaidi, Nisha Dirr, Zarynn Min, Rahim Jailani, Sidek Hussain, Arash Mohamad, Dian P Ramlee, Nabila Huda, Watie Elite, Normah Damanhuri, Fazilah Mansor, Azman Ahmad dan Roslan Salleh.

Teratak Mahligai antara lain mengisahkan Nikmat (Zizan) dan Syukri lakonan Zed Zaidi, dua pemuda berlainan latar keluarga mula akrab di ruangan blog. Nikmat yang berjaya dalam perniagaan internet cuba menyelami hati anak nelayan yang berkelulusan tinggi, Syukri.

Syukri pemuda yang bercita-cita tinggi mahu mengubah nasib keluarganya tetapi terpaksa meneruskan kerjaya bapa sebagai nelayan atas desakan hidup. Plot dan naratif mula memuncak apabila Nikmat dan Syukri bersetuju untuk bertukar tempat. Nikmat menjadi nelayan manakala Syukri pula menerajui syarikat milik Nikmat, Uncang Emas dengan bayaran RM5000 sebulan.

Drama arahan Zul R’ Shad yang cukup dikenali menerusi hasil sentuhannya seperti Sephia, Spa Q, telemovie Sirah, Syurga Di Mana dan Seberat Zarah, pemilihan barisan pelakon juga adalah elemen yang cukup kritikal baginya yang memilih lokasi sepanjang penggambaran di sekitar kawasan Kuala Lumpur, Lumut, Perak dan termasuk sekitar Langat. Pemilihan lokasi menurut pengarah bersesuaian mengikut keperluan skrip dan latar cerita yang menggambarkan sebuah keluarga berada dan sebuah lagi keluarga yang kehidupannya bergantung pada hasil laut.

Selain cuba menyelitkan kepincangan dalam kehidupan berkeluarga juga hidup bermasyarakat, Zul cuba menyelitkan elemen komedi yang tidak keterlaluan namun mampu membuat penonton ketawa dan tersenyum.

Lalu bagaimanakah kesudahan kisah dua pemuda ini apabila kedua-duanya bersetuju untuk bertukar? Mampukah Nikmat menyesuaikan diri menjadi nelayan bila mana dia semamangnya berhak untuk hidup dilimpahi kemewahan? Dapatkah pula Syukri menampilkan karisma orang berada sedangkan kehidupan sehariannya biasa dihabiskan di laut mencari ikan.

Justeru untuk berkongsi babak-babak menarik dalam drama Teratak Mahligai ini, pastikan anda meluangkan masa menyaksikannya hanya menerusi saluran Dunia Ria, TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Selebriti di Malam Gala Rafflesia 2011

Man Juara Raja Lawak 5