Ziana, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 56, menjelaskan bahawa panggilan video sedemikian bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana bapanya sangat prihatin dan begitu mengambil berat tentang kariernya, termasuk imej serta fesyen yang ditampilkan.
“Bayangkan pada usia saya 56 tahun, selain bertanya khabar, abah masih mengambil berat soal penampilan saya dengan bertanya baju apa yang dipakai dan siapa jurusolek. Abah memang macam tu…Dia sangat risau jika membabitkan soal kerja. Masa nak minta restu sebelum pergi latihan konsert, abah menangis dan sambil berpesan buat yang terbaik demi rezeki halal. Abah sentiasa doakan saya. Memandangkan abah tak dapat nak hadirkan diri berikutan masalah kesihatan dan adik, Anuar Zain tahu yang abah teringin nak tengok saya di pentas, itu yang dia buat panggilan video. Bila abah dapat tengok anak dia atas pentas, dia amat gembira. Itu yang saya sempat beritahu baju apa yang saya pakai serta gaya solekan. Dua elemen itulah abah perlu tahu kerana itu adalah keutamaannya,” kata Ziana dalam sidang media selepas konsert berakhir.
Selepas mengadakan persembahan, penyanyi lagu “Madah Berhelah” itu turut mengumumkan berita gembira bahawa beliau akan mengadakan konsert yang sama di Singapura. Konsert tersebut akan diadakan di The Star Theatre pada 28 September depan.
Ketika ditanya sama ada konsep persembahan di Singapura akan sama dengan yang disajikan di Malaysia, Ziana menyatakan bahawa perkara itu masih dalam perbincangan.
Dalam persembahan selama tiga jam tersebut, Ziana menghiburkan kira-kira 5,000 peminat dari dalam dan luar negara dengan menyampaikan 20 lagu popularnya. Antara lagu yang didendangkan termasuk “Kasihku Pertahankan,” “Setiaku Di Sini,” “Kemelut Di Muara Kasih,” “Kekal,” “Berpisah Jua,” “Anggapanmu,” “Sangkar Cinta,” “Terkenang Jua,” sebelum menutup tirai persembahan dengan single yang berjaya meledakkan namanya, “Madah Berhelah.”