Ahad ini, kemuncak pertandingan Planet Joget yang julung kali dicetuskan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal bersiaran secara langsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur bermula 9 malam di TV1.
Tidak seperti kebanyakan pertandingan tarian lain yang pernah dihasilkan, Planet Joget berani melawan arus memartabatkan tarian joget sebagai tunjang utama. Lapan pasangan dalam debaran untuk memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 termasuk tajaan motosikal Modenas dan sebuah kereta Cherry.
[pullquote]Acara ini akan dihoskan Muaz Muhammad dan calon Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2013, Dazrin Kamarudin. Lebih istimewa ia bakal dimeriahkan dengan persembahan khas dari artis tersohor tanah air seperti Ziana Zain, Syafinaz Selamat, Rosnan Rahman dan Koir Kebangsaan.[/pullquote]
Lapan kumpulan yang sudah mengesahkan ke Malam Kemuncak ialah Kumpulan Azzam dari Kuala Lumpur, Kumpulan Kutari (Sarawak), Kumpulan Duo (Pulau Pinang), Kumpulan Top of The Joget ( Sarawak), Kumpulan Anak Seni Asia (Kuala Lumpur), Kumpulan Sayang Sarawak (Sarawak), Kumpulan Ketak Tumn (Melaka) dan Kumpulan Nyala Dance (Kuala Lumpur)
Mengimbas kembali mengenai perjalanan pertandingan ini sepanjang enam episod lalu, bakat yang diperoleh ditapis dari peringkat zon hingga nasional. 230 pasangan hadir ke uji bakat dan kini hanya lapan pasangan saja yang berjaya melepasi ujian.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, Planet Joget kesinambungan kepada kerjasama strategiknya dengan RTM dalam mempopularkan seni tari tradisi supaya tidak terus dilupakan begitu saja selain meningkatkan jati diri serta memupuk semangat sayangkan budaya sendiri.
“Ia juga seiring dalam menyokong usaha kerajaan terhadap Tahun Melawat Malaysia 2014. Kita boleh terus mempopularkan budaya dan seni kepada orang luar menerusi penganjuran acara sebegini. Justeru JKKN amat mengharapkan landasan yang disediakan RTM menjadi titik tolak untuk kita mengembangkan seni budaya kita.
“Malam Kemuncak Planet Joget bukan saja menjadi medan pertaruhan kepada lapan pasangan tadi bahkan penonton di rumah dan di Auditorium akan dihiburkan dengan persembahan selingan daripada Ziana, Syafinaz, Rosnan yang akan bergabung dengan Koir Kebangsaan dalam satu persembahan khas yang cukup hebat.”
Musim pertama Planet Joget memulakan episod pertamanya dari uji bakat di enam zon sejak Oktober 2013 yang lalu. Malam kemuncak nanti, finalis Planet Joget akan mempersembahkan tarian mereka dalam tiga segmen. Segmen pertama mereka dikehendaki mempersembahkan Tarian Joget Tradisional yang mengekalkan asas disiplin tarian joget seperti tangan genggam tak sudah, postur, busana dan gerak langkah di mana bagi segmen ini markah mewakili 50% markah keseluruhan.
Pada pusingan kedua pula, pasangan akan mempertaruhkan pasangan ‘bayangan’ atau ‘mentee’ mereka yang akan bertempur tari joget dengan pasangan ‘bayangan’ atau ‘mentee’ dari pasangan yang menjadi lawan mereka. Ia seperti battle.
Sementara itu pusingan ketiga akan memperlihatkan kehebatan kesemua lapan pasangan untuk berentap dalam ‘tempur tari’ yang memperlihatkan kemahiran masing-masing secara tempur dengan kreativiti mereka untuk mematahkan hasrat lawan masing-masing dalam gerak joget.
Planet Joget musim pertama turut berjaya membuka mata banyak pihak untuk menyokong usaha ini termasuk dari sudut penajaan. Contohnya motosikal Modenas dan sebuah kereta Cherry dan lain-lain hadiah yang bernilai RM 100,000
Program ini sudah bersiaran sejak Oktober 2013 setiap Selasa, 9.00 malam di TV1. Peminat boleh terus mengikuti program ini menerusi laman sosial facebook ’fanpage’ Planet Joget Mygempak. Para penonton yang ingin menyaksikan Malam Kemuncak Planet Joget pada 16 Februari ini secara langsung bolehlah mengambil pas masuk percuma yang mula diedarkan di Balai Pengawal RTM di Angkasapuri mulai Rabu 12 Februari 2014.