Program dua jam ini membawa kepada penonton mereka berkongsi kisah pengorbanan Ziana Zain, Ameng Spring, Siti Nordiana dan Ippo Hafiz serta orang terdekat sambil diselang-seli dengan dendangan lagu yang dinyanyikan mereka sendiri. Lagu-lagu tersebut mempunyai kisah yang berkaitan kisah pengorbanan yang pernah ditempuhi mereka suatu ketika dahulu.
Peminat Ameng Spring berpeluang berkongsi kisah silam beliau terlibat dengan dadah dan dipenjarakan. Beliau kembali insaf serta mendekatkan diri dengan agama dan isterinya banyak bersabar dan berkorban ketika menghadapi dugaan tersebut.
Penyanyi yang baru muncul dengan single terbaharu, Angkara, Siti Nordiana pula menceritakan kisah dirinya yang berkorban sebagai seorang anak demi membahagiakan ayah dan ibunya. Beliau juga menyatakan hasrat untuk membawa mereka menunaikan ibadah Haji bersama.
Komposer dan penyanyi Ippo Hafiz teruja memulakan kisah beliau dengan mengimbau kisah silam ketika melalui zaman kanak-kanak. Beliau kemudiannya menerapkan kisah tersebut dalam lagu-lagu yang diciptanya. Kebanyakan lagu yang dihasilkannya bersifat ketuhanan dan kerohanian.
Ziana Zain kemudiannya muncul mengingatkan penonton agar bersifat ikhlas ketika melakukan apa jua pengorbanan. Beliau turut berkongsi cabaran dan pengalaman hidup dilaluinya dengan bekerja keras dan berkorban demi untuk membesarkan anak-anak.
Menariknya sepanjang rancangan, diselitkan dendangan sebanyak 12 buah lagu yang dinyanyikan oleh artis-artis terlibat. Mereka mengakhiri rancangan dengan berpadu suara menyanyikan lagu ‘Perjalanan Hidup’ dendangan Ramli Sarip.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.