in ,

Zee Avi Nyanyi ARENA CAHAYA Lagu Tema Filem OLABOLA

Selepas kejayaan filem The Journey pada tahun 2014, kini pengarahnya Chiu Keng Guan kembali dengan buah tangan terbarunya, OlaBola. Judulnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan penonton sedia maklum tentang intipati penceritaannya adalah sukan bola sepak.

Bagi menambahkan sintimen emosi dalam filem ini, sebuah lagu telah dihasilkan untuk dijadi pelengkap. Istimewanya, penyanyi dan penulis lagu yang kini sedang menempah nama di negara Amerika Syarikat, Zee Avi telah diangkat sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola yang bertajuk ‘Arena Cahaya’.

Untitled

‘ARENA CAHAYA’ NYAYIAN ZEE AVI DIANGKAT LAGU TEMA FILEM OLABOLA

[dropcap]A[/dropcap]rena Cahaya telah dihasilkan oleh Zee bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi yang juga kini berada di Amerika Syarikat. Zee bukan sahaja menyanyikan lagu ini tetapi dia turut terbabit dalam susunan muzik.

Menurut Zee, beliau berasa teruja dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan pengarah berbakat besar, Chiu. “Sememangnya saya amat meminati hasil-hasil karya Chiu. Apabila Chiu menghubungi saya melalui laman sosial Facebook dan meminta saya untuk menghasilkan lagu tema utama filem beliau, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang”.

“Lagu ini telah ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa. Saya berharap agar lagu ini mampu memupuk semangat dan mengembalikan sorak juang rakyat Malaysia,” tambah Zee lagi.

“Restui Mimpi Yang Sejati, Di Arena Cahaya” – Arena Cahaya, Zee Avi

[dropcap]P[/dropcap]engarah filem OlaBola, Chiu Keng Guan berkata pemilihan Zee sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola adalah kerana bakatnya dalam menghasilkan lagu yang segar dan mengikuti trend semasa. Tambahan pula, kehadiran Zee dalam industri muzik tanah air sememangnya diterima oleh peminat di Malaysia.

Chiu juga mengkagumi perjalanan karier Zee dalam industi muzik di mana Zee bermula hanya dengan video nyanyian menerusi laman YouTube sehingga berjaya menjadi artis Malaysia pertama yang menembusi carta US Billboard Hot 200 dan itu ternyata menjadi inspirasi buat semua.

Sewaktu sesi pembikinan lagu ini, Zee telah pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Chiu bagi menonton dan menghayati filem OlaBola. Meskipun hanya menyaksikan sedutan klip dari filem itu, Zee akui bahawa filem ini berjaya membuat hatinya tersentuh dengan jalan cerita serta lakonan mantap oleh setiap pelakon dan itu memberi dorongan buatnya untuk menulis sebuah lagu yang mampu menterjemahkan sentimen filem tersebut.

Pembikinan lagu Arena Cahaya ini mengambil tempoh masa satu bulan dan lagu ini dihasilkan dengan lirik yang penuh makna dan mampu menyentuh emosi. Menariknya, apabila kali pertama Chiu mendengar lagu ini setelah ia dihasilkan, Chiu terus berpuas hati tanpa ada perubah lirik serta alunan muzik dan merasakan lagu ini sememangnya sinonim dengan filemnya.

Zee yang juga merupakan salah seorang peminat pasukan bola sepak negeri Sarawak, yakin bahawa filem OlaBola bakal menjadi sebuah filem terbaik dan mampu mencipta fenomenanya tersendiri. Dia juga berharap agar lagu Arena Cahaya akan diterima bukan sahaja oleh peminat filem ini malah semua seluruh rakyat Malaysia.

Lagu Arena Cahaya akan mula dimainkan di radio bermula pada hari ini menerusi radio ERA FM, Sinar FM, hitz FM, MIX fm, Lite FM, THR Gegar, THR Raaga, MY FM dan MELODY FM.

OlaBola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini memaparkan semangat juang sebuah pasukan bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam kesungguhan untuk mengharumkan nama negara. Filem bergenre drama ini juga turut mengetengahkan nilai-nilai perpaduan yang mampu mendorong rakyat Malaysia sama-sama mencapai impian.

OlaBola bakal menemui penonton di layar perak pada awal tahun 2016. Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan produksi oleh Woo Hoo Pictures. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.olabola.tv dan ikuti Instagram olabola.tv untuk berita dan informasi terkini.

Untitled

Synopsis OLABOLA

[dropcap]B[/dropcap]erlatarbelakangkan era 1980-an, Ola Bola merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit dari kekecewaan dan muncul menjadi wira negara. Kisah yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini bukan sahaja memaparkan semangat juang dan maruah pasukan bola sepak negara, tetapi juga menyaksikan kepayahan dan kesungguhan barisan pemain mengatasi masalah peribadi dan juga yang berkaitan dengan pasukan. Kisah ini juga mendalami kehidupan seharian dan memaparkan semangat waja yang tidak kenal erti putus asa walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Filem yang diarahkan oleh pengarah hebat Chiu Keng Guan ini merupakan satu perjalanan inspirasi yang dijangka akan menambat hati para penonton Malaysia.

Tentang Zee Avi

[dropcap]N[/dropcap]ama Izyan Alirahman atau lebih dikenali sebagai Zee Avi merupakan penyanyi yang mempunyai bakat besar dalam menghasilkan lagu, bermain gitar dan ukulele. Anak kelahiran Bumi Kenyalang, Sarawak ini mula berpindah ke Kuala Lumpur sejak usia belasan tahun dan kini berbekalkan bakat yang ada, beliau menjinakkan diri dengan menempah nama di Amerika Syarikat.

Perjalanan karier Zee dalam industri muzik amat menarik, di mana beliau memulakan kariernya menerusi laman YouTube dan berkat hasil usaha kerasnya, kini dia mampu berdiri sebaris dengan nama-nama besar seperti Norah Jones, Mariah Carey, Jay-Z dan The Black Eyed Peas.

Mengenai latar belakang Zee, beliau merupakan pelajar jurusan pereka fesyen di London’s American InterContinental University. Beliau pernah memenangi gelaran The International Youth Icon Award 2011 di negeri Sarawak, dan turut pernah dianugerahkan sebagai Pegawai Bintang Kenyalang oleh Yang di-Pertua Negeri.

Bakat Zee telah dicungkil oleh Patrick Keeler dari kumpulan The Raconteurs sejurus Patrick menyaksikan video klip lagu Zee yang bertajuk No Chrristmas For Me di laman YouTube. Bermula dari saat itu, Zee mula mengikat kontrak bersama label Jack Johnson’s Brushfire Records dan muzik diterbitkan oleh label Monotone yang juga menerbitkan The White Stripes and The Shins.

Album pertama beliau telah mencapai penganugerahan emas di empat negara, manakala album berikutnya, Ghostbird menjadikan beliau sebagai artis pertama Malaysia yang menyanyikan lagu kempen untuk jenama Starbucks di Amerika Syarikat. Tahun lalu, menerusi album Nightlight telah dinobatkan sebagai salah satu iTunes Best of 2014 Album dalam kategori muzik kanak-kanak.

Kejayaan Zee turut mendapat perhatian dari majalah cetak Rolling Stone, Esquire, Teen Vogue, Paste, Entertainment Weekly dan lain-lain lagi.

Beliau juga pernah membuat persembahan pembukaan di konsert Jack Johnson dan Ani Di Franco. Selain itu dia turut beraksi di festival seperti SXSW dan Lilith Fair dan Rainforest World Music Festival di negeri kelahirannya, Sarawak.

Lagu beliau turut pernah mewarnai drama siri popular, Gossip Girl dan Swell Window untuk salah satu lagu tema filem 21 Jump Street pada tahun 2012.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yatt Hamzah Tetamu Program BARAKAH

Madonna Beraksi Kali Pertama di Singapura