Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil berkata, perkara utama yang menjadi fokusnya adalah menjaga kebajikan penggiat industri seni kreatif secara total.
“Terima kasih kepada semua pihak kerana beri kepercayaan kepada saya menggalas tanggungjawab cukup berat ini.
“Saya lihat pelantikan ini sebagai penghargaan terhadap kepakaran dan pengalaman saya dalam mengurus hal kebajikan sepanjang menerajui SENIMAN.
“Perkara utama yang akan saya ketengah adalah mengemaskini data industri seperti maklumat peribadi penggiat seni. Sebelum ini, timbul rungutan penggiat industri yang gagal mendapat bantuan kerajaan berikutan data yang tidak dikemaskini,” katanya kepada BH Online.
Zed menambah, fokusnya adalah membantu semua penggiat seni, bukannya kelompok tertentu.
“Selain itu, saya merancang mewujudkan tabung khas sebagai sokongan tabung sedia ada. FINAS sudah ada program kebajikan sendiri iaitu Ziarah Kasih.
“Kita tidak mahu apabila tabung yang digunakan untuk menjalankan program itu bermasalah, projek amal terpaksa dihentikan.
“Justeru, bagi memastikan program kebajikan berterusan, saya akan mencari jalan untuk mewujudkan tabung sokongan yang dimaksudkan.
“Perkara ini akan saya bawa ke mesyuarat pertama nanti,” katanya yang memuat naik surat pelantikannya di Facebook (FB).
Zed dilantik Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, FINAS mulai 19 Jun lalu hingga 22 Mei 2022.
Ditanya apakah dibenarkan menjalankan tugas sebagai Presiden SENIMAN, Zed berkata, dia boleh meneruskan tanggungjawab seperti biasa.
“Setakat ini, tiada peruntukan yang menyatakan saya perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden persatuan selepas dilantik sebagai AJK FINAS.
“Kepercayaan yang diberi Menteri, Pengerusi FINAS, Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif amat saya hargai.
“Demi kebajikan penggiat seni, walau seberat manapun tanggungjawab itu, saya akan berusaha melaksanakan amanah sebaiknya,” katanya.
Sumber: BH Online