Peminat Zayn Malik hari ini dikejutkan dengan berita perpisahan bekas anggota kumpulan popular One direction itu dengan tunangnya, anggota kumpulan Little Mix, Perrie Edwards.
Memetik laporan People, Zayn Malik telah membuat keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan Perrie dua minggu lalu.
Difahamkan, penyanyi berusia 22 tahun itu menghubungi Perrie dan memberitahu keputusan beliau untuk mengakhiri pertunangan mereka.
Walaupun Perrie setuju dengan keputusan tunangnya itu, penyanyi berusia 22 tahun itu dilapor ‘berendam air mata’ dengan tindakan Zayn.
Menurut satu sumber kepada People, Perrie kini menerima sokongan dari rakan-rakannya dan dia kesal dengan tindakan Zayn.
Zayn dan Perrie bertemu pada tahun 2011 dan mula menjalinkan hubungan pada tahun 2012, sebelum pasangan pop itu bertunang pada tahun 2013.
Selepas bertunang, pasangan ini telah dibelenggu oleh khabar angin mengenai bila mereka akan berkahwin, namun mereka tidak pernah merancang perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, sehingga kini, pasangan itu masih belum memberi sebarang komen atas berita putus tunang mereka itu. Semestinya yang paling kecoh di laman sosial adalah peminat kedua-dua mereka yang mengharapkan hubungan pasangan itu berakhir ke jinjang pelamin.