Menerusi satu perkongsian video di akaun Instagram, pelakon Zara Zya meluahkan rasa sedih dan sebak kerana dituduh dengan hal yang tak sepatutnya.
Menerusi video tersebut, Zara didakwa menipu dan mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain serta ada yang memandang serong dengan dengan kebajikan dilakukannya.
Zara juga menjelaskan bahawa laman web www.malaysiaprihatin.com yang telah dilancarkan adalah untuk memudahkan orang ramai menghulurkan bantuan pada yang kurang bernasib baik.
Zara berkata, dia tidak tahu kenapa dirinya terus menerus dituduh makan duit haram sedangkan berniat melakukan kebaikan menerusi kerja-kerja kebajikan dan perkara tersebut sangat dikesalkannya.
Tidak cukup dengan itu, setiap perkongsiannya berhubung kerja-kerja kebajikan pasti akan mengundang kecaman negatif dan dikatakan menunjuk-nunjuk daripada netizen.
“Saya kecil hati, saya kecewa sebab apa yang saya tahun saya buat kerana ikhlas. Saya memang suka tolong orang. Saya suka kongsi rezeki dengan orang. Dari dekat sekolah sampailah sekarang.
“Jadi sampailah sekarang saya gunakan nama saya Zara Zya untuk ajak orang ramai sama-sama buat kebaikan dan kebajikan. Saya nak bantu lebih ramai orang. Duit saya sendiri tak cukup untuk semua orang.
“Bila saya buka laman web Malaysiaprihatin, orang tuduh saya macam-macam. Makan duit haramlah, ambil hak dan rezeki orang lainlah,”
– Zara Zya
Dalam hantaran video berdurasi hampir satu jam tersebut, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin turut tidak faham dengan segelintir penyumbang dalam web berkenaan yang ketelusan pengagihan wang bantuan telah dihukurkan.
“Mereka bagi sumbangan akan dapat resit. Saya tahu laman web itu baru dibuka. Demi Allah sumbangan itu bukan untuk saya tetapi untuk orang lain. Kalau boleh keluar jauh saya mahu jumpa lebih ramai orang tetapi keadaan yang tak mengizinkan, sekarang masih Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Saya dah buat macam-macam tapi orang tetap tak nak support (sokong) saya. Kenapa? Bukan senang saya nak buat laman web tersebut.
“Bukan senang juga saya nak dapat dan kumpulkan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang saya ada hingga kini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon drama Pia itu turut meminta orang ramai terus menyokong dan mendoakannya selain menyifatkan dugaan yang diterima sebagai asbab untuk dia terus melakukan kebaikan kepada lebih ramai dengan kerja-kerja kebajikan.
Terdahulu, Zara berbekalkan modal simpanannya sendiri mengambil inisiatif menubuhkan sebuah laman web, www.malaysiaprihatin.com pada tahun bertujuan menyediakan platform sah dan telus untuk mana-mana pihak yang memerlukan dan berminat untuk menyalurkan sumbangan.
Bagaimanapun, hingga ke saat ini, niat murni dan ikhlasnya sering disalah erti, dipertikai dan dipersoal segelintir netizen yang melabelkannya hanya mengambil kesempatan dan sekadar menunjuk-nunjuk.
Sumber: Instagram Zara Zya