Zamarul, Diana kahwin 16 Mei
KUALA LUMPUR 1 April – Selepas lapan tahun mengenali hati budi masing-masing, pelakon Zamarul Hisham, 38, dan Diana Rafar, 27, bakal melangsungkan pernikahan pada 16 Mei ini.
Menurut Diana, tarikh itu dipilih atas kata sepakat mereka berdua selepas Zamarul melamarnya pada Februari lalu.
Tambah beliau, majlis pernikahan mereka akan berlangsung 16 Mei ini di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
”Persandingan pula diadakan pada sebelah malam. Lokasinya belum ditentukan tetapi kami mahu berkonsepkan taman. Mungkin di Shah Alam juga.
”Resepsi di sebelah pihak lelaki akan diadakan di Bangi. Tarikhnya pun kami masih belum tetapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Diana, persiapan menjelang tarikh perkahwinan sudah 70 peratus siap dan mereka memilih pereka fesyen terkenal, Syahril Nordin untuk tempahan pakaian pengantin serta khidmat sajian makanan daripada Kuzie Catering.
”Soal hantaran saya tidak dapat beritahu sekarang kerana kami masih berbincang mengenainya,” jelasnya yang telah pun menghadiri kursus perkahwinan pada tahun lepas.