Menurut laporan yang disiarkan di Utusan Malaysia, ekoran kesihatan yang tidak mengizinkan berada di atas pentas, penyanyi Zamani menarik diri daripada program Gegar Vaganza musim kelima (GV5). Zamani buat keputusan itu sejak awal minggu lalu. Ini disahkan oleh bekas pengurus Zamani, Johan Aziz.
“Semalam dia menangis kerana malu, orang expect dia menyanyi dengan baik. Ini kejadian pertama dia kehilangan suara. Itu periuk nasi dia.
“Hari ini dia rehat, malam nanti saya akan berjumpa dengannya. Zamani ini orang yang sensitif,”
Namun, menurut berita yang disiarkan di Berita Harian pula, Pengurus Zamani, Aalan Ahmad telah menafikan dakwaan penyanyi itu mahu menarik diri.
Nampaknya, pendapat bekas pengurus dan pengurus Zamani sangat bercanggah. Sah-sah kita akan percaya kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus yang betul-betul berkerja untuk mengurus Zamani kan?
Zamani masih lagi peserta program itu walaupun segala keputusan terletak kepada Zamani.
Kontroversi dan kekeliruan ini berlanjutan untuk beberapa hari dalam minggu ini ekoran dari kenyataan dan khabar angin. Tak kurang Farahdhiya yang bersuara tentang perkara ini telah dikecam netizen.
Menyingkap kembali kejadian tersebut, Zamani sepatutnya menjadi peserta yang tersingkir setelah menerima markah sebanyak 0% daripada pihak juri kerana gagal melontarkan suara sewaktu menyanyikan lagu ‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta’ kerana berhadapan dengan masalah kesihatan dan peti suaranya yang dikatakan ‘terkoyak’.
Momen tersebut juga tanpa diduga telah menerbitkan rasa sedih dan simpati yang cukup dirasai oleh orang ramai sehingga hampir kesemua penonton di dalam dewan auditorium termasuk barisan juri dan hos bangun untuk menyanyikan lagu tersebut bagi mengiringi persembahan Zamani.
Rezeki ternyata masih berpihak kepada Zamani. Dengan keputusan tersebut, Zamani masih dikekalkan untuk beraksi ke pusingan suku akhir Ahad ini.
Senarai Lagu Terbaik Bos GEGAR VAGANZA Minggu Ke-5
Cabaran konsert pusingan suku akhir yang bertemakan ‘Terbaik Bos!’ bakal memperlihatkan para bintang mendendangkan lagu-lagu hits dalam kategori ‘award-winning’. Amelina diberi cabaran untuk menyanyikan lagu ‘Seroja’ yang dipopularkan oleh Search, Zamani (Hapus Aku oleh Nidji), Mya Ruslee (Hatinya Tak Tahan oleh Noraniza Idris) Dia Fadila (Bencinta oleh Faizal Tahir), Forteen (Satu oleh Dato’ Zainal Abidin & Tan Sri SM Salim), Hetty Sarlene (Korban Kita oleh Ziana Zain), Farawahida (Ayat Ayat Cinta oleh Dato’ Sri Rossa), Noryn Aziz (Seandainya Masih Cinta oleh Dayang Norfaizah) dan Billy Zulkarnain (Back At One oleh Brian McKight).