“Oh tidak, saya tidak merancang apa-apa. Soal cahaya mata saya serahkan kepada kuasa Allah menentukannya,” ringkas jawapan jujur dari plantun lagu ‘Gerimis Mengundang’ ini ketika berbual santai bersamanya soal menambah anggota keluarga.
Zamani ditemui selepas majlis sidang media Konsert Slam Mentari Muncul Lagi bersama anggota kumpulan Slam yang lain iaitu Shah, Eddie dan Man baru-baru ini. Konsert terbaru Slam bakal diadakan pada 17 Januari 2021 di Dewan Plenari, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) .
Bercakap lanjut, Zamani memberitahu setakat ini, beliau tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk menggunakan kaedah persenyawaan in vitro (IVF) untuk memperoleh anak sebagaimana yang dilakukan pasangan yang kepingin menimang cahaya mata pertama seperti penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza yang dikurniakan Siti Aafiyah, pada usia 39 tahun selepas 11 tahun berkahwin.
Jawapannya itu turut dipersetujui isterinya, Juliana bahkan katanya, yang lebih penting adalah memastikan kesihatan Zamani kembali pulih daripada sakit belakang yang dialaminya sekarang.
Tambah Juliana, suaminya itu sedang dalam rawatan terapi daripada seorang pakar di Taiping, Perak bagi meringankan kesakitan yang dialami pada tulang belakangnya.
“Bagi saya, yang lebih diutamakan sekarang adalah memulihkan kesihatan Zamani. Soal anak kami serahkan kepada ketentuan Allah kerana kami tidak merancang apa-apa tetapi ‘go with the flow’,”
– Juliana
Penulis jelas kelihatan Zamani agak membongkok ketika berjalan dan berdiri sewaktu ditemui, namun atas tanggungjawabnya untuk menghiburkan peminat, penyanyi pujaan ramai ini tetap berjanji bakal memberikan persembahan terbaik bagi membangkitkan nostalgia lagu-lagu hits kumpulan Slam pada konsert itu pada tahun hadapan (2021).
“Doakan saya baik-baik sahaja agar dapat menjalani latihan dan memberikan persembahan terbaik kelak,”
– Zamani
Jika korang rindukan lagu-lagu seperti ‘Tak Mungkin Berpaling’, ‘Kembali Terjalin’, ‘Nur Kasih’ dan tentu sekali lagu judul konsert ‘Mentari Muncul Lagi’ bolehlah melepaskan kerinduan itu pada konsert anjuran Shiraz Projects di Dewan Plenari KLCC itu pada 17 Januari 2021 nanti ya.
*Sumber: KitaReporters (Kak Fariza)