in

Zainal Ariffin Ismail Dalam Misteri Nusantara TV3 Musim Terbaru

MISTERI NUSANTARA
USAH BIARKAN HIDUP ANDA DISELUBUNGI MISTERI….

Kepercayaan terhadap perkara-perkara mistik dan misteri mengaburi kehidupan manusia sejagat malah tidak kurang juga menolak kewujudannya dan menganggapnya sebagai tahyul. Justeru, untuk memberi jawapan kepada perkara tersebut program Misteri Nusantara yang mula diperkenalkan pada tahun 2003 pernah mencecah rating sebanyak 3.11 juta penonton, kini kembali untuk musim baru bermula pada 19 Disember, setiap Jumaat jam 9.30 malam di TV3.

Misteri Nusantara masih diterajui oleh Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara yang dianggap sudah senonim, musim ini pengambaran dijalankan di sekitar Malaysia dan Indonesia serta menyelidik dan mengupas sesuatu topik dengan lebih mendalam di mana isu-isu misteri dan mistik selalu diperkatakan. Krew penerbitan Misteri Nusantara terdiri dari Mazlin Nordin (Penerbit Esekutif Misteri Nusantara) Mohd Naim Niamat (Penerbit), Djaka Legawa Dinata (Penerbit Bersama), Shahnon Rauf (Penolong Penerbit), Saiful Hadi Ahmad dan Mohd Fairuz Ariff ( Pembantu Penerbitan).

Menurut Mazlin Nordin, ”Program Nusantara diterbitkan bertujuan untuk mengenali, cara-cara mengatasi dan mengelakkan sesuatu perkara misteri dan mistik yang menjadi ikutan sesuatu pihak. Walaupun kepercayaan seperti susuk, saka dan santau tidak boleh dilihat dari mata kasar, namun sudah banyak kes-kes yang membuktikan kewujudan perkara tersebut malah percaya sepenuhnya kepada bomoh dan dukun yang dijadikan sebagai pelindung. Tidak dinafikan bomoh merupakan perantara yang mampu memulihkan sesetengah penyakit tetapi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya untuk mengelakkan akidah seseorang itu dari terpesong.”

Antara topik-topik yang dibincangkan ialah santau seperti santet tanah seberang, santau angin, santau grik, santau Iban dan juga cara-cara bagaimana penyembuhan jika seseorang itu mendapat santau atau mendapat penyakit-penyakit aneh yang lain. Kejadian misteri yang berunsur mistik turut dikupas di mana sebuah banglo lama yang terletak di Utara Semenanjung didiami oleh ribuan tebuan yang dikatakan ada suatu jelmaan. Begitu juga dengan sebuah Arca berbentuk sebatang tongkat di daerah Dayeuh Luhur Indonesia dikatakan kepunyaan Eyang Jaka Perkasa yang menghilangkan diri di dalam pertapaannya kini dikunjungi ramai orang yang mempercayai bahawa ia mempunyai keramat.

Misteri Nusantara mendekati tiga orang pemuda yang memiliki kemahiran membuang saka daripada seorang wanita tua, yang dikatakan terdapat saka bersarang di dalam tubuhnya bertahun-tahun lamanya. Akhirnya saka itu berjaya dibuang dengan melalui cara dan kaedah tertentu. Paparan seterusnya pula menyaksikan seorang dukun menggunakan lidahnya untuk merawat pelbagai penyakit kulit. Sebelum menjilat pesakit,  dukun itu akan menjilat sebilah parang yang dipanaskan dengan api.

Turut dipaparkan ialah di sebalik kisah Penjara Pudu dibina dengan bentuk X  menyerupai penjara Kandy Bogambia di Afrika. Penjara yang pada asalnya menempati hanya enam ratus orang banduan akhirnya terpaksa menampung 6550 orang pesalah. Namun sejak ia ditinggalkan bermacam-macam cerita aneh didengari dan dikatakan beberapa jelmaan dan jeritan misteri terdapat di dalamnya. Begitu juga dengan perkara aneh yang terjadi di sebuah masjid di pinggir Kota Jakarta yang dikenali sebagai Masjid Pintu Seribu. Bagi sesiapa yang belum biasa dengannya dilarang masuk tanpa juru pandu dikhuatiri akan tersesat kerana ia mempunyai banyak pintu malah di dalamnya juga terdapat sebuah kolam misteri yang kononnya belum pernah kering meskipun di ambil ribuan orang.

Salah satu daripada episod pada musim terbaru ini, pihak penerbit akan memaparkan kisah pemburu alam ghaib yang berbeza dan bagaimana cara dan kaedah menangkap makhluk halus. Krew Misteri Nusantara ke Jakarta bertemu dengan seorang pemburu makhluk halus bernama Ustaz Ridhuan yang sering dijemput dalam upacara pembersihan rumah yang didiami makhluk halus. Apa yang menarik ialah ketangkasannya menangkap makhluk halus dengan melompat dari tempat yang tinggi.

Bagi mereka yang menggemari perkara misteri dan mistik pastikan anda menonton Misteri Nusantara yang pastinya bakal menjawab persoalan di minda anda. Selamat menonton!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Green Sunny Christmas Magical Chrismas Musical di Hari Krismas RTM

Astro Fiesta di saluran 808 dan 809 Saluran Percuma Astro