Sebuah sejarah bakal tercipta dalam industri seni tanahair apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) berkolaborasi dengan penyanyi legenda Zainal Abidin dalam konsert yang bakal berlangsung pada hari Jumaat, 6 Mei 2016 dan Sabtu, 7 Mei 2016 jam 8.30 malam bertempat di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur City Centre.
Konsert ini akan terus menyaksikan keunggulan MPO yang melangkau pelbagai genre muzik; dari muzik klasikal barat ke runut bunyi filem, pop, jazz dan kontemporari. Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa kepada pelbagai lapisan penonton menerusi lebih kurang 100 buah konsert setiap musim di DFP. MPO juga telah melebarkan sayap ke negara-negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun, Vietnam dan Australia.
Kolaborasi Artis Legenda Zainal Abidin Bersama Orkestra Filharmonik Malaysia
Zainal sendiri merupakan sebuah figura tersohor yang mempunyai beberapa album yang berkualiti sepanjang karier selama 30 tahun dalam industri muzik tanahair. Konsert ini bakal menjadi antara yang terpenting dalam lipatan karier seni beliau, sekaligus menjejaki senarai artis tempatan yang pernah berkolaborasi dengan MPO seperti Tan Sri SM Salim, Dato’ Sheila Majid, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ M Nasir, Dato’ Jamal Abdillah dan Datuk Ramli Ibrahim.
Zainal memulakan langkah dalam industri muzik sebagai penyanyi kelab malam sebelum mencipta nama sebagai penyanyi utama kumpulan Headwind yang mempunyai deretan lagu-lagu hits pada dekad 1980an melalui 6 buah album.
Dengan minat yang mendalam untuk genre ‘world music’, Zainal mengorak langkah sebagai penyanyi solo dengan mengeluarkan album perdana pada tahun 1991 di bawah terbitan Roslan Aziz Productions (RAP). Lagu-lagu hebat seperti Hijau, Ikhlas Tapi Jauh dan Manis telah melonjakkan nama beliau di persada seni tanahair. Ini diikuti dengan album kompilasi bertajuk Ikhlas bersama artis-artis RAP yang lain seperti Sheila Majid, Zubir Ali dan Amir Yusof, disusuli dengan konsert besar-besaran di Stadium Merdeka pada tahun 1992 di hadapan 45,000 penonton.
Album ketiga beliau, Gamal, terbitan tahun 1994, telah memenangi anugerah Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Kulit Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik pada tahun itu. Album-album beliau yang lainnya adalah Orak Arek (1993), Terang…Sang (1995) dan Puteri (2004) terus memahat namanya sebagai salah seorang artis tempatan yang berkarisma.
Pada tahun 1999, beliau menyanyikan versi tempatan lagu tema untuk filem animasi Disney, ‘Tarzan’. Bertajuk Kau Di Hatiku, lagu asalnya berjudul You’ll Be In My Heart dicipta dan dinyanyikan oleh Phil Collins.
Dikenali dengan persembahan pentas yang mengkagumkan, Zainal telah membuat persembahan di festival-festival muzik antarabangsa seperti Womad 92 di Yokohama, Jepun (diikuti dengan siri konsert bergerak ke lima bandar utama Jepun), Shirataka Music Festival, Asian Music Festival Fukuoka, Asian Fantasy Orchestra Tokyo, Asian Music Scene Manila, Midem-Cannes Music Festival dan Midem-Asia: Hong Kong Music Festival.
Di Malaysia, beliau telah mempersembahkan konsert-konsert hebat seperti Konsert Orak Arek di Stadium Merdeka (1993), Salem Concerts (1996), dan pada tahun 2012, beliau membuat persembahan di Legendary Concert dan Konsert Damai Unplugged di Istana Budaya bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Ini merupakan kali ketiga Zainal membuat persembahan di pentas DFP selepas terlibat dalam DFP Seni Festival pada tahun 2010 dan 2014. Namun, ini merupakan konsert penuh beliau bersama MPO yang akan membawa penonton menyusuri perjalanan seni beliau. Dengarkan interpretasi simfoni MPO untuk lagu-lagu malar segar seperti Bongkar, Manis, Kau Di Hatiku, Debu Liar, Inaiah, Puteri, Damai dan Hijau. Persembahan ini juga akan menyajikan lagu-lagu rakyat dan lagu-lagu dari era kegemilangan Headwind yang pasti akan menggamit kenangan indah buat para peminat.
Semua lagu digubah khas untuk konsert ini dan diberi nafas baru oleh penggubah-penggubah seperti Ahmad Muriz Che Rose, Vivian Chua, Syed Shahrir Faisal, Luqman Aziz, Sham Zin dan Leonard Yeap.
MPO yang dianggotai 90 pemuzik akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose yang mempunyai ijazah muzik dari Universiti Teknologi Mara, The Boston Conservatory dan Berklee College of Music. Beliau pernah membuat persembahan di pesta muzik kebudayaan di Indonesia, Singapura, Perancis and USA termasuk KL International Jazz Festival. Di pentas DFP, beliau pernah mempersembahkan konsert hebat seperti Keroncong Merdeka (2012) dan MPO Rocks (2013).
DFP boleh memuatkan seramai 920 penonton dalam satu masa dan mempunyai rekabentuk dan akustik yang mengkagumkan. Saksikan kolaborasi dinamik MPO bersama penyanyi legenda ini, hanya di DFP!
‘The MPO & Zainal Abidin’
Maklumat Persembahan
Tarikh
Jumaat, 6 Mei 2016 dan Sabtu, 7 Mei 2016 jam 8.30 malam
Tempat
Dewan Filharmonik PETRONAS
Menara Berkembar PETRONAS
Orkestra / Konduktor / Vokal
Orkestra Filharmonik Malaysia / Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO)
Ahmad Muriz Che Rose konduktor
Zainal Abidin vokal
Harga Tiket
Premium: RM350, A Reserve: RM250, B Reserve: RM150, C Reserve: RM100
Waktu Operasi Box Office
Selasa hingga Sabtu: 10.30 pagi – 6.30 petang, 9.00 malam (pada hari persembahan)
Ahad: 12.00 tengahari hingga waktu persembahan
(Tutup pada hari Isnin dan Cuti Am kecuali pada hari konsert yang dijadualkan)
Tempahan Telefon: 03-23317007 Tempahan Fax: 03-23317077
Tempahan Email: [email protected]
Laman Web MPO: www.mpo.com.my
Facebook: fb.mpo.com.my
Instagram: @malaysianphilharmonicorchestra