Suami kepada aktres jelita Rozita Che Wan (Che Ta) pelakon Zain Saidin terpaksa bertongkat selama lebih sebulan selain dinasihatkan tidak terbabit dengan aktiviti lasak selama enam bulan.
Menurut laporan Harian Metro, Zain dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta, Jumaat lalu selepas mengadu lutut kirinya semakin sakit sejak bermain futsal beberapa hari sebelum Ramadan bermula.
Pemeriksaan doktor kemudian mendapati ligamen lutut kirinya terkoyak dan perlu menjalani pembedahan segera.
“Doktor menasihatkan saya, jika mahu segera sembuh ia perlu konsisten selama tiga bulan. Setiap kali rawatan mengambil masa dua jam,” kata Zain.
Sementara itu, menurut Che Ta, perkara tersebut sedikit sebanyak mengganggu persiapa Aidilfitri yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Pemandu kami pula bercuti Aidilfitri ini, jadi saya pening memikirkan siapa yang akan memandu kereta nanti,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Che Ta, dia tidak menghalang suaminya untuk terus bersukan namun berharap agar suaminya itu memilih sukan yang kurang mendatangkan kecederaan.