Pasangan pelakon Aiman Hakim Ridza dan isterinya, Zahirah MacWilson membuat perkongsian foto bayi lelaki mereka di Instagram yang lahir pada Isnin lalu iaitu pada 5 Januari 2021, di Perth, Australia.
Menerusi perkongsian itu, Aiman dan Zahirah menyifatkan kelahiran bayi sulung mereka sebagai hadiah terbaik pernah diterima mereka.
“Alhamdulillah, pada 5 Januari lalu bayi lelaki kami selamat dilahirkan jam 2.26 petang (waktu tempatan). Kami terharu melalui saat indah ini bersama sepanjang dalam bilik bersalin menunggu kelahirannya, sebagai pasangan ibu bapa baharu
“Ia satu perjalanan terbaik yang penuh dirahmati dan kami sangat teruja untuk menerokai setiap pengalaman untuk detik istimewa ini. Syukur Alhamdulillah,”
– Zahirah MacWilson
Terdahulu, pada Oktober tahun lalu Aiman dan Zahirah berangkat ke Australia selepas mereka membuat keputusan mahu menyambut kelahiran cahaya mata pertama di Australia.
Ditambah, ibu dan adik-beradik Zahirah yang lain menetap di sana dan dia mahu menjalani tempoh berpantang dengan dijaga ahli keluarganya.
Pasangan ini yang dipertemukan ketika membintangi drama Curi Curi Cinta pada 2019, kemudiannya mengikat tali pertunangan dan bernikah pada 20 Februari tahun lalu di Petaling Jaya.