Penerbit Datuk Yusof Haslam menyatakan bahawa sudah reda jika Syamsul tidak pulang ke rumah bagi menyambut Hari Raya bersama.
“Kalau dia balik raya, Alhamdulillah. Kalau dia tak balik pun, kami tak ambil hati. Saya dan isteri, Datin Patimah Ismail, sudah reda,”
– Yusof Haslam
Malah, memetik laporan Harian Metro, bapa kepada pengarah sensasi itu memaklumkan bahawa pintu rumah sentiasa terbuka untuk Syamsul.
Kongsinya, anak sulungnya itu pernah tidak pulang beraya selama tiga tahun ketika dihubungi.
Ditanya mengenai persiapan raya, Yusof dan keluarga hanya membuat persiapan secara bersederhana sahaja dan lebih menanti kehadiran tetamu ke rumah.
“Untuk pagi raya itu, biasalah adik beradik yang rapat dengan kita balik. Ibu bapa kita pun dah tak ada, kedua-duanya sudah meninggal dunia lama, jadi kita adik beradiklah datang kunjung-mengunjung.
“Pada hari raya kedua pula, saya bersama isteri akan ke Pulau Pinang selama tiga hari di sana. Tapi, kami akan sambung berkunjung ke rumah adik-beradik selepas pulang semula ke Kuala Lumpur,” jelas Yusof.
Kata Yusof lagi, tradisi menziarah adik-beradik ketika Hari Raya menjadi tradisi keluarga setiap tahun dan masing-masing mempunyai giliran utnuk menjadi tuan rumah.