in , ,

Yunadia Bangkit Walaupun Dengan Hinaan Lancar Single Berjudul PATAH

Syazreen Yunadia, atau lebih mesra dipanggil Yunadia, berusia 23 tahun dan berasal dari Perak. Beliau berdarah campuran Melayu, Cina, dan India, yang mencerminkan kepelbagaian budaya dalam dirinya. Nama uniknya diambil daripada gabungan perkataan Melayu, Cina, dan India.

Yunadia mula dikenali ramai selepas menyertai rancangan realiti TV Sarawak, Getaran Jiwa TVS, di mana beliau berjaya melangkah hingga ke peringkat separuh akhir. Sejak usia 10 tahun, Yunadia telah menceburkan diri dalam bidang nyanyian dan menghabiskan masanya dengan menghasilkan serta memuat naik video-video meniru suara artis, membalas ruangan komen dengan cover lagu-lagu artis, serta memainkan ukulele dan melakukan siaran langsung di TikTok.

Lagu “Patah” yang ditulis oleh Yunadia merupakan luahan dari hati, bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada mereka yang sering memandang rendah dan mematahkan semangat orang lain dengan kata-kata mereka. Lagu ini dicipta sebagai sumber inspirasi dan pembakar semangat untuk mereka yang sering diperkecilkan. Dalam kehidupan, akan sentiasa ada individu yang menunggu untuk melihat kita gagal, dan dengan lirik lagu ini, Yunadia berharap dapat memberi perspektif baru dan semangat kepada pendengar.

“Lagu ini sebagai pembakar semangat buat diri Yunadia. Setiap bait-bait lirik amat bermakna kerana kita perlu sedar yang dalam hidup ini akan ada yang menanti untuk melihat kita jatuh, maka dengan lirik ini, harapnya serba sedikit dapat menguatkan semangat pendengar,” ujarnya.

Yunadia Terus Bangkit Walaupun Dengan Kata Hinaan Lancar Single Berjudul PATAH

Yunadia mengungkapkan bahawa lagu “Patah” sangat dekat dengan dirinya sejak beliau mula menceburi bidang nyanyian. “Ada yang mengatakan saya tidak boleh pergi jauh, menyekat potensi saya dan sebagainya. Saya sedar, saya merupakan insan yang kecil yang tidak punya apa-apa kecuali harapan untuk menjadi seorang penyanyi. Namun, kata-kata negatif ini akan saya endahkan dengan menghasilkan lagu ini sebagai satu suntikan atau pembakar semangat buat diri Yun.”

“Lagu ini saya khaskan buat semua jiwa-jiwa yang indah di luar sana, akan tetapi jiwa mereka telah dirobek dan dicemar oleh sang pemusnah bahagia. Mudah kata, untuk mereka yang sering dijatuhkan oleh orang lain.”

Berbicara mengenai perkembangan kerjayanya sebagai penyanyi, Yunadia berkata, “Alhamdulillah, perkembangan diri saya semakin baik. Dahulu, saya hanya mempunyai 4,000 pengikut di TikTok tetapi sejak saya aktif membuat kandungan dan siaran langsung, jumlah pengikut saya meningkat hampir 130,000 dalam hanya beberapa bulan. Apa pun yang kita lakukan, kita perlu sentiasa berani keluar dari zon selesa, konsisten, dan hanya ‘wing it y’all’.”

Menurut Yunadia, artis rujukannya ialah Beyonce dan Alicia Keys dalam genre R&B. “Saya cuba menceburi dan memberi nafas baru selain daripada lagu-lagu saya yang sebelum ini berentak Cha Cha dan juga Pop Irama. Saya cuba untuk menjadikan satu eksperimen dalam dunia muzik kerana pendengar kita datang dari pelbagai latar belakang. Saya akan menyajikan pelbagai genre kepada mereka dan ingin membuktikan kepada semua yang saya mampu membawa pelbagai genre muzik.”

“Komposer lagu ini ialah saya sendiri dan saya telah bekerjasama dengan penerbit terbaik kami, iaitu Amsyar Razqa dan Emeer Bakri. Mereka sangat membantu dari segi idea dan semangat untuk terus mencuba menulis dan menyiapkan karya baru saya ini. Ini merupakan lagu pertama yang saya tulis untuk dihidangkan kepada semua di arena muzik Malaysia.”

Yunadia juga menyatakan, “Lagu ini dihasilkan pada 15 Ogos 2022. Pada mulanya, saya tidak yakin untuk melepaskannya kerana saya rasa diri saya masih hijau dalam industri ini. Rasa sangat kecil diri ini, dua tahun tersimpan dalam song bank.”

“Yun berpuas hati dengan kualiti produksi pasukan. Semua bekerjasama dengan baik. Mudah bekerjasama dengan pasukan, dapat bertukar idea dengan mudah. Penggambaran kali ini adalah sesuatu yang baru bagi saya kerana video muzik sebelum ini semua dilakukan dalam studio. Ini adalah kali pertama penggambaran di luar. Dapat merasai suasana alam semula jadi dan lagu ini terasa sangat dekat dengan diri saya. Secara keseluruhannya, pengalaman ini sangat menyeronokkan bersama pengarah video muzik Meamth dan pasukan Armani Entertainment.”

“Lokasi penggambaran dipilih ialah Eco Grandeur, Puncak Alam, yang amat dekat dengan saya kerana banyak memori indah saya pernah lalui di lokasi ini. Nak tahu lebih lanjut? Tunggu press release seterusnya,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Yunadia Terus Bangkit Walaupun Dengan Kata Hinaan Lancar Single Berjudul PATAH

Kehadiran lagu “Patah” diharapkan dapat memberi nafas baru dalam industri muzik tempatan. Lagu ini di bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG) boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, dan muzik video boleh ditonton eksklusif di saluran YouTube @ArmaniEntertainmentGroup. Teruskan menyokong hasil karya Armani Entertainment Group demi memartabatkan industri muzik tanah air.

LIRIK PATAH

VERSE 1
Disini ku,tak ingin toleh ketepi, Mendengar kata-katamu yang.. menghancurkanku

VERSE 2
Aku ingin berlari, lari dari sini,
Cuba lihat, cuba dengar..
rentak kaki ku ini

PRE CHORUS
Semua akan tenang,
Bila ku beranikan diriku,
Diriku pasti menang,
Kau. Takkan. Mematahkan. Ku.

CHORUS
Hidup ini seperti roda,
kadang ada diatas, bawah,
kuat juga lemah…
Seperti diriku.

Lidah mu tidak ada tulang, tapi kau s’lalu mematahkan, jiwa seseorang..
Seperti diriku

VERSE 3
Disini ku terhenti,
tangisan jadi saksi,
ku tak mampu menjelaskan,
Sakit di hati

VERSE 2
Aku ingin berlari, lari dari sini,
Cuba lihat, cuba dengar ..
rentak kakiku

PRE-CHORUS
Semua akan tenang,
bila ku beranikan diriku,
Diriku pasti menang,
Kau. Takkan. Mematahkan. Ku.

CHORUS
Hidup ini seperti roda,
kadang ada diatas, bawah,
kuat juga lemah…
Seperti diriku.

Lidah mu tidak ada tulang,
tapi kau s’lalu mematahkan,
jiwa seseorang..
Seperti diriku

BRIDGE
Hargailah perasaanku..

CHORUS SOFT
Hidup ini seperti roda,
kadang ada diatas, bawah,
kuat juga lemah…

CHORUS 2 HARD
Lidah mu tidak ada tulang,
tapi kau s’lalu mematahkan,
jiwa seseorang..
Seperti diriku

Hidup ini seperti roda,
kadang ada diatas, bawah,
kuat juga lemah…
Seperti diriku.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Filem DEADPOOL & WOLVERINE Lakonan Ryan Reynolds & Hugh Jackman

Lima Lokasi Menarik Yang Wajib Anda Lawati Semasa di Taichung, Taiwan