in , ,

YouTube Malaysia Perkenal Empat Youtuber Yang Makin Maju dengan Genre Seram

Pencipta kandungan bercerita tentang perasaan seram yang muncul bila bulan mengambang

Sama ada anda percaya atau tidak akan kewujudan hantu atau makhluk halus, sesuatu cerita seram atau tempat yang dikhabarkan berhantu pasti mengungkit rasa ingin tahu walaupun ada di kalangan kita yang ragu-ragu. Kisah dan lagenda sebegini tidak asing dari masyarakat tempatan – pocong, bunian, pontianak, jembalang dan makhluk-makluk lain yang menakutkan telah berjaya mengambil tempat mereka tersendiri di sini, seiring dengan kandungan seram antarabangsa.

Diilhamkan daripada keseraman bulan Oktober, YouTube Malaysia mempersembahkan antara pencipta-pencipta terbaik yang semakin mara dalam genre ini – ​Asyraf Kamaruzzaman dari saluran Ashhrapp Channel​, ​Noorfaizal Rozi dari saluran ​Faizal Rozi Vlogs,​ ​Nur Ainina Arifin dari saluran ​Neyna Story dan ​Hanizamal Abu Hanifah dari saluran ​Solo Ambush.​ Mereka berkongsi cerita di sebalik penciptaan kandungan mereka.

YouTube Malaysia Perkenal Empat Youtuber Yang Makin Maju dengan Genre Seram

Asyraf berasa terdorong apabila melihat perkembangan pencipta-pencipta kandungan yang mencapai kejayaan yang menggalakkan di YouTube, terutamanya sepanjang tahun lepas. Walaupun ternyata sebuah langkah yang berisiko, terutamanya memandangkan pandemik melanda sebaik sahaja Asyraf hendak memajukan salurannya, Asyraf mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya tetapnya dan menyelami sepenuhnya dunia penciptaan kandungan.

Dia terus berusaha dan menggunakan masa ini untuk mengembangkan stailnya tersendiri. Di sini, dia tersedar yang terdapat hanya begitu banyak perkara yang boleh dipelajari sebelum kemahiran tersebut harus dipraktikkan.

Oleh itu, dia menyasarkan untuk mencapai 1,000 tontonan dalam masa seminggu – tanpa diduga, dia melangkau jangkaannya dengan mencapai 7,000 tontonan​ dalam tempoh itu!

YouTube Malaysia Perkenal Empat Youtuber Yang Makin Maju dengan Genre Seram

Walaupun masih baru kepada YouTube, Asyraf sudah mencapai lebih 160,000 pelanggan dalam kurang daripada setahun dia memulakan salurannya.

“Semasa baru bermula, saya masih cuba mencari ruang saya yang tersendiri dan pada masa itu, saya belum mengenalpasti jenis kandungan yang hendak saya cipta. Dengan itu, saya cuba merenungkan apa sebenarnya kebolehan saya, dan apa minat saya – inilah caranya saya mendapat idea untuk berkongsi cerita hantu. Saya suka bercerita dan rasa ada juga kebolehan untuk membuatnya. Inilah yang membuatkan saya mengambil langkah untuk mencuba,”

Asyraf

Asyraf bersungguh-sungguh dalam memastikan kandungannya disediakan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dimuat naik.

Membawa dunia luar ke sesi ini ialah ​Noorfaizal Rozi, ​seorang pencipta yang jelas menampakkan potensinya dalam topik penerokaan bandar (urban exploration). Sebagai seorang u​ rban explorer,​ Faizal merungkai bangunan terbiar dan lokasi-lokasi yang dikatakan berhantu atau bermisteri.

Bagi Faizal, minatnya tersemai dari kecil lagi – ayahnya membawanya bersama ketika menjelajahi tempat-tempat yang bersejarah dan mempunyai cerita latar yang menarik.

Pengalaman ini, digabungkan dengan pengalaman kem pertahanan yang pernah dihadirinya, membantunya untuk penerokaan tersebut. Ini tidak bermakna tiada cabaran yang dihadapi – malah, banyak juga perancangan yang diperlukan sebelum sampai ke sesuatu lokasi.

Terdorong untuk menerokai lokasi yang jarang diterokai dan tersembunyi, Faizal berharap dapat membawa lebih ramai orang ke destinasi-destinasi seram ini sebagai sebahagian daripada aktiviti pelancongan.

“Tiada penggantian bagi kajian. Anda perlu mengkaji sesuatu kawasan dan memperolehi sebanyak informasi yang mungkin mengenainya, sama ada melalui kajian desktop atau peralatan seperti Google Earth atau dengan berbual bersama penduduk kampung di kawasan itu.

Anda perlu mengambil kira pengangkutan yang terbaik untuk dibawa ke lokasi, bentuk muka bumi di sana boleh menimbulkan cabaran.

Terdapat juga cabaran teknikal – penggambaran pada waktu malam, tidak dapat melihat apa-apa, cuaca yang buruk, peralatan tak berfungsi dan rosak, rakaman tidak dirakam dengan baik, dan kos tambahan yang terpaksa ditampung sekiranya perlu dirakam semula.

Kadang-kadang sesuatu tempat itu boleh juga mencabar diri dari segi mental dan emosi, terutamanya tempat-tempat yang mempunyai sejarah penyeksaan – anda akan melihat, mendengar, dan merasa benda-benda yang tiada penjelasan mudah,”

Noorfaizal Rozi

Faizal apabila ditanya mengenai persiapan dan cabaran yang dihadapi semasa penerokaannya.

Juga menyertai sesi ini ialah pencerita Ainina, yang lebih dekenali sebagai ​Neyna,​ dimana fokusnya adalah kepada kandungan jenayah, seram, dan kejadian yang bermisteri. Neyna bergantung kepada kebolehannya bercerita untuk menarik minat penonton dan mengaku bahawa penubuhan salurannya adalah antara perkara yang paling mencabar dalam perjalanan YouTube-nya.

YouTube Malaysia Perkenal Empat Youtuber Yang Makin Maju dengan Genre Seram

Walaubagaimanapun, Neyna tidak mengendahkan statistik salurannya dan menumpukan perhatian untuk menambahkan lagi kandungan. Tidak hairanlah, kerana tumpuan dan gaya penyampaiannya yang tersendiri, bilangan pelanggannya meningkat dengan mendadak sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Neyna memetik nama pencipta kandungan ​Nessie Judge​ sebagai salah seorang pencipta yang memberi ilham kepadanya sambil juga mempelajari cara penyampaian gaya siri jenayah barat. Neyna menggandakan jumlah pelanggannya dari 50,000 ke 100,000 dalam lebih kurang sebulan dan kini melangkau 200,000 pelanggan.

“Saya telah lama meminati topik jenayah dan seram sejak kecil lagi, dan pernah mengalami sebuah kejadian seram sendiri tetapi ini tidak menghalang saya daripada mendalami dunia seram ini sebagai hobi.

Walaupun saya mungkin telah memulakan saluran saya sebagai sebuah ruang untuk mengekspresikan diri, saya rasa cukup selesa untuk menjadi seorang pencipta kandungan sepenuh masa.

Sekarang, salah satu perkara yang harus saya terima ialah saya sudah menjadi lebih dikenali.

Perkara ini secara keseluruhannya adalah sesuatu yang baik kerana ia mengajar saya untuk banyak bersabar dan menjaga kelakuan kerana kini, saya sudah mempunyai ‘nama’.”

– Neyna

Juga diketengahkan pada sesi ini adalah penyiasat paranormal, ​Hanizamal,​ lebih dikenali dengan nama AbangHani​ daripada saluran SoloAmbush​.

YouTube Malaysia Perkenal Empat Youtuber Yang Makin Maju dengan Genre Seram

Abang Hani bukan sama sekali seorang pencipta kandungan semasa mula mendokumentasi pengalaman-pengalamannya. Dia terdahulu merupakan seorang pendaki gunung yang aktif, dan telah terlibat dalam beberapa misi mencari dan menyelamat, termasuk kes pelari Acap yang hilang pada 2019.

Setelah melalui expedisi pendakian secara berseorangan, Abang Hani telah meraih suatu reputasi sebagai seorang yang tidak mudah takut atau gentar dan menjadi orang yang dipanggil untuk menyiasat fenomena-fenomena yang di luar batas pemahaman manusia.

Empat daripada lima lokasi yang diterokai Solo Ambush datang daripada cadangan-cadangan penontonnya – walaupun begitu, Abang Hani menetapkan peraturan-peraturannya yang tersendiri untuk memastikan perjalannannya berbaloi. Dia berazam untuk mengemukakan bukti nyata yang menyokong bahawa adanya makhluk-makhluk dan entiti-entiti halus.

“Saya pernah membuat penyiaran langsung perjalanan saya ke tempat-tempat yang terbiar dan bermisteri di Facebook dan dari sana telah mendapat lebih banyak permintaan untuk berkongsi sorotan penstriman saya.

Dari sinilah, saya jangka YouTube mampu mempersembahkan kandungan saya kepada penonton yang lebih ramai dan lebih elok kalau saya berpindah ke sanai – pergerakan ini menjadi asas kepada saluran saya,”

Hanizamal
YouTube Malaysia Perkenal Empat Youtuber Yang Makin Maju dengan Genre Seram

“Ada empat perkara yang kena ada sebelum saya menerokai sesuatu tempat. Yang pertama, lokasinya harus mempunyai cerita seram yang sah.

Kedua, tempat itu harus mempunyai sambungan internet yang baik untuk memastikan kualiti penstriman yang baik. Saya juga perlu mengetahui lokasi koordinat GPS yang tepat bagi lokasi itu.

Terakhir sekali, saya perlu mempunyai kebenaran daripada tuan punya tanah atau pihak berkuasa untuk menjalankan penerokaan saya. Kalau salah satu daripada syarat ini tidak dipenuhi, saya tidak mungkin akan meneruskan sesuatu perjalanan itu,”

Hanizamal

Apabila ditanya mengenai perancangannya untuk masa hadapan, Abang Hani pasti yang dia hendak merantau di luar sempadan Malaysia untuk meneroka dan Segi Tiga Bermuda dan Piramid di Giza adalah antara destinasi utama yang hendak diterokainya apabila situasi membenarkan.

Walaupun kebanyakan daripada kita biasa melihat pelawak, penyanyi, vlogger, pemain permainan video, penggiat hobi, dan chef amatur, sesi kami kali ini menjadi peringatan bahawa YouTube adalah sebuah platform untuk pelbagai jenis pencipta dan kandungan untuk berkembang maju – termasuklah juga pencipta kandungan seram.

Generasi YouTube akan terus berusaha mencungkil dan mengemukakan lebih banyak lagi bakat yang unik merentas pelbagai genre.

Untuk melihat kandungan terkini dari pencipta-pencipta sesi ini, ikuti saluran mereka :A​shhrappChannel,​ Faizal Rozi Vlogs,​ N​eyna Story​, dan ​Solo Ambush​.

Latar Belakang Saluran Ashhrapp Channel

STATISTIK SALURAN

Jumlah Tontonan (setakat Okt 2020): 6,973,387
Jumlah Pelanggan (setakat Okt 2020): 163,000
Video Terlaris​ (jumlah tontonan)(setakat Okt 2020): 1,231,319

MENGENAI PENCIPTA DAN SALURANNYA

Nama: Ahmad Asyraf Kamaruzzaman

Nama Saluran: Ashrapp Channel

Menyertai Youtube: Nov 15, 2019

Asyraf mencipta pelbagai kandungan di salurannya, tetapi fokusnya adalah terhadap cerita seram yang dimuat naik pada setiap malam Isnin. Dia memang merupakan penggemar genre seram dan menamakan pencipta kandungan KC Champion sebagai ilham terbesarnya.

Perpindahan Ke YouTube

Asyraf sudah lama mencipta kandungan pelbagai genre sejak tahun 2016. Pada asalnya, dia mengeluarkan kandungan Instagram, tetapi kemudiannya tergerak hati untuk cuba mencipta kandungan YouTube disebabkan kemajuan platform tersebut di Malaysia serta kejayaan yang dialami para penciptanya. Keputusannya membantu Asyraf sedar bahawa YouTube lebih sesuai baginya kerana ia membenarkan seseorang pencipta kandungan khusus untuk memiliki khalayak mereka tersendiri.

Pencerita Tegar

Minatnya untuk bercerita dan genre seram bermula dari kecil, di mana dia kerap menonton video KC Champion, Tabiat ini menolong Asyraf menemui gaya penceritaannya tersendiri. Dia amat gembira dengan usahanya dalam menarik perhatian penonton, dan berazam untuk mengadakan sesi penceritaan secara langsung serta berkolaborasi dengan idolanya pada suatu hari nanti.

Populariti Membangkit

Dia memetik beberapa faktor yang menyumbang kepada kelarisan salurannya. Pertama, salurannya dicipta ketika kurangnya pencipta kandungan seram tempatan. Pada masa yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga dikuatkuasakan dan mendorong ramai orang untuk mencari hiburan di atas talian. Jadual muat naik yang konsisten dan gaya penceritaannya yang efektif turut membantu mengembangkan salurannya sehingga mencapai 100,000 pelanggan dalam 3 bulan pertama.

5 Video Terbaik Saluran, Pilihan Pencipta:

  • KISAH MALAM ASRAMA 1 – Tahun Akhir Senior
  • JALAN PULANG KAMPUNG 1 – Kisah Jalan Mayat
  • KISAH MALAM ASRAMA 3 – KELAS GANTUNG
  • PUAKA TEMPAT KERJA – WAD BERSALIN
  • MISTERI RUMAH SEWA – TAMAN KERAMAT

Latar Belakang Saluran Faizal Rozi Vlogs

STATISTIK SALURAN

Jumlah Tontonan (setakat Okt 2020): 2​ 7,165,889
Jumlah Pelanggan (setakat Okt 2020): 248,000
Video Terlaris​ (jumlah tontonan) (setakat Okt 2020): 1,430,439

MENGENAI PENCIPTA DAN SALURANNYA

Nama: Noorfaizal Rozi

Nama Saluran: FAIZAL ROZI VLOGS

Menyertai YouTube: Sep 6, 2009

Latar Belakang Saluran

Saluran Faizal Rozi berasaskan konsep penerokaan bandar (urban exploration) serta bangunan dan lokasi terbiar yang mempunyai nilai sejarah, misteri dan juga sentimental. Dia lebih tertarik kepada lokasi yang mempunyai sejarah unik dan ceritanya tersendiri. Selain video eksplorasinya, dia juga berkecimpung dalam penciptaan filem seram pendek yang dimuat naik ke salurannya.

Menerokai Minatnya

Kesungguhannya dalam bidang eksplorasi bermula sejak kecil lagi apabila bapanya membawanya untuk menerokai lokasi bersejarah. Selain itu, dia juga pernah menyertai kem latihan ketenteraan yang membantunya mengasah kemahiran eksplorasinya. Ini mendorongnya untuk menonton video yang dicipta oleh komuniti seram tempatan yang membantu membuka pintu perjalanannya di YouTube.

Kemungkinan yang Tidak Berkesudahan

Faizal amat kagum dengan kepelbagaian jenis penonton di YouTube – dia boleh mencipta video bergenre apa sahaja pun dan ia akan mempunyai peminatnya. Dia juga terpikat dengan cara dia boleh memperbaiki kemahirannya dalam penciptaan video pada platform yang sama.

Sokongan Komuniti

Faizal amat bersyukur kerana dapat meninggalkan kerja pejabatnya untuk mendalami minatnya dalam penciptaan kandungan berkat sokongan yang diberi penontonnya. Mereka terus mendorongnya untuk menghasil kandungan yang lebih bermutu dan dia berharap agar kandungannya akan berjaya menarik minat penonton antarabangsa kelak.

5 Video Terbaik Saluran, Pilihan Pencipta:

  • Misteri Hotel Tanpa Nama | Zoo Mini Kuala Krai | Suara Meminta Tolong & Bunyi Seretan | Tmn Burung
  • Pintu Utama , Pintu Bilik Di Tampal Ayatul Kursi | Resort Tinggal Semarak RE
  • Atlantis Lost Kingdom 2 | Kereta Lama Ghaib Depan Mata | Berpusing2 Di Dalam Hutan
  • Seram | Nadia Inn 2 | Apabila Malam Menjelma | Ada “Penduduk” Lain Di Atas sana
  • Detik Seram 3:45 am “Dia” Mula Menangis Dan Berdiri Di Sebelah | Cuba Bertahan

Latar Belakang Saluran Neyna Story

STATISTIK SALURAN

Jumlah Tontonan (setakat Okt 2020): 1​ 1,695,781
Jumlah Pelanggan (setakat Okt 2020): 221,000
Video Terlaris​ (jumlah tontonan) (setakat Okt 2020): 1,275,835

MENGENAI PENCIPTA DAN SALURANNYA

Nama: Nur Ainina Arifin

Nama Saluran: Neyna Story

Menyertai Youtube: Jul 12, 2012

Saluran Neyna berasaskan penceritaan kisah-kisah seram dan kes jenayah. Minatnya dalam topik ini bermula sejak kecil lagi tetapi ilhamnya untuk mulakan saluran datang daripada para pencipta kandungan dari Indonesia. Dia menggabungkan minatnya dalam alam seram dengan bakatnya untuk bercerita dalam penciptaan saluran sepertimana ia boleh didapati pada hari ini.

Pengalaman Seram Tersendiri

Neyna tidak asing daripada mengalami kejadian seramnya sendiri. Dia pernah mengalami dua kejadian seram semasa di Universiti Sains Malaysia. Kejadian pertama berlaku pada waktu malam apabila Neyna terasa badannya ditindih oleh sesuatu entiti semasa tidur dan menyebabkan kesukaran bernafas. Pengalaman kedua melibatkan kawan sebiliknya yang terlihat Neyna masuk ke dalam biliknya walaupun Neyna tidak berada di situ. Mujurlah kejadian-kejadian tersebut tidak menghalang Neyna untuk mendalami alam seram.

Inspirasi Rantau

Dia menggemari video seram hasil pencipta kandungan antarabangsa sejak sekian lama, tetapi dia paling mengagumi pencipta dari Indonesia kerana sokongan yang diberikan penonton saluran mereka. Dia mendapati terdapat kekurangan dalam jumlah kandungan tempatan sebegini, maka dia membuat keputusan untuk mencipta kandungan itu sendiri untuk menonjolkan cerita-cerita seram tempatan.

Peningkatan Kendiri

Sejak memulakan salurannya, Neyna telah banyak belajar untuk bersabar semasa di atas talian, terutamanya apabila menerima komen-komen yang negatif. Sekarang dia lebih berwaspada dalam menjaga imej diri. Dia berharap untuk meningkatkan kualiti kandungannya dengan harapan untuk menarik perhatian penonton antarabangsa.

5 Video Terbaik Saluran, Pilihan Pencipta:

  • TOP 4 Cerita Seram Jalan KARAK LAMA
  • ULEK MAYANG| Cerita Seram
  • “PENGHUNI LAIN” Di Penjara Pudu| Cerita Seram
  • HIDUP KEMBALI SETELAH 6 JAM BEKU
  • PENGALAMAN MISTIK DIUSAP DAN DIBELAI WAKTU TIDUR

Latar Belakang Saluran Solo Ambush

STATISTIK SALURAN

Jumlah Tontonan (setakat Okt 2020): 5​ ,762,964
Jumlah Pelanggan (setakat Okt 2020): 96,600
Video Terlaris​ (jumlah tontonan) (setakat Okt 2020): 3​ 34,432

MENGENAI PENCIPTA DAN SALURANNYA

Nama: Hanizamal Abu Hanifah

Nama Saluran: Solo Ambush

Menyertai YouTube: Nov 3, 2018

Hanizamal, juga dikenali sebagai Abang Hani, merupakan pencipta saluran Solo Ambush yang bertujuan untuk mendedahkan misteri paranormal melalui penerokaan solo. Pada mulanya, dia membuat penstriman Facebook Live mengenai eksplorasi bangunan terbiar dan lokasi bermisteri sebelum mendapat permintaan dari para penontonnya untuk video-video sorotan. Video-video tersebut menjadi asas kandungan di salurannya.

Tidak Kecut Perut

Pada asalnya, Abang Hani tidak berniat untuk menjadi seorang pencipta kandungan. Dia sebenarnya seorang pendaki gunung yang tegar dan juga pernah terlibat dalam misi mencari dan menyelamat, seperti kes kehilangan pelari Acap pada tahun 2019. Keberaniannya juga memberinya reputasi sebagai seseorang yang boleh menempuhi sesuatu pengalaman seram tanpa sebarang masalah.

“Feedback” Aktif

Dengan sesi rakamannya yang selalunya dilakukan dari tengah malam sehingga ke pukul 3 pagi, ia tidak menghairankan bahawa dia pernah mengalami beberapa insiden pelik. Insiden ini digelarnya sebagai “feedback” dan melibatkan pengalaman seperti melihat bayangan bulat di Pulau Jerejak, lilin berterbangan di Kellie’s Castle dan juga bunyi kilauan pontianak serta langsuir.

Sokongan Tidak Terhingga

Penontonnya memainkan peranan besar dalam memilih lokasi penerokaan seterusnya, malah 80% daripada lokasi yang diteroka dipilih oleh mereka. Mereka juga mendorongnya untuk memperbaiki kualiti kandungannya, terutamanya dalam aspek teknikal. Oleh itu, dia berasa komited dalam mencipta kandungan terbaik bagi peminatnya dan untuk terus memperbaiki kemahiran penghasilan videonya.

5 Video Terbaik Saluran, Pilihan Pencipta:

  • Jin Hadir di Gunung Jerai???
  • Ifrit menyerang dgn api?
  • ‘LIVE’ Misteri Puaka Pulau Jerejak
  • ‘LIVE’ Jam 3 pagi Stesen Minyak Seram dSalor Kelantan
  • Patung Berpusing Sendiri

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tuju & Tyco Bergabung dengan Ustaz Kazim Elias dalam Lagu SALAWAT 1442

Koleksi Buku SIRI SAYANGI RASUL Alif & Sofia Sempena Sambutan Maulidur Rasul 2020