Semuanya gara-gara dilihat hiperaktif sehingga ada yang membuat andaian dia ‘bermain’ dengan benda terlarang. Bertanya perkara itu kepada YonnyBoii, pantas anak muda ini menjawab, dirinya masih tahu membezakan antara perkara baik dan buruk.
“Saya masih waras untuk memilih antara yang baik dan buruk. Jika diikutkan, saya malas hendak mengambil tahu tuduhan begitu. Bagi saya, ada kalanya, berdiam lebih baik.
“Berdiam bukan bererti saya mengiyakan. Sebaliknya, saya malas hendak memanjangkan perkara isu ini. Ibarat, kalau saya menjawab, ada sahaja yang tidak kena pada mata orang,”
– YonnyBoii
Menjelaskan keadaan dirinya, Yonnyboii atau nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, dia mengalami Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif.
“Sindrom ini yang membuatkan saya jadi hiperaktif dan pelik hingga dituduh mengambil barang itu dan ini.
“Situasi ini saya alami sejak kecil lagi. Saya dapat tahu mengenai penyakit ini sejak tahun lalu melalui teman yang juga doktor,” katanya.
– YonnyBoii
Yonnyboii berkata, sindrom itu menjadi motivasi buatnya berkarya.
“Saya yakin di sebalik kelemahan dan kekurangan, ada hikmah tersendiri,”
– YonnyBoii
Melancarkan single duet Kelabu bersama Azlan Typewriter, semalam, Yonnyboii sempat bercerita mengenai lagu itu.
Akuinya, lirik yang dihasilkan adalah kisah zaman kanak-kanak apabila sering dibuli sejak dari tadika hingga ke sekolah menengah.
“Lagu Kelabu ini bagai serpihan kisah silam saya yang sering dibuli,” katanya yang popular dengan lagu Sakit, Cemburu dan Salahku.
– YonnyBoii
Sumber: BH Online