So You Think You Can Dance Malaysia musim kedua ini telah berjaya menobatkan CC sebagai penari kegemaran Malaysia selepas Alam dari Johor berjaya merangkul gelaran yang sama untuk musim pertama.
Selain itu, sebagai menambahkan lagi kehangatan program ini, Ribena, penaja bersama So You Think You Can Dance juga telah memberikan anugerah ‘Pasangan Serasi Ribena’ kepada Jojo dan Raymond.
Mereka telah membawa pulang set lengkap pemain multimedia IPOD berserta aksesori tambahan juga speaker. Pemilihan mereka melalui undian dalam talian di laman web rasmi 8TV.
Malam kemuncak ‘Grand Final’ So You Think You Can Dance telah dihangatkan lagi dengan persembahan istimewa Zainal Abidin dan Sheila OIAM juga tarian hebat dari Alam.
Ianya telah dipancarkan secara langsung dari Ruums, Kuala Lumpur melalui saluran 8TV. Bagi mereka yang ketinggalan menyaksikannya, ia juga boleh ditonton melalui ‘catch-up tv’ di www.8tv.com/sytycd secara dalam talian.
Setelah pencarian bakat penari kegemaran Malaysia hampir tiga bulan lepas, akhirnya, Yong Ling Shi atau lebih dikenali sebagai CC, dinobatkan menjadi penari kegemaran Malaysia untuk rancangan realiti tarian, So You Think You Can Dance musim kedua dengan mendapat undian sebanyak 35 peratus berbanding pesaing terdekatnya iaitu Hong dengan undian 31 peratus.
Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, kemenangan pada malam ini tidak dijangka kerana ketika sepanjang pertandingan, dia pernah berada dalam ‘Bottom Six,’ antara enam peserta terbawah, untuk tiga minggu.
“Saya memang tidak menyangka kemenangan ini. Terima kasih kepada 8TV juga pihak penaja iaitu Poh Kong, Energizer dan Ribena. Selain itu, ucapan terima kasih juga kepada kru penerbitan. Program ini berjaya mencungkil bakat peserta hingga menjadi bintang.”
Jelasnya lagi. “Kemenangan pada malam ini mungkin dibantu persembahan tarian latin yang disampaikan. Ianya bagai satu ‘forte’ bagi saya. Walaupun ada sesetengah pihak mempertikainya, bagi saya, lebih baik kita berikan apa yang terbaik dari menonjolkan kelemahan.”
“Latin adalah diri saya. Bila menari latin ia bersatu dengan jiwa saya. Jika tidak dipersembahkan pada malam kemuncak ini, ianya satu sesalan bagi diri saya,” tambahnya bila ditanya adakah kemenangannya itu disebabkan tarian latin yang di persembahkan.
CC sebelum ini pernah menyertai beberapa pertandingan latin yang diadakan di dalam serta di luar negara. Antara lainnya Kejuaraan Amatur Latin Malaysia Tertutup dan menjadi juara untuk 2004, 2005 dan 2007 dan juga juara pada Kejohanan Antarabangsa Latin Junior pada 2003.
Sebagai pemenang So You Think You Can Dance untuk musim kedua, CC telah membawa pulang hadiah utama berupa wang kemenangan berjumlah RM 50, 000.00 serta biasiswa pendidikan 8TV.
Selain itu dia juga membawa pulang set barang kemas sumbangan Tranz dari Poh Kong bernilai RM 3,000.
Energizer juga tidak ketinggalan menyumbang hadiah kepada pemenang berupa hamper eksklusif Energizer bernilai RM 1000.
Dengan jumlah wang kemenangan yang lumayan, CC ditanya apakah yang akan dilakukan, jawabnya “Sebahagian dari wang itu akan saya dermakan untuk Yayasan Aids Malaysia kepada kanak-kanak. Selebihnya akan diberikan kepada ibu bapa yang telah cukup banyak ‘melaburkan’ wang untuk saya selama ini dan sebahagian mungkin untuk membeli belah,” katanya sambil tersenyum.
Hong, 27, pemuda berasal dari Kepong yang mendapat peratusan kedua tertinggi berkata dia cukup berpuas hati dengan pertandingan ini. Ianya berjaya mencungkil bakat penari-penari yang ada di Malaysia.
Dengan peratusan kemenangan yang cukup kecil perbezaannya iaitu empat peratus, pengajar tarian di California Fitness ini mengulas, “ Kekecewaan pasti ada. Tapi saya rasa, dalam pertandingan ini ia sesuatu yang adil. Setiap peserta mempunyai keunikkan tersendiri.”
Selain itu, dalam komen ketika malam ‘Grand Final’, dia berkata mengenai nasib penari di Malaysia yang sering diabaikan. Hong diminta memberi komen tentang hal itu.
“Sebenarnya, ia satu masalah yang berlaku dalam industri ini. Pihak penganjur, sering mengabaikan peranan penari dalam sesebuah persembahan. Bagi mereka, penari umpama ‘prop’ yang bergerak. Jadi bayaran yang diterima adalah cukup kecil berbanding penat lelah dan usaha yang diberikan.”
“Bahkan, penari bukan sahaja boleh menari, bahkan menyanyi atau menghiburkan penonton. Sebagai contoh, ada peserta ‘Top 20’ dalam program ini mampu menyanyi dengan baik,” tambahnya lagi.
Dia juga ditanya antara emosi dan teknik persembahan, apa yang lebih penting. Bagi pemegang ijazah perniagaan teknologi maklumat ini dia menjelaskan, “ Teknik memang perlu dalam setiap persembahan tarian. Tetapi, emosi memainkan peranan yang cukup penting. Jika tiada emosi, tarian itu tiada jiwa. Jadi kedua-duanya perlu berhubung.”
Dua musim berturut-turut, Pat Ibrahim, seorang koreografer pementasan teater Puteri Gunung Ledang menjadi juri tetap untuk program ini. Dia diminta memberi komen mengenai peserta-peserta untuk musim ini berbanding musim lepas.
“Dalam musim lepas, kebanyakan peserta adalah mereka yang lebih muda. Bagi tahun ini pula, dari sesi uji bakat, ramai peserta yang lebih matang dan profesional dalam bidang tarian datang untuk menyertai pertandingan ini. Mungkin, disebabkan tarikh uji bakat tahun lepas diadakan pada hari bekerja, maka, penari profesional tidak dapat menyertainya berbanding untuk kali ini.”
Tutur Pat pula mengenai kemenangan CC sebagai penari kegemaran Malaysia, dia berkata, “Pertandingan ini bukan sekadar mengenai tarian. Ianya mengenai seseorang yang boleh menghiburkan dan mempunyai karisma. CC memiliki karisma yang cukup kuat berbanding peserta yang lain. Dia memang bukan penari terbaik, tetapi dia mempunyai ‘X-Factor’ yang mampu menarik perhatian penonton.”
Pengurus Besar Pengurusan Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Cik Lam Swee Kim pula berkata, dia cukup berpuas hati dengan penganjuran So You Think You Can Dance untuk musim ini. Baginya, semua indikasi menunjukkan peningkatan berbanding terdahulu.
“Dari undian yang kami terima pada malam ‘Grand Final’ untuk musim ini juga meningkat. Jika pada musim lepas, undian yang diterima sekadar di bawah 100, 000, tetapi untuk malam ini, kami telah menerima 105, 622 undian. Pemenang pada malam ‘Grand Final’ ini, iaitu CC telah menerima 36,968 undian mewakili 35 peratus jumlah keseluruhan.”
“Selain itu, kami juga terkejut dengan respon yang diterima untuk undian secara dalam talian bagi ‘Pasangan Serasi Ribena’ kerana menerima lebih 100,000 undian semenjak dibuka kepada umum.”
“Untuk musim ini, selain peningkatan dari statistik yang disebutkan tadi, persembahan peserta, respon penonton serta pengunjung yang memberi sokongan kepada peserta kegemaran mereka lebih hebat dari musim lepas,” ujarnya lagi.
Dengan peningkatan dari pelbagai segi, Kim ditanya jika pihak 8TV akan meneruskan program ini untuk musim ke tiga, dia menjelaskan, “Semuanya bergantung kepada perbincangan dengan pemilik francais program ini iaitu RDF International. Tetapi, dengan sambutan yang diterima, kami tidak menolak So You Think You Can Dance musim ketiga bakal menyusul.”
Bila ditanya jika kemenangan CC pada malam itu telah dijangka, Kim berkata, “Persembahannya pada malam itu cukup mengkagumkan. Tambahan pula bagi peserta yang pernah berada di tangga terbawah.”