PENYANYI dan komposer lagu irama nasyid terkenal, Yasin Sulaiman mengambil keputusan untuk membuka semula sekatan terhadap sebahagian pengikutnya di Instagram yang disekat sebelum ini.
Yaasin atau nama sebenarnya Muhammad Yassin Sulaiman berkata dia mengambil alternatif keputusan tersebut bagi meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang akan berkunjung tiba tidak lama lagi.
Malah, penyanyi yang terkenal menerusi lagu berjudul Salsabila itu turut menyifatkan tindakannya sebagai hari pengampunan.
“Hari pengampunan. Bersempena dengan hari pengampunan semalaysia bersempena dengan bulan Ramadan Al Mubarak saya unblock semua,” katanya menerusi sebuah entri yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Selasa.
Yasin turut menjelaskan tindakannya menyekat segelintir pengikutnya adalah berpunca daripada sikap masing-masing yang kurang ajar dan gemar menggunakan bahasa kesat.
Pada masa sama, Yasin juga memaklumkan bahawa proses membuka sekatan itu mungkin akan mengambil masa kerana terlalu banyak akaun yang disekat olehnya.
Perkongsian yang mendapat lebih daripada 1,000 tanda suka itu dilihat telah menerima pelbagai reaksi positif dan terus menjadi perhatian netizen tempatan sehingga hari ini.