in

Yang Menarik Tentang TEH TARIK CHE TA MUSIM 2 Arahan Yusmal Ghazali

Mula bersiaran musim kedua pada 24 Julai lalu membuktikan penanda aras kepada sambutan baik kalangan penonton program “Teh Tarik Che Ta” yang menampilkan pelakon cantik itu sendiri sebagai hos rancangan tersebut.

Masih mengekalkan waktu siarannya seperti musim pertama iaitu setiap Ahad, pukul 12.30 tengah hari menerusi saluran TV2, program 13 episod arahan Yusmal Ghazali ini membawakan kepada penonton setia RTM lebih ramai lagi artis terkenal tanah air sebagai tetamu undangan.

Menjanjikan segmen yang topik yang lebih sensasi bukan sahaja bersandarkan kepada kisah dalam bidang seni, Che Ta turut ‘turun padang’ menyediakan air teh tarik kepada artis undangan yang hadir setiap episod.

Turut diketengahkan kisah silam dan kejayaan yang dikecapi kini dan pengalaman dalam bidang seni masing-masing. Begitu juga tip yang boleh dikongsikan untuk bertahan dalam industri yang sememangnya mencabar ini. Paling mengujakan pastinya artis yang hadir bakal menghiburkan penonton dengan lagu popular masing-masing sebagai penghargaan kepada penonton setia mereka.

Setelah Che Ta menjemput penyanyi tersohor Ella berbual santai tentang kisahnya dan menghiburkan penonton dengan lagu popularnya Layar Impian, dalam episod pertamanya minggu lalu, kali ini dalam episod dua pada 31 Julai depan program ini mengundang pula penyanyi yang masih diingati sehingga kini iaitu Jay Jay.

Temu bual secara santai dilakukan sambil menghirup teh tarik Che Ta sambil mengimbau sejarah awal penglibatan Jay Jay dalam dunia nyanyian. Beliau juga menyentuh kisah awal hubungan cinta dengan seorang peminat ketika mengadakan sebuah konsert di Singapura yang akhirnya peminat tersebut menjadi isterinya. Antara kisah lain yang dikongsi bersama ialah berkaitan dengan album, keluarga serta perkembangan terkini Jay Jay dalam industri. Lagu medley ‘Kita Insan Biasa’ dan ‘Joget Angan Tak Sudah’ yang didendangkan secara langsung oleh Jay Jay menutup episod tersebut.

Nantikan juga episod Che Ta menjemput Ifa Raziah untuk berbual santai tentang kisahnya dalam episod berikutnya. Ia mengimbau memori ketika masa awal penglibatannya sebagai artis versatil, keadaan terkini dan juga perancangan pada masa hadapan beliau. Che Ta menjamu Ifa dengan teh tarik yang dibancuh dan ditarik sendiri oleh Che Ta semasa mereka bersembang. Pelbagai kisah berkaitan dengan konsert, album, gosip panas serta pengalaman lain dikongsi oleh Ifa tentang penglibatannya sebagai penyanyi. Ifa mengakhiri rancangan dengan menyanyikan sebuah lagu dangdut bertajuk ‘Ser Ser Ser’ sebagai hiburan.

Usah ketinggalan juga menyaksikan episod bersama artis Dato’ Nash. Temu bual secara santai dilakukan sambil menghirup teh tarik Che Ta sambil mengimbau sejarah awal penglibatan Dato’ Nash dalam dunia nyanyian. Beliau juga berkongsi kisah peribadi yang berstatus duda buat masa sekarang. Antara kisah lain yang dikongsi bersama ialah berkaitan dengan penghasilan album, kumpulan yang disertainya, konsert serta perkembangan terkini Dato’ Nash dalam industri. Lagu ‘Ku Di Halaman Rindu’ yang didendangkan secara langsung oleh Dato’ Nash menutup episod kali ini.

Ikuti perjalanan kisah lebih ramai lagi artis bersama Che Ta dalam musim terbaharu “Teh Tarik Che Ta” di TV1.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yuna Nyanyi Lagu Rasmi Olimpik Rio 2016

TV2 Siar Filem GANGSTER CELOP Lakonan Syamsul Yusof & Hanis Zalikha