Kumpulan sensasi Korea, Wonder Girls kini telah pun berada di Malaysia untuk Konsert Wonders Girls pada malam ini. Barangkali ketika ini mereka di hotel atau keluar makan malam atau bersiap-siap mahu bersiar-siar dan menikmati malam hari di kota Kuala Lumpur. Atau… ke stadium untuk soundcheck. Mungkin.
Yubin, Yeeun, Sunye, Sohee dan Hyelim selamat menjejakkan kaki di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 4.30 petang tadi dan kira-kira 100 Wonderfuls (gelaran untuk peminat) telah sedia menunggu di perkarangan ruang ketibaan, seawal jam 3 petang lagi.
Menghampiri jam 6.30 petang kelibat Wonder Girls masih belum kelihatan. Namun fans tidak berputus asa, mereka masih gigih menanti.
Sayang, tunggu punya tunggu punya tunggu, sekitar jam 7.30 tadi kekecewaan menyelubungi rata-rata peminat apabila akhirnya mereka akur gagal hasrat mahu menjadi antara yang terawal mengucapkan selamat datang kepada Wonder Girls tidak kesampaian.
Menurut sumber, Wonder Girls tidak keluar mengikut laluan ketibaan. Tidak berputus asa, peminat terus bergerak ke ruang ketibaan VIP namun tetap hampa. Sebaliknya difahamkan Wonder Girls menyusup keluar dari KLIA menggunakan ‘laluan rahsia’.
Peminat mula membanjiri KLIA sebaik menyedari pada tengah hari tadi, salah seorang daripada anggota kumpulan itu ada tweet sekeping gambarnya sendiri yang menunjukkan dia bersiap sedia untuk berangkat ke Malaysia.
Wonder Girls pernah menggemparkan persada hiburan global. Sekaligus menembusi carta Billboard Hot 100 USA menerusi lagu Nobody. Mereka juga pernah membuat kemunculan sebagai opening act di konsert Jonas Brothers World Tour 2009 dan konsert Justin Bieber’s Valentine’s Day 2010.
Sebelum ini Wonder Girls pernah berkunjung ke sini sempena konsert World Stage 2010 dan Konsert Twin Tower tahun lalu.
Kali ini atas nama konsert, Wonder Girls Wonder World Malaysia Tour 2012, Wonder Girls akan membuat persembahan di Stadium Negara, jam 7 malam esok (Sabtu). Konsert kali julung mereka ini dianjurkan oleh DAOL Entertainment Sdn. Bhd. Sumber Malaysia Digest