Menyorot ke belakang sekitar 17 tahun lalu, single berjudul Asmara Ini dendangan Dato’ Fazley Yaakob, 40, cukup akrab pada halwa telinga umum sehingga pelantun lagu tersebut diberikan gelaran sebagai Abang Asmara oleh para peminat waima ke hari ini.
Tidak pernah terhenti meneruskan kecintaan terhadap dunia nyanyian meskipun jadual harian dipenuhi komitmen sebagai cef selebriti, pakar motivasi, hos dan pelakon, Fazley sempat mencuri waktu untuk memunculkan single terbaharu, Wo Ai De Ni yang dilancarkan di semua platform digital seperti Spotify, Joox dan Apple Music.
Biarpun mengangkat tajuk dalam bahasa Mandarin, lagu ini hakikatnya ditampilkan dalam bahasa Melayu bertujuan memberi sedikit kelainan buat pendengar.
Menurut Fazley, lagu hasil ciptaan Ajai dengan kerjasama dirinya sendiri merupakan ekspresi personal tentang cinta bersama seorang gadis berbangsa Cina yang terputus di tengah jalan akibat tidak mendapat restu keluarga. Begitupun, mereka masih menghormati perasaan cinta yang terwujud di antara satu sama lain.
“Sementara itu, relevan saya memilih judul Wo Ai De Ni yang bermaksud kau kesayanganku kerana ramai di antara kita sudah terbiasa mendengar ayat ini di dalam kehidupan seharian,” – Fazley
Fazley merekod lagu ini dalam masa sehari sahaja di studio Ajai di Taman Tun Dr. Ismail di sini beberapa bulan lalu.
Menyambung bicara, anak jati Rembau, Negeri Sembilan itu memberitahu, proses rakaman tidak mengambil tempoh panjang kerana penjiwaan yang mudah dizahirkan oleh empunya diri.
“Terus-terang, Ajai merupakan seorang produser yang cukup teliti apabila berada di dalam studio. Bagaimanapun, saya berasa bertuah kerana dia mudah berpuas hati dengan proses rakaman yang dilakukan tempohari,” – Fazley
Wo Ai De Ni menjalani proses adunan akhir di Australia.
Menutup bicara, Fazley sempat melontarkan ekspektasi terhadap lagu baharunya itu:
“Semoga ia dapat memberikan kefahaman kepada orang ramai bahawa cinta tidak semestinya bersatu. Dan jika tidak bersatu sekalipun, tidak semestinya kita akan berhenti mencintai sesama sendiri.” – Fazley
Sebelum Wo Ai De Ni, bapa kepada empat cahayamata itu pernah menghasilkan single, Ketiadaan sebagai tribut kepada arwah bapanya, Datuk Yaakob Mohammad yang meninggal dunia pada tahun 2016.