2 Program Travelog Menarik Di RTM Mulai April Ini
Bersama pengacara Razlan Kristal dan Azura Zainal, RTM membawakan dua buah program travelog terbaharu yang mengajak penonton bukan sahaja mengenali destinasi menarik dikunjungi sebaliknya turut berkongsi kepelbagaian budaya masyarakat setempat destinasi yang dilawati.
Disiarkan pada hujung minggu, program Wisata menemui anda mulai 7 April setiap Sabtu, jam 5.30 petang dan menyusul kemudiannya program 13 Hari mulai 8 April, setiap Ahad, jam 8.00 malam. Kedua-dua program ini disiarkan menerusi TVi (Saluran 180 Astro).
Wisata yang menampilkan pengacara penyanyi utama Kumpulan Kristal, Razlan yang menjelajah ke setiap pelusuk negara untuk mengenali tempat-tempat menarik dan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia.
13 episod program ini membawa penonton berkenalan dengan lebih dekat lagi lokasi menarik dan budaya tersendiri masyarakat setempat di Semenanjung Malaysia juga termasuk Sabah dan Sarawak antaranya Kelantan, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kedah, Melaka, Bintulu, Lubok Antu, Tenom dan Kuching.
Episod pengenalannya bermula di Kuching, Sarawak yang mana masyarakat setempatnya mengadakan aktiviti Sarawak Regatta, acara tahunan sukan air bertaraf antarabangsa yang mempunyai sejarah tersendiri dan diadakan setiap tahun di Sarawak. Kunjungan di Sarawak turut mendekati jejak warisan Sarawak dan Muzium Tekstil Sarawak yang penuh bersejarah.
Kepada anda yang berminat menerokai beberapa buah pulau di Sabah, program travelog bertajuk 13 Hari mampu memberi pengetahuan kepada anda tentang’rahsia’ menarik di Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai yang terletak di perairan Sabah.
Penonton pastinya teruja untuk melihat keindahan batu karang yang berada di dasar laut selain turut memaparkan cara hidup dan aktiviti harian masyarakat tempatan bersama pengacara Azura Zainal dalam 13 episod siarannya.
Kenali destinasi pelancongan menarik dalam negara bersama dua program travelog menarik ini hanya di TVi.