Ketika muzik daripada kumpulan anak muda bergelar boyband beraja di seluruh dunia suatu era dahulu, kumpulan bernama Westlife yang dianggotai Shane Filan, Mark Feehily, Kian Egan, Brian MacFadden dan Nicky Byrne antara yang berjaya ‘hidup’ dan menonjol.
Buktinya jelas depan mata, apabila kita dapat saksikan lebih 14,000 hadir menonton konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur yang berlangsung kelmarin dan semalam di Stadium Malawati, Shah Alam. Fuh! Hebat betul penangan Westlife! Memang otai mereka ni!
Sewaktu perpecahan mereka diumumkan pada 2012, bukan seorang dua yang menitiskan air mata.
Kembalinya mereka bersatu, biarpun tanpa Brian, bagaikan mimpi jadi nyata buat jutaan peminat yang membesar bersama mereka.
Bukan satu perkara yang mengejutkan apabila 14,000 keping tiket untuk dua hari konsert The Twenty Tour: Westlife live in Malaysia, ‘licin’ dalam masa beberapa jam sahaja.
Stadium Melawati di Shah Alam menjadi tumpuan seawal jam 3 petang lagi. Ada yang tiba dari seluruh negeri, Perak dan Pulau Pinang. Malah ada yang sanggup terbang dari Kuching dan Sabah. Ada yang mengambil cuti demi menyaksikan konsert ini. Semuanya demi menyaksikan childhood heroes mereka.
Membuka tirai persembahan dengan lagu yang dipetik daripada album terbaharu mereka yang bakal menemui peminat November depan, “Hello My Love”, kemunculan mereka di pentas sentiasa diiringi sorakan dan jeritan peminat.
Menarik juga apabila diperhatikan ada juga dalam kalangan peminat Westlife yang terdiri daripada anak-anak muda berusia awal 20an.
Jika difikirkan, mereka ini mungkin masih terlalu kecil ketika itu untuk mengingati fenomena yang pernah dicipta Westlife.
Namun itulah bayangan legasi kegemilangan yang ditinggalkan Westlife apabila lagu-lagu dendangan mereka tetap menjadi siulan sehingga kini.
“Saya masih ingat bagaimana Malaysia menyambut kami dengan sangat mesra ketika awal pembabitan kami dahulu.
“Kami masih muda dan baru ketika itu, melihat lapangan terbang dipenuhi peminat, ia membuat kami terharu dan kami ingat sampai sekarang,”
– Nicky Byrne
Namun di sebalik keterujaan peminat, ramai juga yang meluahkan rasa risau dan masih trauma dengan berita pembatalan di saat akhir acara bertemu peminat artis dari Korea Kim Jae Hwan pada 27 Julai lalu.
Punca pembatalan itu disebabkan penganjur gagal mendapatkan permit daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Justeru peminat bimbang dan tertanya-tanya apakah insiden yang sama akan berulang kembali?
Penganjur konsert Westlife, Macpiepro mengesahkan permit mengadakan acara berkenaan yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam sudah lulus sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif MacpiePro Berhad, Francis Leong berkata pembeli tiket tidak perlu risau disebabkan acara berkenaan tidak mungkin akan dibatalkan.
“Kami dengan sukacita memaklumkan permohonan permit bagi Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ in Kuala Lumpur sudah mendapat kelulusan daripada semua pihak terbabit termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).”
“Pihak kami berusaha memohon permit untuk konsert ini mengikut prosedur ditetapkan. Kami sangat berterima kasih kepada MBSA serta semua pihak terbabit sebab meluluskan permohonan permit bagi konsert ini,”
– Francis Leong
Baru-baru ini, acara bertemu peminat penyanyi Korea Selatan, 2019 Kim Jae Hwan Fanmeeting MIN:D in Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam dibatalkan saat-saat akhir.
Lantas, insiden berkenaan sedikit sebanyak membuatkan ramai pembeli tiket gusar jika insiden anjuran UnUsUaL Entertainment dengan sokongan Macpiepro itu berulang.
Pada April lalu, tiket konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa apabila habis terjual dalam tempoh 32 jam saja.
Penjualan tiket secara rasmi yang dibuka menerusi laman web www.macpiepro.com turut habis terjual. Lebih 14,700 tiket berjaya dijual untuk konsert selama dua hari itu nanti.
Byrne juga tidak turut mengambil kesempatan meminta orang ramai agar dapat membantu mencari remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Nilai, Negeri Sembilan.
“Saya sempat berbual dengan salah seorang ahli keluarga Nora dan saya dapat bayangkan kebimbangan mereka.
“Terima kasih atas keprihatinan anda dan saya pasti keluarga Nora juga mengharapkan yang terbaik,”
– Nicky Byrne
Menyampaikan rangkaian 20 buah lagu popular mereka dalam konsert berdurasi dua jam itu, ia berjaya membawa penonton untuk bersama mengimbau kembali kenangan.
Berikut adalah senarai lagu yang disampaikan oleh Westlife pada malam yang indah itu.
- “Hello My Love”
- “Swear It Again”
- “What About Now”
- “My Love”
- “When You’re Looking Like That”
- “Uptown Girl”
- “If I Let You Go”
- “Better Man”
- “Queen Medley”
- “I Have a Dream”
- “Unbreakable”
- “Fool Again”
- “Queen of My Heart”
- “Dynamite”
- “You Raise Me Up”
- “Flying Without Wings”
- “World of Our Own”
Antara lagu-lagu yang disampaikan ialah My Love, Uptown Girl, Swear It Again dan Flying Without Wing.
Paling penting, daripada segi teknikal juga seluruh produksi memberikan elemen kelas tinggi. Baik daripada sistem pencahayaan, penataan bunyi, latar belakang, sehinggalah ke lima persalinan kumpulan itu, semuanya mega.
Terbukti, setiap anggotanya membuat persiapan yang cukup mengagumkan semata-mata mahu menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-20 mereka itu. Tiada sedikit ruang untuk kesilapan kecil pun cuba mereka lakukan.
Bagaimanapun, mungkin dari segi pemilihan lagu saja membuatkan penonton sedikit ralat. Mana tidaknya, Westlife memiliki himpunan lagu yang cukup hit dan bermakna secara peribadi kepada setiap penonton.
Walaupun rata-rata lagu yang dinyanyikan adalah lagu terbaik mereka, masih banyak lagu kegemaran lain tidak dinyanyi seperti I Lay My Love On You. Andai saja tempoh masa konsert itu dipanjangkan sedikit, tentu penonton lebih puas.
Apapun, paling menyentuh tentu sekali kerendahan hati kumpulan itu terhadap sokongan berterusan diterima mereka sehingga kini. Tiada langsung unsur bongkak dan mereka memilih untuk terus membumi.
Hal itu diungkapkan sendiri mereka betapa bermaknanya setiap sokongan peminat. Bahkan, mereka mengakui tidak mungkin akan merasai momen sebegitu jika bukan sebab peminat yang merealisasikannya.
“Sejak kecil, kami pernah rasa terabai dan hanya mampu menyimpan angan-angan besar untuk berjaya. Kami tidak terfikir pun akan dapat datang ke Kuala Lumpur seperti hari ini.
“Terima kasih kepada setiap seorang kamu kerana merealisasikan impian kami. Disebabkan kamulah kami dapat menjelajah dunia dan sangat terharu kebajikan kami dijaga rapi sejak turun dari pesawat,” kata Kian.
Westlife juga mengakui mahu meninggalkan memori terindah buat semua sebagaimana diberikan peminat sepanjang 22 tahun kerjaya mereka.
“Tanpa anda semua, kami bukan siapa-siapa. Semoga malam ini menjadi memori terindah buat anda dan pastinya kami juga. Terima kasih atas sokongan anda setiap kali kami berkunjung ke sini,” kata Shane pula.
Hari ini Westlife akan turun sekali lagi di lokasi yang sama, sebelum menyambung konsert jelajah mereka di Singapura pula.
Westlife yang dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan, dan Mark Feehily cukup popular pada penghujung 1990-an dan awal 2000.
Antara lagu popular mereka termasuklah If I Let You Go, Flying Without Wings, My Love, World of Our Own, Queen of My Heart, Uptown Girl, I Have A Dream, Swear It Again dan banyak lagi.
Bagaimanapun, pada 2012 kumpulan itu dibubarkan manakala seorang anggotanya iaitu Brian McFadden sudah terlebih dulu keluar daripada Westlife pada 2004.