in

Monsta Umum Kerjasama Antarabangsa Kolaborasi Bersama WebTVAsia

Monsta, sebuah syarikat animasi dari Cyberjaya, Malaysia yang terkenal dengan siri animasi 3D popular, BoBoiBoy, mengumumkan kerjasama antarabangsa di China dan India, dalam sidang akhbar yang bertempat di Komune, Bangsar South City dengan sokongan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan WebTVAsia.

Monsta

Sidang akhbar dimulakan dengan pengumuman perjanjian perolehan ekslusif dengan Tencent Video, sebuah platform penstriman video terkemuka dari China dengan 457 juta pelanggan bulanan, untuk membawa BoBoiBoy masuk ke pasaran China. WebTVAsia bertanggungjawab menguruskan pengedaran dan lokalisasi BoBoiBoy. Ketiga-tiga musim siri TV BoBoiBoy dan juga filem BoBoiBoy The Movie akan dialihbahasa kepada Bahasa Mandarin. Perjanjian perolehan ini bernilai 7 angka renminbi (RMB).

Fred Chong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WebTVAsia, berkata,

“Ianya merupakan satu pencapaian yang penting apabila IP animasi Malaysia berjaya menembusi pasaran China yang besar melalui platform penstriman video yang popular seperti Tencent. Sebagai sebuah syarikat Malaysia, kami bangga kerana dapat menjadi pengantara dalam kolaborasi ini dan berharap kerjasama ini akan berterusan dengan jayanya.”

Datuk Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, berkata,

“Di MDEC, kami mengutamakan perkembangan produksi animasi di Malaysia. Saya berasa amat bangga melihat studio animasi tempatan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa kerana ia menunjukkan semangat Malaysia Boleh kepada seluruh dunia. Kami berharap pengumuman dan kerjasama ini akan mendorong industri animasi dan produksi Malaysia untuk lebih berkembang maju, dan MDEC akan sentiasa memberi sokongan kepada mereka.”

Monsta juga mengumumkan perjanjian perolehan bersama Disney Channel India untuk menayangkan siri BoBoiBoy dan juga BoBoiBoy The Movie ke subbenua India, yang merangkumi Bangladesh, Bhutan, India, Maldives, Nepal, Pakistan, Seychelles, dan Sri Lanka. BoBoiBoy akan ditayangkan dalam 4 bahasa termasuk Hindi, Tamil, Telugu, dan Bahasa Inggeris.

Nizam Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, berkata, “Impian kami selama ini bukan sahaja untuk mengeksport produksi tetapi juga untuk menunjukkan budaya Malaysia yang unik. Kini, mimpi sudah menjadi realiti apabila berjuta orang penonton di seluruh dunia dapat menikmati siri animasi kami dengan identiti Malaysia.”

Monsta juga memperoleh perjanjian bersama Takara Tomy untuk menghasilkan siri mainan BoBoiBoy Galaxy TOMICA yang mula dijual di pasaran Malaysia pada tahun ini. Monsta juga telah bekerjasama dengan Gameloft untuk menghasilkan permainan mobil BoBoiBoy Galaxy Run di platform Android dan iOS.

Dengan menembusi pasaran China dan India, Monsta berharap jenama ini akan lebih dikenali oleh kanak-kanak serata dunia dan membuka peluang yang lebih besar untuk seluruh industri animasi Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Panggilan Uji Bakat I CAN SEE YOUR VOICE MALAYSIA

Anugerah FiTA KaryaOne Awards 2017 Iktiraf Pelajar