in , ,

WATER FOR LIFE Anjuran PETRONAS Bantu Penduduk Kg Runchang

Masih jelas tergambar dua tahun lalu, Budiey pernah mengikuti program WATER FOR LIFE anjuran PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) membantu penduduk masyarakat Orang Asli di Rompin, Pahang mendapat bekalan air yang bersih dan jernih.

Satu pengalaman yang takkan Budiey lupakan sebab mengajar Budiey betapa pentingnya bekalan air yang bersih kepada kita semua. Sampai sekarang kenangan tu masih terus Budiey ingat.

Untitled

Tanggal 4 Disember 2015 yang lalu, Petronas sekali lagi telah menjemput Budiey melihat sendiri suasana sekitar WATER FOR LIFE di Kg Runchang, Pekan, Pahang. Kali kedua dijemput, sudah tentu Budiey tahu perjalanan program ini. Walaupun atur acara dan jadualnya agak sama tapi suasana dan orang-orangnya berbeza. Pengalaman juga berbeza. Bergantung pada tempat dan keadaan. Itu yang Budiey teruja untuk kongsikan kat korang semua.

Petronas

Pada 4 Disember, perjalanan kami bermula dari Menara Berkembar PETRONAS di KLCC menuju ke Pekan, Pahang dengan menaiki van. Kami sampai di hotel agak lewat juga iaitu dalam jam 7 malam. Selesai makan malam di sebuah restoran, kami berehat untuk rasa lebih segar esok harinya.

Malam tu, kami dihidangkan dengan lauk-pauk yang sedap yang sangat enak. Suka dengan masakan ikan patin bakar dengan tempoyak. Fullamak. Sedap. Kami juga mengambil peluang untuk beramah mesra dengan peserta yang datang dari Petronas dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Untitled

Pagi 5 Disember, cuaca sangat baik sekali. Matahari muncul memancarkan sinar. Terang benderang. Seolah gembira dengan kehadiran kami di sini untuk membantu penduduk kat sini mendapatkan bekalan air bersih. Seperti yang dijadualkan, kami bertolak dari hotel ke Kg Runchang dalam jam 8 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk sampai ke Kg Runchang.

Sesampai di sana, kami makan pagi bersama penduduk kampung. Sedap juga nasi lemaknya! Kalah nasi lemak kat KL ni.

Untitled

Jauh di lubuk hati yang dalam, Budiey rasa bertuah sangat kerana dijemput untuk berganding bahu tenaga bersama 70 orang pekerja Petronas meringankan beban penduduk. Ini juga kali pertama Budiey dapat menjejakkan kaki di Kg Runchang, Pekan, Pahang. Kalau tak, memang tak merasa nak jalan-jalan ke sini.

Sepanjang tahun 2015, Budiey difahamkan Petronas telah mengadakan empat event CSR WATER FOR LIFE. Selepas berkampung di Kg Runchang, staf Petronas akan terbang ke Sabah pula pada 9 Disember 2015 untuk membantu penduduk Kg. Pinapak, Sabah.

Untitled

Rasanya Petronas berbelanja bukan sedikit untuk projek WATER FOR LIFE ni. Segalanya bagi membantu meringankan beban orang kampong mendapatkan bekalan air yang bersih untuk kegunaan harian.

Kampung Runchang ini dikenal pasti antara kampung yang menghadapi masalah air yang sangat kritikal.

Semasa makan-makan pagi, Budiey ada berbual dengan orang kampung di sini. Katanya, ada tiga orang pelajar di sekolah kampung ini berjaya lulus cemerlang 5A dalam UPSR. Walaupun dalam keadaan susah nak dapatkan air, tapi mereka dapat buktikan segala masalah itu bukannya alasan untuk tidak belajar bersungguh-sungguh. Sekarang mereka dah buktikan. Pelajar berkenaan turut diraikan dan diberikan sumbangan hadiah buat mereka oleh Petronas.

Untitled

Bagi pelajar kat sini, mereka sedar pentingnya air yang bersih dan mereka belajar untuk berjimat cermat guna air. Bukan macam kita kat bandar ni yang tak rasa semua masalah itu. Bak kata cikgu kat sini, kita kena rasa, baru kita faham penderitaan orang kampung ini.

Kesan yang Budiey dapat lihat, semasa guna tandas di sekolah ini, Budiey lihat tandasnya tidak bersih. Ini semua disebabkan tiada air yang bersih untuk mencuci tandas. Diharapkan selepas ada saliran air bersih, segala masalah kebersihan sana sini boleh diatasi.

Untitled

Bagi Budiey, Program Water For Life ini sekurang-kurangnya bukan hanya menyalurkan air bersih malah ia telah memberikan sinar bahagia buat penghuni. Syabas buat PETRONAS! Tidak sia-sia bantuan dihulurkan.

Bagi Budiey sendiri, inisiatif yang diusahakan oleh PETRONAS sangat murni dan harus dicontohi oleh semua syarikat. Sebagai seorang blogger pula, Budiey mengambil tugas ini untuk memberi sumbangan yang sekelumit ini untuk kesenangan masyarakat di luar bandar. Ye lah, mungkin kita tidak kaya dan tak ada banyak duit tapi kadang-kadang idea yang kecil dan kerjasama semua pihak untuk berganding bahu sekurang-kurangnya memberi satu impak yang besar dan penuh makna bagi seluruh penduduk.

Untitled

Misi kami ialah memasang penapis air, pam air dan tangki air seterusnya menyalurkan air yang bersih itu ke rumah-rumah di sekitar kampung yang dihuni oleh lebih 5000 orang penduduk Kg Runchang.

Masa yang ditetapkan ialah selama 3 jam ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melihat misi kami berjaya mencapai sasaran iaitu meningkatkan kualiti kehidupan penduduk kampung dengan menyediakan air yang bersih dan jernih. Ya, itulah matlamat program Water For Life ini.

Kami dibahagikan kepada tiga buah kumpulan. Setiap kumpulan ada lebih kurang 20 orang dan kami perlu memasang tangki air di setiap 100 meter.

Semua diwajibkan pakai kasut dan but sebab kawasan di sini kebanyakannya dah becak dan berlumpur sebab hujan turun.

Untitled

Budiey dikhabarkan penduduk kampung terpaksa menadah air hujan dan berjalan kaki untuk mendapatkan air dari telaga atau terpaksa mengangkut air dari sungai yang berdekatan. Tengok pada air sungai pun keruh semacam air teh tarik. Berapa lama keadaan mereka macam ni? Dengarnya, memang dah lama. Dah 6 tahun mereka kat sini alami kesukaran macam ni.

Berbeza di bandar, penduduk kampung ini sangat sukar untuk mendapatkan air di mana hanya tempat-tempat tertentu sahaja yang ada mata air. Maka, telaga dibuat pun di beberapa tempat dan ada kalanya sangat sukar untuk penduduk lain mendapatkan air. Jika ada air pun, keadaan air telaga ini sangat kotor dan sangat keruh. Memang azab! Paling azab bila kita nak pergi buang air. Aduyai, tengok pada air yang nak diguna tu. Memang kotor. Kesian juga kat mereka kat sini. Macamana lah keadaan pelajar kat sini kan, nak belajar pun tak selesa.

Jam 9 pagi, program ini bermula dengan acara ucapan alu-aluan dari
Pengurus Besar Kanan Bahagian Perniagaan Runcit PETRONAS Dagangan Berhad iaitu Shaharuddin M Sidek dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Ishak A/L Mansor.

Untitled

Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Perniagaan Runcit PDB iaitu Shaharuddin M Sidek:

“Kami di Petronas Dagangan Berhad memang akan meneruskan usaha seperti ini untuk tahun-tahun seterusnya. Kalau boleh kita nak masalah air yang kotor dapat diatasi sikit demi sedikit. Program Water For Life ini sangat bermakna untuk kita sebagai program asasi yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan dan menyelesaikan masalah untuk mendapatkan bekalan air yang bersih. Semoga selepas program ini selesai, keadaan penduduk di kampung ini sangat selesa dan tak bimbang dengan masalah untuk mendapatkan air. “

“Di bandar, kebanyakan kita tidak merasakan keperluan untuk menjimat air kerana bekalannya sentiasa ada. Tetapi tidak bagi masyarakat di luar bandar yang sukar mendapat bekalan air bersih. Melalui program ini, kita berhasrat untuk menangani masalah ini dengan mendidik masyarakat bandar supaya berjimat dalam menggunakan air di samping membekalkan air bersih kepada masyarakat luar bandar. Penting bagi kita mengambil kira sumber air tempatan kita dan menguruskannya dengan bijak.”

– Shaharuddin M Sidek

Namun begitu, air perigi ini masih lagi keruh. Masalah ini dapat diatasi dengan adanya penapis air yang berkualiti dan tahan lama.

Untitled

Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing… semua membahagikan tugas masing tanpa banyak soal. Kerja semakin mudah bila semua orang kerjasama bersatu tenaga. Tangki air sebarat 50kg diangkat dengan mudah.

Tidak sampai 10 minit, kami berjaya memikul tangki air lebih kurang 300 meter dari lokasi utama. Betullah kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh… kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, betul tak?

Sebelum memasang tangki, kami perlu menyalurkan paip ke tangki yang terletak 100 meter dari tempat itu. Setelah selesai, kerja-kerja memasang tangki dibuat. Kerja kami sangat mudah dan cepat kerana mendapat taklimat dan tunjuk ajar dari juru teknik program ini iaitu Mr. Shanmugaraj.

Kalau nak tahu, Mr. Shanmugaraj ni adalah sukarelawan dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Misi kami dapat diselesaikan pada jam seawal jam 1 tengahari. Syukur segalanya dapat diselesaikan dengan seberapa segera. Sebelum kami makan tengahari, semua yang terlibat bergambar beramai-ramai.

Kemudian kami berhimpun semula di kantin sekolah untuk makan tengahari dan majlis penutup.

Seramai tiga orang pelajar bersama seorang guru mereka telah menerima hadiah istimewa sumbangan Petronas.

Water For Life

Budiey sangat gembira dapat memberikan sedikit tenaga untuk kemudahan Orang Asli di Kampung Runchang, Pekan, Pahang ni. Di kesempatan ini, Budiey ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PETRONAS kerana memberi peluang seperti ini.

Untuk info lanjut, anda boleh layari: www.mymesra.com.my

Untitled
Water For Life
Water For Life
Water For Life
Untitled
Water For Life
Untitled

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Adira Nikah Datuk Seri Adnan Abu Rela Bermadu

11 Perkara Anda JANGAN BUAT Sewaktu Travel