Menjalani penggambaran sepenuhnya di Sabah, telemovie terbitan Skyline Pro ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 8 Januari, Jumaat, pukul 9.30 malam mengisi slot Citra di TV2.
Kisahnya berlatarkan tentang watak utama Aina Sofea yang baru sahaja kematian suaminya, Talha. Dia yang masih bersedih dengan kehilangan itu dan sentiasa dibayangi dengan kehadiran Talha di rumahnya.
Demi meluahkan rasa rindunya terhadap Talha, Aina mengirimkan surat kepada suaminya itu. Baginya dengan cara itu dia dapat melepaskan rasa rindu terhadap Talha yang masih menebal.
Pada awalnya, Aina tahu bahawa surat yang dikirimnya tidak akan mendapat balasan. Namun sebaliknya berlaku, setiap surat dikirimkan mendapat balasan beserta tandatangan Talha.
Disebabkan itu, Aina mula obses mengirimkan surat kepada Talha demi melepaskan rindunya. Dia percaya suratnya itu pasti akan berbalas seperti sebelum ini.
Kemunculan Am, seorang posmen pula sentiasa dinantikannya untuk mendapatkan surat dikirim suaminya. Aina juga seringkali meminta bantuan Am untuk mengirim surat balasan kepada Talha.
Hubungan keduanya mulai rapat kerana Am percaya sepenuhnya dengan kata-kata Aina bahawa suaminya telah meninggal dunia. Pada masa sama Am juga curiga dengan Aina dan mahu mencari kebenaran siapakah pengirim sebenar surat yang diberikan oleh Aina kepada Talha kerana mana mungkin orang yang telah meninggal dunia mampu membalas surat.
Bagaimanakah kesudahan kisah misteri Aina Sofea yang sering mengirim surat dan menerima surat dengan penuh tanda tanya ini? Ikuti ceritanya di TV2.
Selain Dayang Areeda yang membawakan watak utama dalam telemovie ini, turut menampilkan pelakon Mustaqim Bahadon, Ebi Kornelis, Adin Hans, Shelviana Josh, Zuzela Mohamed, dan Clarice John Matha.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.