WATAK PERWATAKAN DARI FILEM ANAK HALAL
FARID KAMIL sebagai Inderaputera
Seorang pemuda lasak bersifat panas baran, kaki gaduh, sensitif tetapi penyayang yang dibesarkan oleh perempuan gila di jalanan. Beliau terpaksa menempuh ujian getir apabila dipisahkan dari ibunya yang dianggap gila oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sewaktu berusia 9 tahun. Kenalan ibunya, Bu Leha telah memelihara beliau sehingga meningkat dewasa dan bekerja di sebuah bengkel kereta.
MAYA KARIN sebagai Jo
Jo adalah anak gadis Bu Leha yang berperwatakan lasak ala ‘tomboy’. Beliau dibesarkan bersama Inderaputera. Jo begitu rapat dengan Inderaputera seperti dua bersaudara yang tidak dapat dipisahkan dan dalam diam ada menyimpan perasaan pada Inderaputera. Beliau membantu ibunya, Bu Leha menjual buah-buahan di pasar Chow Kit.
FASHA SANDHA sebagai Amira Atikah
Fatin Amiera bt. Datuk Farid, gadis lemah lembut anak seorang ahli politik yang kehilangan ibu sewaktu berusia lima belas tahun. Gaya kehidupan mewah dan hiburan sosial telah menjerumus Amiera ke kancah penggunaan dadah. Perkenalan dengan Putra secara tidak sengaja mengajar Amiera mengenali kehidupan sebenar.
ADI PUTRA sebagai Erzan
Seorang abang yang bertanggungjawab memelihara adik perempuannya, Milya yang masih menuntut di sebuah kolej swasta setelah ibubapa mereka terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya. Erzan yang mencari rezeki dengan menjual burger, diburu Along setelah gagal menjelaskan hutang yang banyak tinggalan ayahnya.
RAJA FARAH sebagai Milya
Gadis lemah lembut dan bijak yang berusia 19 tahun ini telah menjadi mangsa pertaruhan Along sekiranya Erzan, abangnya tidak berjaya melunas semua baki hutang. Tertekan apabila abangnya mula menjadi pengedar dan penagih dadah.
ROSYAM NOR sebagai Hisham
Penjenayah yang dikehendaki polis. Tertangkap dan terpaksa menjalani hukuman penjara. Sikap dan perbuatan jahatnya tidak membataskan dirinya sebagai seorang lelaki yang mempunyai nilai kemanusiaan dan kasih sayang yang tinggi.
Bront Palarae sebagai Danial
Danial dalam diam menyimpan perasaan terhadap Milya, adik Erzan. Beliau yang tidak mahir menunggang motosikal telah mula belajar menunggang motosikal dengan sahabatnya Shah, bekas ‘Mat Rempit’.
REMY (pelakon baru) sebagai Shah
Shah adalah bekas ‘Mat Rempit’ yang pernah mengalami kemalangan teruk dan telah serik untuk berlumba tetapi masih meneruskan persahabatan dengan geng ‘Mat Rempit’. Beliau bekerja di bengkel kereta bersama Inderaputera dan Danial.
SINOPSIS FILEM ANAK HALAL
Hisham, seorang penjenayah dalam keadaan tersepit telah menyerahkan bayi lelakinya kepada Mariam, seorang perempuan gila. Penjenayah tersebut telah ditangkap dan dipenjarakan. Mariam yang gila dan hidup di jalanan membesarkan bayi tersebut Inderaputera (Putera) dalam serba kedaifan. Mereka tinggal di kawasan setinggan, berjiran dengan Bu Leha dan anak perempuannya, Johanna (Jo) seorang gadis ‘tomboy’ yang dalam diam menyukai Putera. Namun, kebahagiaan Putra bersama ibunya berakhir apabila mereka dipisahkan oleh pihak berkuasa.
Putera kemudiannya dibesarkan oleh Bu Leha yang membawa Putera dan Jo berpindah ke Kuala Lumpur dengan harapan hidup mereka akan menjadi lebih baik. Putera dan Jo membesar sebagai remaja jalanan. Putera bekerja di bengkel kereta. Manakala, Jo dan ibunya berniaga buah-buahan di Pasar Chow Kit demi sesuap nasi.
Manakala, Erzan dan Amira Atikah pula adalah antara sahabat rapat Putera dan Jo. Mereka telah terjebak dengan penggunaan najis dadah akibat tekanan dan desakan hidup. Amira Atikah yang ketagihan dadah telah melarikan diri dari rumah. Selain mengedar dan menagih dadah, Erzan yang terpaksa menanggung beban hutang tinggalan ayahnya telah menjadi buruan kuncu-kuncu Hisham. Putera begitu sedih dan marah. Putera naik berang pada Hisham dan kuncu-kuncu yang telah menjadi punca kepincangan hidup orang-orang yang disayanginya.
Berjayakah Putera membalas dendam terhadap Hisham dan kuncu-kuncunya ? Bertemukah Putera dengan Mariam, wanita yang telah membesarkannya? Nantikan kemunculan ‘Anak Halal’ sebuah filem realiti kepincangan masyarakat yang akan menemui anda di pawagam.