Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin atau nama lengkapnya Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang dilaporkan kritikal di London, telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.
Menurut adiknya, Siti Nor Hazlinda, 39, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat
pendarahan otak disebabkan sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan arwah rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.
Ujarnya lagi, suami kepada arwah, Mohd. Roshdi Ramli kini dalam proses perbincangan dengan pihak kedutaan Malaysia di London, untuk urusan membawa pulang jenazah ke tanah air.
Menurut Hazlinda, kejadian berlaku beberapa jam sebelum kakaknya bersama suami serta dua anak mereka akan berlepas pulang ke tanah air selepas bercuti di London.
Berita duka itu juga dikongsikan oleh suami arwah, Mohd Roshdi Ramli kepada media.
Sementara itu, adik Allahyarham, Siti Norhazlinda berkata, punca kematian arwah adalah pendarahan dalam kepala dan kanser merebak ke bahagian belakang tengkorak.
Arwah sebelum ini menghidap sakit barah payudara sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, percutian ke negara itu adalah hajat terakhir kakaknya bagi meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.
Arwah, yang meninggalkan suami dan dua anak, merupakan pengarang di portal hiburan Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU.
Beliau juga pernah bertugas di portal Astro Gempak dan stesen RTM.
Terdahulu media melaporkan Fiza kritikal dan sedang dirawat di hospital di London selepas tidak sedarkan diri sewaktu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow ketika menunggu pesawat untuk pulang ke tanah air.
Fiza bersama suami dan anak-anak berlepas pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember.
Meskipun keadaan kesihatannya kurang baik sebelum ini, keluarga memilih untuk menunaikan hajat Fiza bercuti atas permintaan beliau sendiri.