in ,

Warna-Warni Program Raikan Deepavali di RTM

Warna-warni sambutan Deepavali dimeriahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV2 dengan menyiarkan keseluruhan 12 program khas pelbagai genre yang pastinya sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Sepanjang tiga hari berturut-turut iaitu bermula 26 hingga 28 Oktober ini, istimewa Deepavali di TV2 menawarkan pilihan kepada penonton memilih program kegemaran mereka dalam bentuk filem, hiburan mahupun drama. Menjelang sambutan Deepavali pada 26 Oktober ini, ikuti siaran program drama bertajuk “Oliveesum”, pukul 2.00 petang lakonan Sasikumar Kandasamy, Kuben Mahadevan, Hemaji dan ramai lagi yang menceritakan tentang pelbagai kejadian aneh yang menghantui penduduk Sambanthan. Penghulu sami memanggil bomoh untuk merungkai kejadian misteri itu.

filem Kaatrin Mozhi

Ia diikuti sebelah malamnya dengan tayangan filem “Hamari Adhuri Kahani”, pukul 10.30 malam lakonan Emraan Hashmi, Vidya Balan, dan Rajkummar Rao. Filem romantik ini berkisar tentang seorang wanita yang menjalinkan hubungan percintaan dengan taikun hotel namun dalam dilema kerana kisah silam yang kembali menghantuinya.

Esoknya, 27 Oktober pula seawal pukul 7.00 pagi disiarkan drama bertajuk “Deepa & Valli” arahan Norhan Mahmod tentang percintaan Valliram dan Sneha yang terlarang kerana sengketa antara ibu bapa mereka. Seterusnya pukul 10.00 pagi tambah menarik dengan tayangan drama kekeluargaan, “Aalamaram” kisah konflik pesara guru yang kembali ke kampung mengusahakan ladang dan ternakan kerbau. Namun keadaan jadi kucar kacir bila adik-adik Sundaram pulang ke kampung menuntut hak mereka ke atas harta pusaka keluarga tersebut.

FILEM M.S. DHONI

Sambutan perayaan tambah menceriakan dengan siaran filem “Meyaadha Maan”, pukul 2.00 petang lakonan Vaibhav Reddy, Priya Bhavani Shankar dan Vivek Prasanna. Filem ini berkongsi cerita ketakutan seorang pemuda meluahkan perasaan cinta terhadap seorang gadis. Namun setelah diyakini temannya, barulah lelaki itu percaya yang gadis itu pun mencintainya.

Menyusul filem tempatan “Jagat”, pukul 9.30 malam mengisahkan seorang remaja bernama Appoy yang dididik oleh ayahnya untuk menjadi seorang yang berjaya setelah dewasa. Namun, hati Appoy lebih tertarik untuk mengikuti jejak bapa saudaranya yang merupakan seorang bekas penagih dadah dan gangster. Ia dilakonkan oleh Jibrail Rajhula, Harvind Raj, Senthil Kumaran dan Marup Mustapah.

Sementara itu pukul 11.30 malam disiarkan drama “Deepavali Oh Deepavali” yang membariskan pelakon pelbagai kaum di Malaysia. Kisahnya tentang Surya, Santosh, Saiful dan Mandy yang menyambut perayaan Deepavali bersama-sama keluarga Surya. Santosh jatuh cinta dengan anak saudara Surya dan melakukan pelbagai cara memikat hati Deepa. Namun adakah usahanya berjaya?

poster filem Hamari Adhuri Kahani

Pada 28 Oktober program dijanjikan semakin menghiburkan dengan telemovie lakonan Kishok, Pushpa Narayan, Kaameshaa Ravindran, K.Prakash dan Irfan Zaini bertajuk “Ore Varthey”, pukul 10.00 pagi.

Ia diteruskan dengan rancangan muzikal khas Deepavali, “Kalakkal Deepavali” yang menggandingkan barisan artis terkenal tanah air dan penyampai radio MINNALfm pastinya antara yang ditunggu-tunggu ramai pukul 1.00 tengah hari.  

Motivasi santai disampaikan dalam filem “Kaatrin Mozhi”, pukul 2.00 petang kisah kehidupan seorang suri rumah berubah secara drastic apabila dia menjadi penyampai radio di salah sebuah stesen radio terkenal di Mumbai. Lakonan mantap Jyotika Vidharth dan Lakshmi Manchu.

Turut menyemarakkan sambutan perayaan ini dengan muzikal hiburan tempatan terbitan Unit Hiburan TV RTM bertajuk “Oli Veesum Deepavali 2019”, pukul 1.00 tengah hari. Antara artis Shamini, Sharmila, Shashtan, Kumpulan Salam dan Sheezay. 

Hari sama sebagai penutup disiarkan filem yang diangkat daripada kisah benar, “M.S. Dhoni”, pukul 10.00 malam yang mengajak penonton mengikuti perjalanan hidup Mahendra Singh Dhoni atau M.S. Dhoni yang pernah berkerja sebagai pengutip tiket dan kini kehidupannya berubah bila bergelar kapten pasukan kriket India serta meraih pelbagai anugerah melalui sukan tersebut. 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tayangan Filem JAGAT DEEPAVALI Ini di TV2

Karnival Starlight Resorts World Genting Malam Indah & Sempurna