“Warna Ramadan” Temui Pendengar NASIONALfm Sepanjang Ramadan Ini. Sepanjang Ramadan ini program-program kerohanian dan motivasi menjadi pilihan bukan sahaja bagi penonton televisyen malahan juga pendengar setia saluran radio. Tidak terkecuali salah satu saluran popular radio RTM iaitu NASIONALfm pada frekuensi FM 95.3 mHz dan 88.5 mHz yang tampil dengan program khas bertajuk “Warna Ramadan”.
Bersiaran ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, mulai 18 Jun hingga 16 Julai depan, pukul 12.15 hingga 12.45 tengah hari.
Menariknya program ini mengundang tetamu terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing yang membicarakan topik yang relevan dengan suasana Ramadan.
Pendengar berpeluang berkongsi pengetahuan berguna tentang pelbagai topik semasa yang boleh dimanafaatkan dalam kehidupan seharian.
Bermula Isnin pendengar berkongsi kupasan topik Aura ‘Serlahkan pancaran anggun diri’, diikuti Selasa menghuraikan kupasan isu Bisnes ‘Pemangkin kejayaan usahawan‘. Esoknya hari Rabu pula ikuti topik Sudu Garfu “ Cita rasa Nusantara’ dan Khamis topik Fit Sihat ‘Disiplin diri… sihat bergaya’ sebelum diakhiri Jumaat –Hijrah ‘ Hijrah, titik bermula di hati’.
Dalam topik Aura, pendengar setia NASIONALfm dapat mengetahui panduan penampilan diri agar tampil menarik, anggun dan comel pada bulan Ramadan dan Syawal.
Usaha memulakan perniagaan serta suntikan semangat mencapai kejayaan dalam perniagaan dibincangkan secara santai dalam topik Bisnes yang mana mereka menjejaki usahawan berjaya bermula pada bulan Ramadan.
Seterusnya ketahui resepi menarik bersama Chef terkenal untuk juadah berbuka dan raya dalam topik Sudu Garfu.
Menerusi Fit Sihat pula tip dan bimbingan pakar kesihatan dalam pengamalan hidup sihat di bulan Ramadan diberikan kepada pendengar setia NASIONALfm.
Sama-sama beri suntikan kepada diri sendiri dalam topik Hijrah di mana iman dan takwa merubah jadi diri lebih positif bersama insan yang berjaya membuat transformasi kehidupan.
Antara DJ NASIONALfm yang menghiburkan anda dalam rancangan ini termasuklah DJ Wawa, DJ Yatt, DJ Lin Zainol dan DJ Nurul.
Terima kasih terus memilih NASIONALfm ‘Sentiasa Di Hati’.