Bercerita lanjut tentang lagu ciptaan penuh ibunya, penerbit dan pemilik produksi Pencil Pictures & Records iaitu Datuk Ayu Puteh, Wanna menjelaskan, lagu tersebut merupakan runut bunyi bagi drama lakonannya di slot Akasia TV3 yang menggunakan judul sama.
“Drama ini merupakan terbitan dan saya sebagai pelakon utamanya di sisi Alif Satar. Justeru itu, ibu mencipta sebuah lagu baharu untuk dijadikan lagu tema rasmi drama ini yang kini sedang bersiaran di TV3,” ujarnya.
Mengulas kolaborasi julung kalinya bersama Aiman yang juga adalah bapa tirinya, Wanna anggap kerjasama antara mereka berdua sepanjang proses rakaman dilaksanakan secara profesional, malah tidak risau jika timbul persepsi negatif daripada pihak luar.
“Lirik lagu ini berkisar tentang hidup ibu saya dan suaminya, Aiman. Disebabkan itu, dia mahu ahli keluarga terdekat yang menyanyikannya sebab dirinya bukan seorang penyanyi.
“Dalam keluarga, saya dan Aiman memang sudah lama menyanyi. Maka sebab itulah kami bersetuju untuk bekerjasama merakam lagu ini. Lagipun, ini permintaan ibu sendiri,” jelas Wanna.
Sementara itu, Aiman ketika diminta mengulas berpendapat, kolaborasinya bersama Wanna tidak perlu dijadikan isu besar sementelah mereka tahu menjaga batas masing-masing.
Katanya, memahami rasa dan inti lagu itu sahaja sudah cukup profesional, tambahan pula karya tersebut adalah sesuatu yang istimewa hasil nukilan isteri dicintai.
“Sudah lapan tahun saya hayati lirik ini sejak berkahwin dengan Ayu. Bahkan, Wanna pun tahu betapa bermaknanya lagu Ini buat saya,” ujar Aiman yang sebelum ini pernah muncul dengan debut bertajuk Cintamu Palsu pada 2015.
Tambah Aiman lagi, bercerita pengalamannya sewaktu proses rakaman suara, tidak dinafikan dirinya sedikit kekok menjiwai lagu tersebut ketika berdepan dengan Wanna.
“Nak tak nak, saya dan Wanna kena profesional. Kami tetapkan niat, rakam lagu duet ini adalah untuk runut bunyi drama Bukan Sekadar Lafaz.
“Di samping itu, bagi menghilangkan rasa canggung, saya tatap wajah isteri yang sememangnya sentiasa berada di sisi kami semasa proses menyiapkan lagu ini,” maklumnya dalam temu bual yang diadakan baru-baru ini.
Justeru, Wanna dan Aiman berharap, penyatuan kedua-dua mereka di dalam sebuah lagu dapat diterima secara positif serta tidak perlu mengaitkannya dengan sesuatu perkara negatif.