Budiey.com ingin mengucapkan Selamat Ulangtahun ke-26 buat TV3! Semoga terus sukses dan menjadi wadah utama informasi berguna untuk kita semua.
Kempen “Bebaskan Bumi Palestin” Bakal Menyusul
Kehadiran bulan Jun sentiasa dinantikan oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dengan menyediakan aktiviti istimewa setiap kali menyambut ulang tahun penubuhannya. Apatah lagi untuk tahun 2010 yang melakarkan catatan sejarah buat TV3 kerana terus unggul sebagai stesen nombor satu Negara dan berdiri teguh selama 26 tahun.
Sebagai pemanas kepada bulan yang bersejarah ini, program bual bicara popular khusus untuk kaum Hawa, Wanita Hari Ini (WHI) memaparkan segmen menarik bertemakan “Hidup Bersama TV3”. Selama satu jam bersiaran secara langsung, episod khas ini juga turut mengundang penyanyi dan komposer berbakat besar, Faizal Tahir untuk berkongsi cerita mengenai kempen kemanusiaan Bebaskan Bumi Palestin yang bakal disiarkan di TV3 tidak lama lagi.
Idea dan konsep untuk kempen Bebaskan Bumi Palestin dicetuskan melalui kolaborasi di antara Faizal Tahir yang diangkat sebagai duta kempen dan pihak TV3 selaku penaung dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) setelah masing-masing tersentuh dengan peristiwa pertumpahan darah yang melibatkan kru dan penumpang yang terdiri daripada sukarelawan di atas kapal Mavi Marmara pada 31hb Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad ketika ditemui di Studio B, Sri Pentas berkata, “Berikutan dengan pergolakan Palestin dan Gaza yang semakin meruncing, TV3 merasa terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dengan menjalankan kempen bertemakan Bebaskan Bumi Palestin. Kempen ini merupakan rakaman trailer ataupun promotional clips dalam dua versi 30 saat dan 1 minit, disampaikan dalam Bahasa Malaysia dan juga versi Bahasa Inggeris. Kami yakin dengan pemilihan Faizal Tahir sebagai tunggak kepada kempen ini kerana beliau mempunyai kelebihan dan aura sendiri untuk menjayakan kempen ini, terutamanya menerusi mesej yang ingin disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.”
“Uniknya, kempen Bebaskan Bumi Palestin tidak melibatkan apa-apa sumbangan mahupun kutipan wang atau derma dari orang ramai, badan kerajaan, swasta ataupun dari mana-mana pihak. Kempen ini dijalankan semata-mata ingin menyampaikan mesej murni dan menimbulkan kesedaran dan keprihatinan dalam jiwa rakyat supaya sedar dan mengambil ikhtibar atas kejadian yang menimpa rakyat Palestin. Oleh itu, setiap kali penonton melihat klip ini secara tidak langsung akan memberikan peringatan kepada mereka mengenai kesengsaraan dan kesusahan yang dilalui oleh umat Islam yang telah ditindas,” tambah Dato’ Sri Farid lagi.
Selesai rakaman dan proses suntingan, visual kempen Bebaskan Bumi Palestin akan disiarkan di skrin TV3 dahulu selaku penaung kempen seawal minggu hadapan dan kemudiannya akan disalurkan ke stesen-stesen televisyen di bawah naungan Media Prima seperti 8TV, ntv7 dan TV9 termasuklah rangkaian radionya yang terdiri daripada Hot FM, Fly FM dan One Fm.
Segmen istimewa WHI “Membesar Bersama TV3” juga menampilkan sesi wawancara khas bersama artis yang sedikit-sebanyak telah menerima pendedahan awal dan terus membesar dengan TV3 seperti pelakon Tam Suhaimi, Bell Ngasri dan Darling Ngasri. Sebelum mengakhiri siarannya, team produksi WHI juga telah menjemput pihak pengurusan Media Prima Berhad seperti Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, Pengarah Urusan Media Prima Berhad, Dato’ Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Sri Farid Ridzuan mengiringi tetamu VIP khas, Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Datuk Ahmad Shabery Chik untuk sama-sama meraikan ulangtahun ke-26 TV3 dalam upacara memotong pulut kuning yang disediakan khas oleh Pak Engku dari Kuzie Katering. Agenda penutup program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran dan persembahan menghiburkan daripada selebriti tanahair seperti Kumpulan Fabulous Cats dan Dafi.
Pelbagai agenda telah disusun sempena meraikan sambutan bulan bersejarah ini dan istimewa untuk para penonton setia TV3, jangan lupa untuk datang beramai-ramai menyaksikan acara kemuncak menggabungkan mini karnival dan mega konsert dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 19 Jun 2010.
Sidang produksi yang bertanggung jawab mengendalikan penerbitan WHI dibarisi oleh Siti Hatija Yusuff (Pengurus Program Wanita/Projek Khas), Hartina Ayu Harun (Penerbit Eksekutif) dan Siti Hajar Abdullah dan Ifawani Omar sebagai penerbit.
Foto Ihsan TV3