Cabaran Wan Sharmila Jadi Wanita Tabah Dalam Slot Citra : Arah Lain Ke Syurga Di TV2
Drama bertajuk Arah Lain ke Syurga yang menampilkan watak utama pelakon Wan Sharmila cuba menonjolkan sisi lain pelakon genit yang sebelum ini selesa membawakan watak gadis remaja mahu pun wanita penggoda.
Menerusi drama mengisi slot popular Citra di TV2 yang disiarkan pada 22 Mei 2012, jam 10.00 malam ini, Wan Sharmila menghayati watak wanita bernama Qaseh yang pada mulanya merupakan gadis naïf yang cuba melarikan diri dari rumah kerana terlalu mengikut kekasih. Namun frasa hidupnya berubah menjadi wanita yang cekal dan tabah setelah dia tanpa sengaja menggalas tanggungjawab sebagai ibu angkat kepada anak pasangan suami isteri yang telah meninggal dunia.
Bergandingan dengan Norman Hakim, Aznah Hamid, Jegan, Kencana Dewi dan Tan Mei Ling, kisah Arah Lain ke Syurga bermula dengan plot Qaseh bertengkar dengan ibunya, Khadijah. Dia berdegil untuk berkahwin dengan Haikal dan tetap akan mengahwini Haikal walau tanpa kebenaran ibunya. Qaseh melarikan diri dari rumah meninggalkan ibunya sendirian. Qaseh bertemu Razak dan meminta lelaki itu menghantarnya bertemu Haikal. Dalam berat hati, Razak menurut. Sebelum pergi, Qaseh sempat mengamanahkan Razak untuk menjaga ibunya.
Namun niatnya telah dinodai oleh Haikal yang bertindak untuk merogolnya. Qaseh diselamatkan oleh sepasang suami isteri bersama anak mereka yang masih kecil. Si suami berbangsa Cina, Wai Choon dan isterinya Sugunah, kaum India. Rupa-rupanya suami isteri itu juga melarikan diri daripada keluarga Sugunah yang tidak merestui perkahwinan mereka. Mereka dikejar oleh Kamlesh, sepupu Sugunah yang membocorkan rahsia kepada ibu Sugunah, Prema.
Berlaku kejadian yang tidak diingini apabila mereka terlibat dengan kemalangan menyebabkan suami isteri itu mati di tempat kejadian. Qaseh tidak sedarkan diri dan terbaring berdekatan sungai. Anak kecil pasangan itu selamat berada dan berada dalam pelukan Qaseh. Qaseh bernasib baik kerana ditemui Shui Tin. Shui Tin membawa Qaseh dan anak kecil pulang ke rumahnya.
Shui Tin menjaga Qaseh dan si anak kecil sebaik-baiknya. Qaseh terkejut bila menyedari dirinya terbaring di atas katil. Shui Tin menenangkan Qaseh. Qaseh bangun dan merampas anak kecil dari pelukan Shui Tin. Qaseh mengucapkan terima kasih dan mahu meminta diri. Shui Tin tahu Qaseh masih lemah dan menasihatkan agar Qaseh tinggal sebentar di rumahnya, lagipun dia hanya tinggal sendirian setelah kematian suami dan anaknya.
Shui Tin menyangkakan anak itu adalah anak kandung Qaseh. Apatahlagi Qaseh meyakinkan yang itu memang bayinya. Qaseh menjaga anak itu penuh kasih sayang dan diberi nama Soraya. Qaseh meneruskan kehidupan bersama Shui Tin sementara sembuh sepenuhnya.
Setelah beberapa tahun berlalu, Soraya telah dijejaki oleh neneknya, Prema. Ketika itu tercetus konflik perebutan hak untuk menentukan siapakah yang berhak menjaga Soraya. Bagaimana pula penerimaan ibu Qaseh setelah diberi tahu anaknya masih hidup?