Tidak cukup itu, peminat mendoakan kasih yang terlerai antara dua insan ini, Mei lalu, kembali terjalin dan berakhir di jenjang pelamin.
Bagi Syafiq, biarpun tidak lagi menjalin hubungan intim dengan Mimi, tidak salah baginya untuk bekerja dengan bekas kekasih.
Menurut Syafiq atau nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 28, dia cuba bersikap profesional apabila bersetuju menerima tawaran berlakon yang membabitkan Mimi.
“Bagi saya, penting untuk bersikap profesional, lebih-lebih lagi apabila kita bekerja dalam bidang sama.
“Pada saya, tidak perlu rasanya bermasam muka kerana ia hanya memberi kesan yang tidak baik kepada kerjaya kita.
“Apa yang penting, kerja dapat diselesaikan dengan baik dan kemudian berjaya memuaskan hati penonton atau peminat dengan apa yang kita persembahkan,” katanya yang bakal muncul bersama Mimi dalam supertele, Saka Nan Sepi untuk siaran Astro First, bulan depan.
Sebelum ini, mereka pernah digandingkan dalam siri mini Serikan Hatimu 2 yang menemui penonton TV3, Ogos lalu.
Hubungan Syafiq bersama Mimi Lana terputus di tengah jalan bukan disebabkan campur tangan pihak ketiga atau impak populariti.
Sebaliknya, Mimi mengaku mereka sudah tidak mempunyai persefahaman dan tiada jodoh.
Sementara itu, berkongsi mengenai pencalonannya pada ABPBH 33, Syafiq yang pernah memenangi Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Filem bersama Hannah Delisha menerusi filem Langsuir pada ABPBH 32, bersyukur namanya sekali lagi dicalonkan.
Biarpun pernah memenangi dua trofi tahun lalu, anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mengharapkan kemenangan berpihak kepadanya berikutan pesaing yang hebat-hebat.
Namun, Syafiq tidak menafikan trofi atau anugerah amat penting untuk seorang artis. Baginya, kejayaan itu menjadi penanda aras kepada prestasi dan pencapaian mereka dalam industri.
“Saya sering melihat majlis anugerah sebagai bonus untuk terus bekerja keras serta memperbaiki mutu lakonan.
“Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi nama saya dicalonkan. Jujurnya saya tidak ada strategi (untuk menang).
“Jika peminat nampak keupayaan saya dan mereka sanggup bersusah payah mengundi, saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu.
“Apa saja keputusan pada malam kemuncak nanti, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.
Menurut Syafiz, menjadi kelazimannya meluangkan masa bersama kelab peminat, Skylovera FC.
Namun, disebabkan pandemik COVID-19, dia mengambil pendekatan mendekati mereka melalui platform digital.
“Platform digital juga memudahkan saya sentiasa mengemas kini perkembangan terkini pada bila-bila masa dengan peminat,” katanya.
Pada ABPBH 33, Syafiq tercalon dalam enam kategori iaitu dua kategori utama, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular.
Selain itu, empat kategori online iaitu Artis Kontroversi Popular, Gandingan Serasi Filem Popular dan dua pencalonan dalam Gandingan Serasi Drama Popular.