Lagu seperti Cinta Yang Telah Mati, Hingga Akhir Nanti, Kaca dan Jiwa berjaya memperkenalkan nama Neon Band dalam arena muzik tanah air.
Namun, selepas tiga tahun bersama kumpulan itu, vokalisnya, Ezwan Ariff mengambil keputusan bergerak secara solo menerusi single Misteri.
Single terbitan syarikat rakaman Najah Music yang dilancarkan secara rasmi pada 25 Disember lalu adalah karya komposer terkenal Omar K, Ikhwan Fatanna dan Shazee.
Menurut Ezwan, keputusan tampil solo adalah perancangan daripada syarikat rakaman dan dipersetujui kedua-dua pihak yang turut membabitkan pengurusan Neon Band.
“Sebenarnya saya memang bercita cita nak menjadi penyanyi. Tidak kisah secara solo atau band, tapi rezeki datang dulu bersama band. Selepas tiga tahun dengan Neon Band, saya dapat peluang buat solo pula.
“Pengurusan pun okay dan tidak ada masalah dengan perkara ini. Asalkan tidak menimbulkan konflik kerjaya bersama band. Malah kedua-dua pihak setuju dan okay. Begitu juga dengan ahli kumpulan.
“Tidak ada sebarang isu pun sebab saya bukannya keluar kumpulan, tapi ini sekadar projek solo. Malah, perancangan bergerak solo dibuat adalah untuk membantu menaikkan nama Neon Band juga. Secara tak langsung orang akan lebih kenal band ini,”
– Ezwan Ariff
Ditanya jangka masa untuk bergerak solo, Ezwan berkata dia sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan single solo kedua selain menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan dan syarikat rakaman.
“Saya tak letak jangka masa. Secara peribadi, saya sudah ada perancangan sendiri. Insya Allah, selepas enam bulan saya nak lancar single kedua.
Di antara tempoh itu Neon Band juga akan ada lagu baharu. Kiranya, memang kerjaya solo dan band akan bergerak seiring.
“Bagi single kedua nanti, belum ada perancangan lagi sama ada secara duet atau solo. Kalau ada artis nak berduet, saya okay dan sangat berbesar hati. Cuma, kalau boleh biarlah lagu solo berentak balada. Lagi pula saya sudah ada gambaran muzik macam mana. Apa pun, Bergantung kepada ‘trend’ muzik juga,”
– Ezwan Ariff
Berkongsi mengenai lagu Misteri yang bergenre Pop R&B, Ezwan berkata itu adalah arah tuju muzik yang sudah ditetapkan pihak syarikat buat dirinya.
“Apabila pihak pengurusan tawarkan projek solo, genra ini adalah ‘direction’ untuk bentuk kerjaya solo seiring dengan ‘trend’ dengan muzik sekarang. Begitu juga apabila muzik ini mudah diterima pebdengar, radio dan platform digital.
“Dari awal saya terbuka dengan cadangan pengurusan. Lagi pun kebanyakan lagu dengan band bergenre ‘slow rock’. Jadi, nak nampak kelainan, solo dan band, saya okay saja dengan muzik ini. Apabila mereka bagi dengar, lagu ini kena dengan jiwa. Dalam masa sama sesuai dengan ‘tone’ suara dan penghayatan. Jadi ia lebih mudah.
“Lagu ini sudah siap dirakam lepas raya iaitu dalam bulan Ogos. Awalnya, nak rakam demo dulu, tapi selepas sesi rakaman itu, komposer mengatakan rakaman itu sudah bagus. Jadi, mereka terus ambil sebagai rakaman penuh,”
– Ezwan Ariff
Video muzik rasmi lagu Misteri juga sudah dilancarkan pada 25 Disember lalu di saluran YouTube Najah Music.