Berita duka tersebur disahkan sendiri anaknya perempuannya, Sharifah Irfatasha.
Difahamkan Mael atau nama lengkapnya Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, telah dikejarkan ke Hospital Muar selepas diserang penyakit asma sebelum disahkan meninggal dunia tidak berapa lama kemudian.
Pada masa sama, kematian Mael turut dikongsi dalam Facebook pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz, yang memetik pemberitahuan daripada pengurus kumpulan terbabit, Bro Yazid.
“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Al-Fatihah. Terima berita daripada pengurus XPDC, Bro Yazid.
“Penyanyi XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael) telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar kira-kira pada pukul 9 malam tadi.
“Semoga rohnya ditempatkan di sisi kekasih Allah,” ujarnya dalam hantaran tersebut.
Rata-rata pengikut meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham sambil mendoakan semoga penyanyi yang terkenal dengan lagu Semangat Yang Hilang itu tenang di alam baqa.
Pada Ogos 2019, Mael pernah dikejarkan ke hospital yang sama selepas mengalami kesakitan dan tidak mampu bergerak.
Band heavy metal terkemuka tanah air itu, berdasarkan perancangan, mahu menjayakan persembahan dengan kumpulan Khalifah pada 7 Mei nanti, bersempena dengan penganjuran Sound Valley Festival 2023.
Bro Yazid dalam sidang media pada awal April lalu memberitahu, kesihatan Mael dilihat berada dalam keadaan baik, malah XPDC juga telah mengadakan beberapa persembahan dan konsert sejak awal tahun 2023 tanpa sebarang masalah.
Untuk info, sekitar tahun 1990 sehingga awal 2000, XPDC yang dianggotai Mael, Izo, Zuar dan Amy berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit.
Jumlah itu tercatat menerusi jualan album Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997) serta beberapa album kompilasi.