Malam tadi, kumpulan Panji kehilangan vokalisnya apabila Norman menghembuskan nafasnya terakhir kira-kira jam 7.45 malam.
Norman atau nama sebenarnya Mohd Nor Husin disahkan meninggal dunia di rumahnya di Jalan Lembah, kampung Sungai Buaya, Dungun, Terengganu.
Menurut adiknya, Mohd Shafie, Norman muntah darah secara tiba-tiba sebelum tidak sedarkan diri. Anak sulung Norman, Haris Haikal turut berada di sampingnya ketika itu.
“Saya dan anaknya mengurut dadanya dan tiba-tiba dia muntah darah pekat sebelum tidak sedarkan diri. Saya beberapa kali mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah dan melihat mulutnya bergerak beberapa kali, sebelum badannya tiba-tiba tidak bergerak lagi,” katanya dipetik BH Online.
Pegawai Perubatan Hospital Dungun yang tiba selepas dihubungi Shafie mengesahkan Norman sudahpun meninggal dunia ketika itu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sayap Terluka ini meninggalkan bekas isteri dan empat orang anak yang berusia antara 11 hingga 16 tahun.
Dalam pada itu, rakan baik Allahyarham, Mohd Fadli Abdullah menyatakan Norman perlu menghadiri temu janji doktor pada 18 Disember depan selepas menjalani rawatan pada 3 Disember lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
“Sudah beberapa kali saya membawa arwah menjalani pemeriksaan dan doktor tidak dapat mengesahkan penyakit dihidapinya. Pada 3 Disember lalu, arwah sekali lagi menjalani ujian dan sepatutnya 18 Disember ini perlu menghadiri temu janji di HSNZ untuk keputusan mengenai penyakitnya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia agak terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhir arwah yang teringin hendak ke sebuah pusat beli-belah yang terletak di Kemaman.
“Arwah cakap dia sudah lama duduk terlentang di rumah sejak lapan bulan lalu, namun atas kesibukan saya tidak sempat menunaikan hasratnya itu,” katanya.
Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya tabah menjalani ujian ini. Al-Fatihah.