Bermula dari bawah Kompleks Campbell pada petang hari, rata-rata berteduh dari hujan lebat menimbulkan suasana konsert di tahun 90an. Nuansa ini seperti deejavu apabila penonton berduyun dan rata-rata memakai baju, topi atau logo search pada pakaian mereka.
Mood konsert sangat terasa sehingga membuatkan terasa seperti kembali ke sejarah sewaktu muzik rock masih bermaharajalela di tanah air satu ketika dulu. Mana tidaknya, suasana di Campbell pada hari ini seakan mengulangi sejarah rock suatu ketika dulu kerana di sinilah tempatnya rockers-rockers berkumpul dan beraktiviti selain Kompleks Pertama dan Kompleks Wilayah.
Satu lagi sejarah Industri hiburan tercatat apabila Search dengan jayanya dapat merialisasikan sebuah konsert berskala besar di atas bumbung bangunan Campbell Kuala Lumpur.
Meskipun konsert bermula sedikit lewat sekitar pukul 10 malam disebabkan hujan lebat, peminat yang hadir langsung tidak kisah walaupun terpaksa ‘lencun’ demi melihat idola mereka membuat persembahan.
Pemain gitar Search, Kid berkata, dia pada mulanya agak risau apabila hujan lebat yang turun sekitar ibu negara bermula pukul 7 malam seperti menunjukkan tanda-tanda tidak mahu berhenti.
Hujan yang masih belum berhenti tidak sedikit pun membuat konsert ini cacat, ini terbukti apabila penonton mula memenuhi ruang dalam suasana hujan yang masih mencurah. Terdetik juga di hati andai hujan tidak kunjung reda, bagaimana agaknya nasib Search Band malam ini?. Namun soalan itu terjawab dengan sendiri tatkala dalam hanya kurang dari 15 minit ruang penonton A, B dan C terpenuh, malah kelihatan sendat!.
“Sebenarnya hujan yang turun adalah rezeki buat kami. Tak sangka kehadiran peminat yang hadir cukup luar biasa. Peminat tetap setia menanti walaupun terpaksa bermandi hujan.
“Pada awalnya saya menjangkakan hujan akan turun lebih lama, tapi syukur segalanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Terima kasih buat semua. Terima kasih atas solongan anda,” katanya.
Yang lebih menarik, pentas yang dibangunkan dengan susunan peralatan sistem bunyi, sistem pencahyaan dan sistem layar besar semuanya diuji dengan hujan dari petang hari, walau pun terdapat beberapa cabaran seperti layar besar rosak dan tv monitor beberapa kali terpaksa ditukar namun sedikit pun tidak mencacatkan konsert yang diatur lebih 3 bulan sahaja itu.
Tidak terlalu lama menunggu penonton akhirnya menarik nafas lega apabila Search yang ditunggu-tunggu muncul dengan beberapa lagu rancak sebagai pembukaan.
Konsert kali ini sebenarnya sangat mendebarkan apabila bukan sahaja Din dan Kid yang memegang posisi gitar, malah penyanyinya sendiri menjadi tumpuan utama kerana ini adalah kali pertama Denden sebagai penyanyi muncul di khalayak secara live di depan mata penonton. Setelah mendengar dengan telinga sendiri maka sahlah beliau pilihan yang sangat tepat telah dibuat oleh dua beradik gitarist Kid dan Din. Memilih Denden sebagai penyanyi ternyata telah membuka ruang baru buat Search.
Ulas Kid mengenai penyanyi baharu Search, Denden Gonzales yang berasal dari Indonesia, persembahan yang diberikan pada konsert malam tadi sememangnya cukup luar biasa dan menepati segala perancangan kumpulan itu.
Mungkin banyak faktor yang membuatkan Denden agak kaku bila berkomunikasi dengan penonton, mujur dengan bantuan monitor yang telah terlebih dahulu diprogramkan ayat untuk membantu beliau agar tidak putus idea komunikasi. Mungkin perbezaan bahasa antar dua negara membuatkan beliau memilih jalan selamat untuk tidak mau bercakap banyak.
Denden sebenarnya masih baru di Malaysia, beliau tiba di Malaysia di awal Ramadhan kira-kira 3 bulan lepas. Dengan jadual latihan yang ketat, beliau tiada masa untuk bergaul mempelajari banyak perkara atau menyerapi bahasa atau budaya lokal. Namun ini adalah cabaran bagi beliau untuk lebih menguasai skill komunikasi Search terutama apabila berada di pentas besar.
Penonton sekali lagi menjerit apabila Ratu Rock Malaysia muncul di tengah-tengah konsert. Penyanyi yang sangat sinonim dengan gayanya yang genit ini tampil dengan menyanyikan semula lagu Melayar Bahtera dengan cara beliau yang sangat tersendiri.
Ternyata kehadiran Ella seperti sekuntum bunga di celah-celah batu kerikil tajam kerana gayanya dan pakaiannya yang sangat feminin dan mempunyai nilai estetika yang menyerlah pada malam ini dikala ramai penyai atau pemuzik berpakaian agak ranggi dan berimej rock. Ella sempat juga berduet dengan Denden dan ternyata kombinasi suara mereka juga sangat menghidupkan mood penonton.
Selain Denden, penonton juga tak sabar untuk menilai keserasian pemain drum baru Search yang bernama Minn, ternyata Minn mempunyai kewibawaan sendiri dan agak mirip dengan ketukan almarhum Yazit. Ketukannya juga mempunyai karekter yang bagi kami boleh diterima sebagai Search.
Cuma baik Denden mahu pun Minn, mereka berdua perlu lebih mengenali Search untuk terus bersama Search, mereka perlu mempelajari dan ‘menghayati’ imej, mood persembahan dan sekaligus perlu membawa wibawa Search yang sudah sekian lama terbentuk. Ya! Search bukan sekadar muzik, mereka juga membawa imej dan wibawa tersendiri sehingga membuatkan ribuan penonton separuh baya atau yang masih muda remaja begitu melekat dengan Search.
Guitar Din dan Kidd sangat memberi impak kepada Search kerana mereka berdua seperti telah meletakkan identiti terhadap bentuk dan lenggok permainan Search itu sendiri, maka tidak perlu dipertikai lagi kerana penonton sangat berasa puas dengan permainan mereka berdua dengan vokal Denden yang begitu bertenaga benar-benar menyingkap nostalgia seperti menonton Search di zaman muda mereka.
Gabungan mantap antara bunyi-bunyi gitar, bass, drum dengan bantuan penata cahaya dan bunyi yang baik, kekadang membuat kita melupa bahawa ini merupakan kali pertama dalam sejarah Search mengadakan Konsert berskala besar di atas bumbung kompleks yang dikelilingi dengan bangunan yang lebih tinggi.
Kami pernah ragu sekiranya konsert ini bakal bermasalah dengan bunyi yang memantul hasil dari pantulan bangunan sekeliling, namun ternyata Kuzai dan seluruh timnya berjaya mengawal dengan baik dan ini antara penyebab utama kejayaan konsert ini.
Konsert yang berlangsung selama dua jam tersebut menyaksikan persembahan 17 buah lagu popular Search antaranya Fantasia Bulan Madu, Bencana, Metropolitan, Pasti, Purnama, Melastik Ke Banting, Teguh dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.
List Track Konsert SEARCH Rockin’ On Rooftop Campbell 2022:
# INTRODUCTION – MONTAGE
1. BENCANA
2. METROPOLITAN
3. PASTI
# SPEECH
4. PURNAMA
5. MELASTIK KE BINTANG
6. DI PINTU SEPI
7. BERSALAH ATAU TIDAK
# SPEECH
8. ROCK N ROLL PIE
# DRUM SOLO
9. EMANNUELLE
# SPEECH BY DENDEN TO INVITE ELLA ON STAGE
10. MELAYAR BAHTERA – ELLA
# SPEECH BY ELLA + INTRO SONG
11. BAYANGAN ELLA + DEN
# ELLA EXIT STAGE
# GUITAR SOLO BY KIDD
12. DIARI HABIL & QABIL
13. FANTASIA BULAN MADU
14. MENTARI MERAH DI UFUK TIMUR
15. TEGUH
16. NEO ROMANTIK
# ENCORE
17. WASTED YEARS
Konsert ini juga disokong oleh ramai rakan-rakan artis antaranya Hassan Babylon, Dato’ Ramli Sarip, Dato’ M. Nasir, Dato’ Hattan, Along Exist, Tom Drummer, Ritz Metalasia dan ramai lagi.