“DULU DI BILIK AIR, KINI DI ATAS PENTAS”
Musim Baru Tampil Perubahan Lebih Menarik
Siapa sangka musim pertama program mencari bakat Vokal… Bukan Sekadar Rupa yang dianjurkan semata-mata untuk mencungkil mutu vokal peserta telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penonton sehingga mencecah 2 juta penonton! Tampil dengan perubahan yang lebih menarik, musim terbaru kali ini siap sedia mengorak langkah dengan memperkenalkan 16 peserta yang telah berjaya melepasi sesi ujibakat yang dijalankan di serata Negara serta pusingan saringan untuk menempah tiket ke persada seni.
Pencarian calon peserta berbakat untuk musim kedua telah pun memulakan siri jelajahnya pada 8 & 9 September 2012 lalu yang bertempat di Sri Pentas TV3. Selain itu buat julung kalinya, program VOKAL juga telah terbang ke negeri Kuching, Sarawak pada 15 & 16 September 2012 di Kuching serta di Negeri Di Bawah Bayu, Sabah pada 29 & 30 Oktober 2012 untuk menguji bakat-bakat peserta di sana. Penerimaan masyarakat umum terhadap program realiti VOKAL, ternyata mendapat sambutan yang positif dan memberangsangkan daripada orang ramai apabila hampir dua ribu orang telah menghadiri sesi uji bakat VOKAL yang berakhir di Sri Pentas pada 6 & 7 Oktober 2012 lalu. Menariknya, sesi uji bakat di setiap lokasi telah ditapis terlebih dahulu oleh panel profesional iaitu Azmeer dan Mas Idayu selaku juri yang menggalas tanggungjawab untuk memilih yang berkelayakan menjadi peserta VOKAL musim kedua.
Musim kedua VOKAL terus mengekalkan penyampai radio popular, Faizal Ismail sebagai hos program. Bersiaran setiap hari Rabu, jam 9.30 malam, program nyanyian realiti selam 1 jam ini sudah pun membuka tirai sejak 10 Oktober 2012 yang lalu dan diterajui oleh Penerbit Ahmad Shaifullizam Arshad dan Penerbit Eksekutif Muhamad Sufian Isa.
Sepanjang 10 episod, VOKAL turut menampilkan dua nama yang tidak asing lagi di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang nyanyian iaitu Ziana Zain dan Datuk Hattan sebagai juri tetap untuk program ini.Untuk menghangatkan lagi sesi pemilihan 16 peserta yang akan berentap menerusi sesi ujibakat di sebalik tabir, 2 juri jemputan iaitu Adibah Noor dan Siti Hajar akan menjadi juri bersama-sama dengan juri tetap Ziana Zain selama 2 minggu pertama untuk proses penjurian peserta wanita. Manakala, 2 minggu berikutnya, Dato’ Hj. Ramli MS dan Faizal Tahir selaku juri jemputan akan menemani Dato’ Hattan dalam proses penjurian peserta lelaki. Tenaga pengajar VOKAL seperti Azmeer dan Mas Idayu akan terus kekal sebagai Penasihat Vokal dan persembahan, Fidie Sani selaku Jurulatih Kecergasan dan Kesihatan dan Profesor Izzi Haji Ali bertindak sebagai Penasihat Motivasi.
Sementara itu, penonton juga berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat 16 peserta VOKAL menerusi VOKAL RUTIN yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Rabu pada jam 6.00 petang. Penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas vokal dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas VOKAL.
Berikut adalah 16 peserta Vokal..Bukan Sekadar Rupa musim kedua:
1. Nasuha Azhari, 20, Kuala Lumpur
2. Farah Nadeera Zaini, 19, Kuala Lumpur
3. Noorhirdyu Aiddah Johari, 27, Kuala Lumpur
4. Shareen Fardianti Husin, 26, Kuala Lumpur
5. Ema Fazuana Mehat, 19, Kuala Lumpur
6. Marlleynney Fane J.L Paul, 25, Sabah
7. Nur fatin Nabila Noorsazley, 21, Kuala Lumpur
8. Nur Nabilah Yusof 22, Kuala Lumpur
9. Hendry Francis, 22, Sabah
10. Mohd Firdaus Materang, 20, Sarawak
11. Mohmad Yusof Bin Ahmad, 29, Kuala Lumpur
12. Mohammad Adlizan Baharudin, 26, Kuala Lumpur
13. Abang Abd Hafidz Abang Bujang, 23, Sarawak
14. Mohammad Ikrima Yahya, 23, Sarawak
15. Mohammad Syahrul Mohammad, 25, Kuala Lumpur
16. Yusoff Md Shah, 24, Kuala Lumpur
Menurut Penerbit, Ahmad Shaifullizam Arshad, “Kesemua 16 peserta ini adalah yang terbaik daripada lebih 2,000 calon yang telah hadir ke sesi uji bakat. Kami sendiri kagum dengan sambutan yang cukup menggalakkan terhadap program ini. Ujian saringan kali ini juga lebih ketat. Kesemua peserta bagi musim ini mempunyai keunikan dan kriteria tersendiri. Mereka juga telah memulakan sesi latihan dan persiapan bersama barisan tenaga pengajar bagi mempamerkan persembahan terbaik di konsert pertama yang akan bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 24 Oktober 2012 jam 9.30 malam. Selepas itu, mereka akan dibahagikan kepada 4 kumpulan dan membuat persembahan sebanyak 1 kali di konsert mingguan sebelum mereka dipilih untuk mara ke pusingan seterusnya di mana pusingan ini mereka yang berjaya mengumpul markah tertinggi akan dibahagikan mengikut kumpulan lelaki dan perempuan. Pada minggu terakhir, peserta yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan sebelum menentukan siapakah finalis yang bakal berentap di peringkat akhir VOKAL.
“Untuk terus memperkuatkan jenama VOKAL selari dengan sambutan para peminat dan penonton, kami telah membuat pembaharuan di dalam musim kedua dengan memperkenalkan konsep baru dia mana program realiti VOKAL di buka kepada semua dan tidak hanya memberi pengkhususan kepada mereka yang tidak mempunyai pakej lengkap dan sempurna seperti musim lalu. Secara tidak langsung, kami menjanjikan kelainan yang akan memantapkan lagi mutu pengisian program agar terus segar serta menepati kehendak para penonton yang dahagakan program berkualiti dan rancangan yang menghiburkan,” tambah Ahmad Shaifullizam Arshad.
Untuk musim kedua, VOKAL masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50% daripada juri profesional dan 50% melalui undian SMS. Juara VOKAL musim kedua akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara wang tunai RM30,000. Manakala Hotel De Palma, Shah Alam merupakan penaja penginapan rasmi peserta VOKAL musim ini.
Program realiti VOKAL musim ini juga memberi peluang buat mereka yang terlepas peluang menyertai program nyanyian ini dengan menyertai peraduan ‘JUARA VOKAL ONLINE’. Penyertaan yang dibuka kepada semua ini hanya memerlukan mereka menghantar URL video nyanyian mereka kepada laman sesawang rasmi VOKAL. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai peraduan ini, sila melayari laman sesawang rasmi VOKAL di www.tv3.com.my/vokal2 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Jangan lupa untuk membuat temu janji anda besama Vokal..Bukan Sekadar Rupa musim kedua setiap hari Rabu, jam 9.30 malam hingga 10.30 malam. Bagi peminat di luar sana, jangan lepaskan peluang hadir beramai-ramai ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk menyokong peserta-peserta kegemaran anda.