Biarpun dikecam hebat, ahli perniagaan berusia 33 tahun itu tetap meneruskan aktiviti kebajikan dalam membantu petugas barisan hadapan pada saat getir ini. Dalam entri terbaharu yang dimuat naik menerusi akaun Instagram, hari ini, Vivy berkata, ini bukan masa untuknya berdiam diri, biarpun dihentam teruk pada peringkat nasional.
“Saya tak akan berdiam diri. Petugas dan kakitangan hospital memerlukan bantuan kita semua. Jujurnya, saya sibuk memikirkan inisiatif bersama Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA) dan Imam Response & Relief Team (IMARET) bagaiman mahu membantu petugas barisan hadapan ini.
“Kami dimaklumkan, pihak hospital berdepan masalah kekurangan pakaian perlindungan diri (PPE). Hati kami tersentuh apabila melihat petugas barisan hadapan memakai plastik sampah untuk melindungi diri mereka.
“Masalah kekurangan sut PPE ini dihadapi secara global. Oleh itu, beberapa pereka tempatan bergabung di bawah MODA dengan menjahit sut PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan ini,”
– Vivy Yusof
Dalam entri itu, Vivy menyeru orang ramai berminat menghulurkan bantuan supaya dapat memberikan impak lebih hebat.
“Fashion Valet akan menderma, saya juga akan menderma. Tetapi, impaknya akan menjadi lebih hebat jika kita semua dapat memberikan sokongan.
“Pereka tempatan akan membantu menghasilkan sut PPE secepat mungkin. Sementara IMARET pula mengagih-agihkannya ke hospital di seluruh negara. Marilah kita bersama-sama melindungi barisan hadapan kita.
“Mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh klik link ke profil saya. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih dan semoga kita dapat melindungi petugas barisan hadapan. Saya sayang anda semua,”
– Vivy Yusof
Beberapa hari lalu, pemilik syarikat perdagangan atas talian Fashion Valet itu dikecam netizen berikutan dakwaan mempertikaikan bantuan diberikan kerajaan kepada golongan B40 dan M40 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Vivy ditduh memandang rendah terhadap golongan berkenaan, malah didakwa mengeluarkan kenyataan golongan itu tidak menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara menerusi siaran langsung Facebook (FB) Live.
Tindakan itu menyebabkan Vivy dikecam hingga satu petisyen memintanya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) diwujudkan.
Terkesan kecaman hebat, usahawan itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada golongan B40 dan M40 yang tersinggung dengan kenyataannya menerusi Instagram Live, semalam.
Sumber: BH Online