Viu, penyedia layanan streaming OTT terkemuka rantau ini dari PCCW Media Group dengan lebih 36 juta pengguna aktif setiap bulan (MAU) dengan sukacitanya memperkenalkan Siri asal baharunya, Black. Siri akan datang ini merupakan adaptasi format Korea terbitan CJ E&M dengan nama sama dan akan dilokalkan dan menggabungkan Mitologi Melayu. Siri ini hanya akan ditayangkan secara eksklusif di Viu dan dibintangi oleh pelakon popular seperti Kamal Adli, Siti Saleha, Nabila Huda, Zoey Rahman dan ramai lagi.
Dalam Siri asal Korea, Black merupakan kisah sebuah drama fantasi cinta dan seram yang mengikuti Grim Reaper yang telah memasuki dunia manusia dan telah jatuh cinta dengan seorang wanita yang boleh meramal kematian. Kesemua 18 episod boleh didapati di Viu.
Adaptasi Viu menggantikan konsep grim reaper dengan bunian (makhluk ghaib dari dimensi lain) dan bermula dengan misi Black (dilakonkan oleh Kamal Adli) ke alam manusia untuk mencari rakannya yang sedang diburu. Melanggar peraturan orang bunian, Black (dilakonkan oleh Kamal Adli) menghuni badan Malik, seorang pegawai polis yang telah mati, dan menggunakan identiti Malik untuk memudahkan siasatannya.
Walaupun membenci manusia kerana “cara primitif’ mereka, Black tertarik dengan Sofia (dilakonkan oleh Siti Saleha), seorang wanita yang berupaya meramalkan kematian dan menjadi kunci penting dalam misi Malik. Kecewa dengan dirinya, Malik mula jatuh cinta dengan Sofia (satu lagi peraturan yang dilanggar).
Pada pertengahan cerita, mereka terperangkap dengan kes pembunuhan yang tidak dapat diselesaikan lebih 20 tahun yang membawa mereka kembali kepada kisah silam yang dikongsi bersama.
“Semenjak kami mula menghasilkan kandungan sendiri, kami telah mendapat penerimaan yang positif dari penonton Viu (Viu-ers) dan rakan kongsi industri.
Tiga dari drama asal yang dihasilkan di Malaysia telah menerima penganugerahan di Asian Academy Creative Awards baru-baru ini.
Dengan fokus terhadap kreatif asal dan format antarabangsa, Viu Malaysia mengambil peluang untuk membawakan penceritaan hebat dan seram CJ E&M dalam siri Black dalam versi yang telah dilokalkan kepada penonton Viu.
Kami pasti drama Black versi Malaysia ini bakal menjadi penambahan yang baik kepada kandungan premium sedia ada Viu dan kami yakin ianya akan diterima baik oleh penonton Viu (Viu-ers) di semua 17 pasaran kami,”
– En. Kingsley Warner, Pengurus Besar Viu Malaysia
Dihasilkan oleh syarikat penerbitan yang berasal dari Kuala Lumpur, Alpha47 Films, dengan arahan bersama oleh pengarah terkemuka, Razaisyam Rashid dan Kroll Azri, Black bakal ditayangkan dengan empat episod berturut-turut pada 17 dan 24 Disember.
Black akan ditayang secara eksklusif di Viu di kesemua 17 pasaran termasuk Asia, Timur Tengah dan Afrika. Penonton Viu (Viu-ers) boleh menyaksikan siri seram ini di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store atau Google Play Store.