CINTA – barangkali perkataan yang paling kerap menghantui minda juara Akademi Fantasia musim pertama, Vince Chong tahun lalu. Bukan sahaja kerana putus cinta dengan kekasih hatinya, Veronica Larrauri Abad, album terbarunya, Kronologi Cintajuga sarat dengan elemen cinta.
Berpisah dengan teman wanitanya yang merupakan rakyat Mexico, Vince mengambil keputusan itu kerana tidak mahu meneruskan hubungan jarak jauh. Lagipun, bagi Vince, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kariernya buat masa ini.
“Sudah tiga bulan saya berpisah dengan Veronica. Kami berjumpa semasa saya belajar di Taiwan dulu. Selain kerana hubungan jarak jauh, bukan semua orang boleh menerima kerjaya saya sebagai artis. Jadi saya telah membuat keputusan itu dan yakin ia satu tindakan bernas.
“Saya telah belajar daripada kesilapan untuk tidak terlalu memilih. Namun, jika dilihat dari sudut lain, perpisahan itu membantu mempercepatkan pembikinan album saya kerana saya mempunyai lebih banyak masa lapang,” kata Vince ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya itu.
Belum terfikir untuk berkahwin, Vince memberikan dirinya masa selama lima tahun lagi bagi mengukuhkan kariernya. Walaupun ada yang menyatakan usia 30 tahun agak lewat untuk memperkenalkan diri semula dalam industri hiburan tempatan, Vince bagaimanapun tidak beranggapan sedemikian.
Katanya, dia masih merasakan dirinya berusia 20 tahun. Namun, apa yang penting adalah pemilik nama sebenar Vincent Chong Ying-Cern itu masih mempunyai pangkalan peminat tempatan yang kukuh. Itu yang memberikan dia keyakinan untuk merakamkan album ketiga selepas menyepi selama tiga tahun.
“Semasa saya pulang ke Malaysia sekitar pertengahan tahun lalu, ramai peminat yang berpendapat saya merajuk kerana sudah senyap untuk satu jangkamasa panjang. Permintaan dan sokongan mereka yang membuatkan saya berani untuk melahirkan album penuh,” tambah Vince.
Terlibat 100 peratus dalam pembikinan album itu, Vince juga menyatakan dirinya amat bertuah kerana selepas tujuh tahun melibatkan diri, dia kini diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menentukan jalur bagi album terbarunya itu.
“Album itu dibikin dengan elemen pop rock dan jazz. Disebabkan mahu memberikan kesegaran, saya ada menambahkan muzik gitar dan sedikit nyanyian rap. Apa yang pasti, setiap lagu mempunyai kelebihan tersendiri,” jelas Vince.
Memulakan rakaman pada Ogos lalu, Kronologi Cinta disiapkan dalam masa empat bulan. Menariknya, kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album itu merupakan kisah cinta Vince sendiri.
Akui Vince, dia menangis semasa merakamkan lagu Kan Temu Jua. Selain daripada itu, Taiwan juga banyak memberikan ilham kepada Vince untuk menyumbang dalam naskhah tersebut.
“Selepas penutupan EMI Malaysia, saya ada menerima tawaran lain. Namun, saya mahu kekal di Taiwan untuk meneruskan impian mempelajari Bahasa Mandarin. Lagipun berada di Taiwan membolehkan pembelajaran saya lebih efektif kerana semua orang berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin.
“Kalau cakap mengenai album Mandarin, saya belum bersedia sepenuhnya. Buat masa ini, saya mahu menunaikan impian peminat Malaysia dahulu. Pasaran Malaysia adalah keutamaan. Saya juga hanya akan pulang ke Taiwan apabila merakamkan lagu Mandarin,” kata anak kedua daripada enam orang adik-beradik.